Salam Perjuangan

28 Januari 2011

INTERLOK : PENA BANTAH PINDAAN !

PERSATUAN  Penulis Nasional (Pena) membantah keras keputusan kerajaan yang memutuskan untuk mengekalkan novel Interlok yang kontroversial dengan membuat pindaan pada bahagian-bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Dalam reaksi segera, pertubuhan itu mahu novel tersebut, yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, 91, empat dekad yang lalu dikekalkan tanpa sebarang pindaan walaupun sebelum ini ada desakan masyarakat India agar ia ditarik balik.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata novel Interlok kekal digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian tertentu.
Menurut Presiden Pena Mohamad Saleeh Rahamad, pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak bersetuju dengan sebarang pindaan dalam novel tersebut.
“Pena tetap dengan pendirian asal untuk tidak terima sebarang tuntutan pindaan terhadap novel Interlok.
“Saya nak tanya di sini, apakah yang dimaksudkan dengan unsur sensitif kepada masyarakat India? Sedangkan tiada unsur sensitif.
“Pena bantah dengan keputusan kerajaan ini, sepatutnya kerajaan tidak perlu mengikut tuntutan yang dibuat itu kerana tiada asas yang kukuh mengatakan novel Interlok menghina orang India,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Beliau juga turut mempersoalkan keputusan kerajaan itu sama ada ia tuntutan yang dibuat keseluruhan masyarakat India atau pihak tertentu.
“Bagi kami tiada unsur sensitif dalam novel Interlok, kenapa perlu buat pindaan?
“Selain itu adakah keputusan ini dibuat berdasarkan tuntutan masyarakat India keseluruhan atau MIC atau pihak tertentu? Isu ini jadi besar kerana ada pihak yang buat provokasi.
“Kita juga tidak tahu bagaimana keputusan ini dicapai, malah tiada tuntutan rasmi daripada masyarakat India yang mahu novel ini dipinda, jadi kita keliru bagaimana ia boleh dicapai,” katanya.
Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi kontrovesri kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.
Dalam kenyataan dikeluarkan petang tadi, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.
“Keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Novel itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.
Muhyiddin juga menegaskan bahawa novel Interlok hanya akan digunakan setelah
pindaan disiapkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah(sumber: TMinsider,27 jan.2011).
TB percaya ini adalah strategi untuk meredakan ketegangan memandangkan situasi PRK yang bersilih ganti sekarang.Namun TB tetap menyokong pendirian dan kenyataan media PENA dan beberapa reaksi tulisan-tulisan di media massa yang tetap bertegas tidak mahu dibuat sebarang pindaan tetapi tambahan/pindaan dibuat dengan menambahkan nota kaki dan glosari bagi menjelaskan beberapa frasa yang boleh disalahtafsirkan.lngat penduduk lndia Malaysia cuma 7.5% manakala selebihnya 92.5% adalah bukan lndia. Adakah adil jika kehendak majoriti diketepikan? Usah gusar; sama ada komuniti lndia menyokong atau menentang, mengundi atau memprotes; tidak menjejaskan sesiapa; baik kepada pemerintah mahupun pembangkang.Usah terpedaya dengan gertak dan 'auta' yang merupakan hanya pukulan tabla kosong,percayalah.

Tiada ulasan: