Salam Perjuangan

10 Oktober 2011

JAIS : TINDAKAN YANG BETUL

SULTAN Selangor bertitah tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memeriksa Kompleks Dream Centre di Petaling Jaya 3 Ogos lalu adalah selaras dengan bidang kuasanya dan berpuas hati bahawa tindakan itu "betul dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang" di Selangor. 

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda sendiri sudah meneliti laporan JAIS berhubung pemeriksaan ke atas gereja itu semasa majlis Thanks Giving Dinner dan selepas mendapat nasihat pakar agama dan undang-undang, baginda bersetuju supaya tiada pendakwaan dikenakan terhadap mana-mana pihak.

Titah baginda, bidang kuasa JAIS diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.
"Merujuk kepada siasatan pihak JAIS, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam. Tetapi keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil," titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor di sini, hari ini. 

Sultan Sharafuddin juga menitahkan JAIS supaya memberi kaunseling kepada orang Islam yang menghadiri majlis itu bagi memulihkan akidah dan kepercayaan mereka terhadap agama Islam. 

Baginda turut menitahkan JAIS supaya menjalankan aktiviti dakwah terhadap orang Islam dengan lebih kerap dan tersusun supaya akidah dan kepercayaan mereka terhadap Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan. 

Sultan Sharafuddin bertitah, sebagai Ketua Agama Islam Selangor, baginda amat mengambil berat dan berasa amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba untuk melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor. 
"Beta menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS supaya sentiasa mengadakan pemantauan rapi dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan bidang kuasa undang-undang. 

"Beta amat berharap selepas daripada ini, apa-apa kegiatan dan aktiviti yang sedang berjalan atau yang akan berjalan bagi tujuan mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut agama Islam dalam negeri Selangor ini hendaklah dihentikan dengan segera dan tiada kegiatan dan aktiviti yang serupa dijalankan di masa hadapan. 

"Beta amat berharap agar rakyat negeri Selangor, tanpa mengira bangsa dan agama, tidak menyalahanggap dan mempertikaikan tindakan JAIS itu sebelum mengetahui dengan jelas fakta sebenar mengenai tindakan yang telah diambil oleh pihak JAIS," titah Sultan Sharafuddin. 

Sultan Sharafuddin bertitah, Islam yang diamalkan di Selangor adalah agama yang penuh toleransi dan penganut Islam sentiasa dipupuk supaya menghormati penganut-penganut agama lain. 

"Walaupun begitu, mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan untuk cuba mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam. Ini adalah selaras dengan Fasal (1) dan (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988, yang tidak membenarkan pengembangan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam," titah baginda. 

Sultan Sharafuddin bertitah, Perkara XLVII Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Fasal (1) Perkara 3 dan Fasal (1) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing dengan aman dan harmoni. 

"Hak kebebasan beragama itu telahpun berjalan dengan harmoni di Selangor dan beta amat berharap keharmonian yang telah wujud sekian lama dikekalkan. 

"Peliharalah hak dan agama masing-masing dan jangan sekali-kali cuba mempengaruhi dan memesongkan fahaman dan kepercayaan orang Islam terhadap agama Islam," titah baginda. -(sumber:  BERNAMA , 09/10/11)

Tiada ulasan: