ANGGOTA Parlimen Arau Datuk Ismail Kasim melahirkan rasa bimbang dengan fenomena masa kini yang menunjukkan ramai pelajar di negara ini menghabiskan masa melayari laman sosial tanpa kawalan dan mendapatkan maklumat yang diragui daripadanya.
Ada kajian menunjukkan lebih 60,000 pelajar menghadap komputer lebih empat jam sehari semata-mata untuk melayari laman sosial termasuk facebook, katanya tanpa menyatakan sumber kajian itu.
Bercakap kepada para pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan karaoke 1Malaysia di Kampung Kebun, Arau dekat Kangar malam tadi, beliau bimbang fenomena itu akan merugikan masa depan mereka.
Ismail berkata, ada pelajar yang berterusan membuang masa dengan laman sosial meskipun di saat menghadapi peperiksaan penting.
Antara kesan negatif melayari laman sosial tanpa kawalan termasuk ada kes pelajar lari daripada rumah kerana ingin bertemu rakan barunya yang dikenali dalam laman itu selain kemerosotan pelajaran, katanya.
Ismail yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Arau juga bimbang dengan sikap orang ramai yang gemar mendapatkan maklumat mengenai perkara terkini melalui sumber yang diragui di internet.
Menurutnya, mereka sepatutnya mematangkan diri dengan mendapatkan maklumat sebenar mengenai negara dan sesuatu perkara melalui media arus perdana dan sumber yang sebenarnya.(sumber:MK, 16/10/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan