Salam Perjuangan

20 Januari 2013

SEKOLAH MENENGAH SAINS SELANGOR, KUALA LUMPUR

SEKOLAH Menengah Sains Selangor (SMSS), Kuala Lumpur yang dahulunya terletak di Jalan Tenteram Bandar Tun Razak,Kuala Lumpur (kini nama jalan telah diubah) terletak bersebelahan Sekolah Menengah Teknik dan berdekatan tidak jauh dari Sekolah Alam Shah (kini telah berpindah ke Putrajaya), Maktab Perguruan llmu Khas (kini IPGM) dan Maktab Perguruan Teknik (kini IPGM) di seberang jalannya.Di SMSS ini, TB menempuhi rentetan kenangan hidup pda era 1980-an yang lampau.Perkembangan pesat segala aneka pembangunan  di Bandar Tun Razak (dahulu dikenali Kampung Konggo/Congo) selepas 20 tahun TB tinggalkan sungguh mengagumkan.

TB menerima 'tawaran' berpindah ke SMSS dari Bahagian Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada penghujung bulan Disember 1988.Sebenarnya sebelum itu, TB berkhidmat di Sekolah Menengah Dato' Mohd.Said (SMDMS), Nilai, Negeri Sembilan (kini Nilai sebuah bandar yang hidup semula dengan kelahiran Bandar Baru Nilai dan Putra Nilai) kesan pembukaan pesat KLIA dan LCCT di Sepang,Selangor.
SMDMS ketika itu sebuah sekolah menengah gred A yang terkenal dalam lingkungan daerah Seremban/Port Dickson. lni memandangkan SMDMS ketika itu menyediakan kelas-kelas dari peringkat peralihan sehinggalah ke tingkatan enam.Para pelajarnya yang berbilang kaum (komposisi kaum: Melayu:5, Cina 2.5, lndia 2.5) dan ada yang datang bukan setakat dalam Negeri Sembilan bahkan dari Sungai Pelek, Salak Tinggi dan beberapa kampung di negeri Selangor.

Di SMDMS TB mula berkhidmat pada Januari 1987 dan menjawat Ketua Panitia Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.TB turut terlibat mengajar Tingkatan Enam/STPM dan juga kelas-kelas peringkat SPM. Pengetua ketika itu En.Mohd Taib Hussain (bersara jawatan akhir sebagai Pengarah Bahagian Sukan, KPM). Singingat TB, seorang bekas murid sekolah ini yang mana ketika zaman itu sedang berada di Tingakatan Satu bernama "Amelina' terkenal sebagai penyanyi dangdut popular tanah air.Sayugia diingat ramai bekas pelajar sekolah ini yang berjaya menjadi wartawan terkenal, jurutera,doktor perubatan, pensyarah dan sebagainya.Namun begitulah,segala-galanya jalan sebenarnya telah ditentukan Allah. TB tinggalkan Nilai, dengan hasrat semata-mata berpindah ke Kuala Lumpur akan terus menyalakan cita-cita untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah lanjutan!

Sehubungan khidmat TB diperlukan di SMSS,Kuala Lumpur, sebenarnya pada ketika itu TB terima dua tawaran pindah. Pertama ke SMSS dan kedua Maktab Tentera DiRaja (MTD/RMC)Sungai Besi,Kuala Lumpur(TB tidak lupa jasa baik salah seorang Ketua Jabatan Pengajian MTD ketika itu, Tuan Haji Dawam Kahat,terima kasih dan maaf dipohon).Nama MTD ketika itu harum dan terkenal sejak dahulu.Walaupun MTD juga dikelompokkan bersama SBP tetapi MTD di bawah pentadbiran Bahagian Pendidikan Kementerian Pertahanan Malaysia. Cuma ada tenaga pengajar akademiknya dipinjamkan daripada KPM.TB benar-benar dilema dan menerima juga beberapa pandangan di sisi lain.Jika TB menerima khidmat di MTD tentulah perjalanan TB juga bertukar corak.Wallahualam.

TB mula bertugas di SMSS,Kuala Lumpur yang ketika itu pengetua Haji Rauf Hussain (kini Datuk Haji Rauf Hussain mantan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran KPM/bersara).TB tertarik di SMSS kerana ketika itu SMSS memulakan program menerima kemasukan anak-anak miskin luar bandar yang memperoleh keputusan 'seadanya' UPSR ke tingkatan satu SMSS dari seluruh Malaysia. lni juga idea Menteri Pendidikan ketika itu,DSAI.

TB berazam berkhidmat dengan rela dan reda untuk membuktikan bahawa anak-anak miskin luar bandar juga boleh berjaya jika diberi peluang. Bayangkan TB yang pernah mengajar tingkatan menengah atas; tin gkatan 6,5,dan 4 tetapi apabila bertugas di SMSS bersedia mengajar tingkatan satu!Buktinya para pelajar ini berjaya memperoleh PMR 9A!

Dipendekkan cerita (memoir lanjut ditulis dalam buku kelak) semasa TB di sini Penolong Kanan akademik Alwi Salim (meninggal dunia sebaik bersara) dan Penolong Kanan (HEM) Hj Khamis Maarof juga pencen di SMSS kemudian diserang penyakit jantung, tidak lama kemudian diberitakan telah meninggal dunia! Kenangan TB di sini ialah membawa kejayaan kepada murid-murid sebagai Johan Forum Remaja Kebangsaan dua tahun berturut-turut dan Johan Perbahasan Lembah Kelang yang mana TB selaku guru pembimbing.

Di samping itu menjadi jurulatih murid-murid untuk Pertandingan Perbahasan Pesta Perdana para pelajar berasrama penuh se-Malaysia. Sungguh meriah dan akrab kami tenaga pengajar ketika itu.Kami saling berlumba-lumba untuk menjuarai setiap pertandingan; termasuk pertandingan pidato Piala DiRaja.Walau bagaimanapun; demi cita-cita TB mahu melanjutkan pelajaran lagi maka terselit juga kisah suka duka semasa TB di SMSS. Namun TB tidaklah bersedih amat kerana TB tinggalkan SMSS setelah Haji Rauf sendiri bertukar ke Sekolah Alam Shah!


Tiada ulasan: