Salam Perjuangan

26 Oktober 2011

PPSMI: HORMATI KEPUTUSAN MUKTAMAD KPM.


ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sewajarnya tidak perlu dijadikan polemik oleh semua pihak kerana kami percaya keputusan menghentikan pelaksanaan PPSMI dibuat berlandaskan kajian yang mendalam oleh pihak kerajaan.

Kami percaya keputusan yang dibuat Kementerian Pelajaran itu selepas mengambil kira suara ibu bapa di semua peringkat dan kawasan, pandangan guru-guru di sekolah-sekolah bandar serta luar bandar di samping para cendekiawan, akademik dan orang perseorangan yang arif dalam bidang tersebut. Maka adalah tidak wajar jika ada pihak-pihak tertentu yang mendesak PPSMI dilaksanakan semula dengan mengambil pandangan sebelah pihak sahaja.

Sebagai pertubuhan yang menghimpun rakyat Malaysia yang pernah melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di Indonesia sejak tahun 1950-an hingga kini, Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) amat menyokong langkah kerajaan menggantikan PPSMI dengan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang selari dengan Dasar Pendidikan Negara.
Kami percaya walaupun mempelajari Matematik dan Sains atau lain-lain mata pelajaran dalam bahasa Malaysia sekalipun, kita masih berupaya untuk melahirkan anak-anak dan barisan generasi muda yang cemerlang dalam pelbagai bidang ilmu.

Sebagai contoh, sebahagian besar ahli-ahli persatuan kami yang mendapat pendidikan awal di peringkat sekolah rendah dan menengah mengunakan bahasa pengantar bahasa Malaysia termasuk mata pelajaran Sains dan Matematik. Kami seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran kami dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi, kejuruteraan atau perubatan di IPT-IPT di Indonesia yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Indonesia sepenuhnya.
Mereka yang telah lulus dan kembali ke tanah air berjaya membuktikan bahawa bahasa bukan penghalang untuk mencipta kecemerlangan dalam kerjaya masing-masing. Malahan ramai di kalangan kami yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang sains dan teknologi di universiti-universiti terkemuka di negara Barat seterusnya mendapat kelulusan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Mereka yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dan perubatan pula berjaya meningkatkan pencapaian mereka dengan memperoleh kelayakan profesional dan menjadi doktor pakar yang di peringkat antarabangsa. Ada yang sudah menjadi naib canselor di IPTA-IPTA terkemuka, ada yang menjadi pakar-pakar dalam pelbagai bidang perubatan, pegawai-pegawai tertinggi dalam syarikat korporat di samping ahli-ahli politik yang berjaya.

Sebut sahaja nama-nama besar seperti Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Yassin, Datuk Dr. Abu Bakar Hamid, Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin (akademik), Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat, Tan Sri Aishah Ghani, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang, Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed (politik) atau nama-nama seperti Datuk Abdul Rahman Daud (korporat), Datuk Dr. Asmah Omar, dan Dr. Siti Zainon Ismail (sosiobudaya). Mereka ini telah membuktikan bahawa mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia di peringkat sekolah dan bahasa Indonesia di peringkat universiti bukan penghalang untuk mencapai prestasi cemerlang dalam bidang masing-masing.

Jika berlandaskan sejarah pula, bahasa Malaysia sudah ditetapkan sebagai bahasa perpaduan rakyat negara ini yang berbilang kaum. Selepas kejadian berdarah 13 Mei 1969, kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar menyatakan satu bahasa perpaduan perlu ditetapkan dan sejak itu kerajaan tekun melaksanakan perubahan di mana sekolah-sekolah berbahasa pengantar Inggeris ditukar ke bahasa Malaysia secara berperingkat-peringkat.

Perlu diambil perhatian bahawa gambaran yang dikemukakan kepada umum bahawa PPSMI hanya melibatkan dua mata pelajaran sahaja sehingga tidak menukarkan dasar bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar adalah tidak tepat. Ini kerana apabila dua mata pelajaran tersebut diajarkan dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah, ia akan meningkat kepada lebih 80 peratus apabila memasuki tingkatan empat. Apalagi apabila sampai ke peringkat universiti di mana hampir semua IPT di negara ini menggunakan bahasa Inggeris khususnya untuk bidang-bidang profesional.

Apabila ini berlaku maka hasrat memperkasa bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu tinggal impian belaka. Istilah baharu dalam bidang sains, teknologi, perubatan, pergigian, kejuruteraan dan lain-lain tidak perlu lagi dicipta manakala istilah yang sedia tercipta tidak lagi digunakan. Buku juga tidak akan ditulis dan diterbitkan.
Perbincangan awam pun dalam bidang-bidang alam sekitar, kesihatan, pembangunan manusia, ekonomi, kewangan dan lain-lain tidak akan dapat dijalankan dalam bahasa Malaysia kerana istilah baharu tidak dicipta dan penggunanya pula tidak lagi fasih menggunakan bahasa Malaysia.

Ahli-ahli Parlimen juga akan mendapati sukar membincangkan isu-isu semasa dalam bahasa Malaysia ketika sidang Parlimen. Oleh kerana terlalu sering memohon "dengan izin" apabila mahu menggunakan istilah Inggeris, tidak mustahil akhirnya nanti mereka dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.
Selanjutnya para wartawan pun akan mendapati sukar untuk membuat liputan persidangan Parlimen dan lain-lain persidangan dalam bahasa Malaysia. Akibatnya akhbar berbahasa Malaysia tidak lagi akan berdaya maju sebagai badan perniagaan. Edarannya tidak cukup besar untuk menampung kos penerbitannya.

Apakah bayangan masa depan kedudukan bahasa Malaysia ini khayalan belaka? Jika sejarah tulisan jawi di Malaysia boleh kita jadikan iktibar, maka kesimpulan ini suatu kemungkinan yang munasabah dan amat menakutkan.
Kami percaya, masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan mahasiswa IPT adalah suatu perkara yang serius dan satu penyelesaian munasabah perlu dicari untuk mengatasinya. Mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris bukan kaedah yang telah teruji di mana-mana pun untuk menyelesaikan masalah ini sebaliknya kaedah mengajar bahasa - apa sahaja bahasa sekalipun termasuk bahasa Inggeris - perlu dikaji semula.
Banyak hal yang perlu dilihat untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah antaranya tahap kemahiran para guru, korikulum yang sedia ada, alat bantu mengajar yang mencukupi, suasana pembelajaran dan lain-lain.

Kaedah yang telah teruji meningkatkan kemahiran bahasa ialah melalui pembacaan. Justeru, penekanan terhadap pembacaan bahan-bahan kesusasteraan atau karya besar dalam bahasa Inggeris akan jauh lebih berkesan daripada mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa tersebut.
DR. SHAMSUL BAHAR ABDUL KADIRKami mengharapkan agar kerajaan tidak lagi berganjak daripada keputusan menghapuskan PPSMI, seterusnya melaksanakan MBMMBI dengan bersungguh-sungguh serta tidak tunduk terhadap mana-mana pihak yang berusaha untuk menghidupkan PPSMI atau mahupun melahirkan semula sekolah kebangsaan berbahasa pengantar Inggeris.(sumber: Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir, Penulis ialah Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI)

Tiada ulasan: