PENERBITAN buku atau bahan-bahan akademik dalam Bahasa Melayu akan dijadikan satu daripada kriteria perjawatan atau kenaikan pangkat ahli-ahli akademik, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata perkara itu adalah antara inisiatif dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dilancarkan hari ini.
Melalui pelan itu juga, anugerah kepada ahli akademik di peringkat universiti yang cemerlang dalam penerbitan akademik Bahasa Melayu akan diwujudkan, manakala kategori baru iaitu Anugerah Penterjemah Karya Ilmu dalam Bahasa Melayu akan dimasukkan dalam Anugerah Akademik Negara (AAN) akan datang.
Bercakap pada majlis pelancaran pelan tindakan itu di kementerian berkenaan hari ini, beliau berkata semua kursus wajib universiti seperti Kursus Kenegaraan Malaysia, Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara serta Hubungan Etnik akan diwajibkan dikendali dalam Bahasa Melayu, manakala penuntut antarabangsa pula diwajibkan mengambil kursus Bahasa Melayu Komunikasi.
"Kita meletakkan sasaran 30 peratus pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu bagi gugusan sains pada 2020. Dalam tempoh yang sama juga, kementerian meletakkan sasaran 70 peratus pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu bagi gugusan sains dan sosial," katanya.
Mohamed Khaled berkata aktiviti menterjemah penulisan akademik yang dihasilkan dalam Bahasa Inggeris atau bahasa asing ke dalam Bahasa Melayu akan dipergiat melalui unit terjemahan yang ditubuhkan di setiap IPT.
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula akan dijadikan badan yang akan menghubungkan semua jabatan pengajian Melayu di luar negara untuk menyepadukan usaha memartabatkan Bahasa Melayu, katanya.
Beliau berkata usaha untuk menambah bilangan artikel berindeks dalam Bahasa Melayu dan bilangan penerbitan buku akademik dalam Bahasa Melayu akan ditingkat, selain memperkukuh jurnal tempatan berbahasa Melayu berkualiti di IPT sehingga dapat diindekskan dalam Scopus dan Institut Maklumat Saintifik(ISI), iaitu pangkalan data berindeks yang diiktiraf.
Mohamed Khaled berkata usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan memperkukuhkan penggunaan Bahasa Melayu tinggi merentasi pelbagai bidang dalam IPT, sekaligus memastikan ia tidak hanya dimonopoli oleh mereka yang berada dalam bidang Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.
Beliau berkata ia akan dapat meningkatkan nilai ekonomi Bahasa Melayu serta memperbetulkan persepsi selama ini bahawa Bahasa Melayu hanya dikaitkan dengan taraf kehidupan yang rendah, iaitu bahasa yang dituturkan oleh mereka yang tidak berpendidikan tinggi.
"Dalam masa sama juga, pelaksanaan pelan tindakan ini tidak bermakna kementerian meminggirkan peranan dan penggunaan Bahasa Inggeris di kampus.
Sebaliknya, proses memperkukuh Bahasa Inggeris di IPT akan sentiasa berjalan terutama dalam usaha kita meningkatkan kualiti dan tahap kebolehpasaran graduan," katanya.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Mohamed Khaled berkata pelan tindakan itu dihasilkan berdasarkan Kajian Penggunaan Bahasa di IPT awam tahun lepas, yang mendapati tidak ada garis panduan yang tetap, berstruktur dan sistematik dalam memantapkan penggunaan Bahasa Melayu di IPT.
IPT-IPT di seluruh negara boleh memulakan usaha sepertimana dalam pelan tindakan itu mengikut kesesuaian selepas ia dilancarkan hari ini, katanya.
Mengenai ATMA, Mohamed Khaled berkata sehingga kini terdapat tujuh jabatan pengajian Melayu di universiti-universiti di China, manakala beberapa lagi di Eropah, Amerika, Jepun dan Korea yang selama ini tidak berhubungan antara satu sama lain.
"Selama ini sebahagian besar jabatan pengajian Melayu itu lebih menekankan Bahasa Indonesia, mungkin kerana kita tidak ada link, jadi kita nak mainkan peranan yang lebih aktif supaya kita dapat memantapkan penggunaan Bahasa Melayu di seluruh dunia," katanya.(sumber: MK, 27/10/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan