Salam Perjuangan

19 Januari 2013

HORMATILAH AGAMA ISLAM AGAMA RASMI MALAYSIA


PIHAK berkuasa yang bertanggungjawab harus mengambil tindakan segera terhadap pihak yang bertanggungjawab mengedarkan Bible versi Bahasa Melayu di sekolah di Pulau Pinang, kata Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan, sistem perundangan melalui undang-undang sivil telah memperuntukkan di dalam Perlembagaan bahawa tiada pihak yang dibenarkan untuk mendakyah agama mereka kepada penganut Islam.
“Peruntukan undang-undang dalam mahkamah sivil sudah ada, bukan di bawah undang-undang Syariah ... pihak berkuasa undang-undang perlu ambil tindakan,” kata menteri yang memegang portfolio agama itu lagi.

Tegas Jamil Khir, peruntukan itu diwujudkan demi memelihara kepentingan semua pihak daripada sebarang unsur negatif seperti provokasi.
“... Sebab itu nak jaga kepentingan semua pihak agar unsur provokasi dan sebabkan pertelingkahan, kita di atur dengan undang-undang,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Mukabuku Pulau Pinang, telah membuat laporan polis mendakwa dua lelaki mengedar kitab Bible kepada pelajar beragama Islam, di hadapan sebuah sekolah di Jelutong di sini.

Pengerusi persatuan itu, Salleh Ismail, berkata pihaknya mempunyai bukti bergambar dan video dua lelaki itu memberi Bible kecil berbahasa Inggeris kepada pelajar Melayu di sekolah menengah berkenaan.
“Kami harap pihak bertanggungjawab menyiasat kegiatan ini kerana ia melibatkan akidah umat Islam terutama generasi muda,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Jelutong.

Beliau berkata pihaknya membuat laporan polis kerana aktiviti pengedaran Bible kepada pelajar Islam adalah kegiatan berdakwah agama lain kepada umat Islam dan ia menyalahi Perkara 11 (4) dalam Perlembagaan Persekutuan yang melarang agama lain disebarkan kepada orang Islam.(sumber:TM1,19/1/13)

Tiada ulasan: