Salam Perjuangan

23 Januari 2013

MAHARAJA LAWAK MEMBUANG MASA ORANG MELAYU?


Kumpulan Jozan menjuarai Maharaja Lawak Mega 2012 (gambar kanan)

SUDAH sekian kali saya ingin melontarkan sedikit komentar perihal Maharaja Lawak Mega yang baru saja melabuhkan tirainya Jumaat lalu dengan Jozan muncul sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang RM500,000.

Seingat saya, tidak pernah ada pertandingan hiburan tempatan termasuk mana-mana anugerah industri muzik mahupun yang mempertandingkan lagu-lagu pernah menawarkan hadiah sebanyak itu.
Saya tidak pernah ketinggalan mengikuti program Raja Lawak sehinggalah ke Maharaja Lawak Mega. Saya fikirkan program Maharaja Lawak sudah berakhir apabila Kumpulan Osbon ditabalkan sebagai juara Maharaja Lawak tahun lepas.

Kemudian muncul pula Maharaja Lawak Mega yang menampilkan 10 siri dengan 12 peserta pada awalnya.
Mungkin ramai yang bertanya apakah yang ingin diketengahkan oleh penerbit rancangan Maharaja Lawak Mega?

Di mana 'Maharaja' dan 'Mega' lawaknya? Atau ia hanya sekadar rancangan yang mengetengahkan populariti artis? Keputusan juga menunjukkan yang popular menjadi juara walaupun lawak mereka tidak seberapa.
Pemenang pertandingan tersebut juga tidak menunjukkan apa-apa kreativiti dan ada yang hanya mengulangi watak yang dipersembahkan sebelum pertandingan akhir.

Contohnya watak Ustaz Azhar Idrus oleh Zizan dan watak Penggali Kubur oleh Kumpulan Shiro. Tidak ada apa-apa yang baharu disajikan tetapi penonton tetap ketawa kerana populariti mereka mungkin.
Rata-rata lawak yang dipersembahkan oleh mereka tidak setanding dan sehebat nama pertandingan Maharaja Lawak Mega itu sendiri.

Begitu juga dengan pihak juri. Mereka hanya memuji-muji persembahan keseluruhan peserta tanpa apa-apa kritikan dari awal rancangan hinggalah ke peringkat akhir.

Mungkin ramai peserta adalah merupakan rakan seperjuangan mereka dan ada juga yang merupakan penerbit yang akan mengambil mereka untuk berlakon. Jadi mereka mungkin tidak berani untuk mengkritik 'lebih-lebih' takut mereka tidak akan diambil oleh penerbit itu kelak.

Saya juga pelik dengan gelagat pengacara rancangan Maharaja Lawak Mega, AC Mizal yang asyik menjerit-jerit dan terkinja-kinja sewaktu mengacarakan rancangan itu.

Sebagai peminat, semua rancangan lawak di negara ini, saya tidak terkejut jika selepas ini akan ada pula rentetan kepada Maharaja Lawak Mega.

Mungkin penerbit sedang memikirkan tajuk baru seperti Maharaja Lawak Mega Super atau Maharaja Lawak Sedunia.

Walau apa pun rancangan yang ingin mereka terbit dan persembahkan kepada penonton, biarlah berpadan dengan tema dan tajuk rancangan. Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata melalui SMS. Biar indah rupa dari khabar.(sumber: Zulkifli Mohamad, KL, UM, 23/01/13)

TB: Yang TERKAYA nombor satu Malaysia kini ialah TAUKEH ASTRO/MAXIS Ananda Krisnan (yang telah 'mengalahkan' Robert Kuok 'raja gula') yang terus serius dan berusaha membangun empayar dalam bisnesnya. Yang terus kewata,leka,khayal dan bergembira dengan hiburan siang malam ialah orang Melayu. Kah3....dengan modal RM500 ribu sahaja Melayu terus ketawa untuk dibuai mengejar kekayaan!

Tiada ulasan: