MAJLIS perasmian Persidangan Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di ibu negara, baru-baru ini meninggalkan kesan yang bukan sedikit.
Hampir 7,000 perwakilan dan pemerhati hadir sehingga melimpah ke luar dewan.Di sebalik Perkasa menerima banyak tekanan dan asakan, ternyata sokongan kepada pertubuhan tersebut terus meningkat termasuk dari kalangan orang muda.
Penulis turut hadir ke majlis perasmian Perkasa bagi memenuhi jemputan sebagai pemerhati. Memang terasa getarannya, sorakan daripada perwakilan dan para hadiri silih bergema. Seperti biasa ucapan Presiden, Ibrahim Ali menjadi tumpuan. Kandungan ucapannya menarik, segar dan dikupas secara ilmiah dengan mencakupi persoalan agama dan bangsa dalam konteks kesejahteraan untuk semua kaum. Memang tepat dengan tajuk ucapannya, Perkasa Pemangkin Perpaduan, yang harus diamati oleh musuh-musuh Perkasa jika mahu berlaku adil kepada pertubuhan itu.
Antara penekanan yang mendapat sorakan besar daripada perwakilan apabila Ibrahim mengulangi tekad Perkasa untuk mempertahankan perlembagaan dan asas kenegaraan.
Selain itu, pendirian Perkasa untuk terus menyokong kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Najib Tun Razak adalah mesej yang jelas kepada semua bahawa pertubuhan itu bukan ancaman.Penulis angkat topi kepada Ibrahim. Sama ada suka atau tidak untuk diakui, hakikatnya beliaulah yang banyak mencorakkan kejayaan Perkasa.
Dari sebuah pertubuhan yang pada awalnya tidak banyak diberi harapan, kini Perkasa terus melangkah gagah. ‘‘Hanya yang cekal dan berani sahaja dapat membina mercu perjuangan penuh mencabar,’’ kata Ibrahim. Penulis setuju.
Majlis perasmian Persidangan Agung Perkasa ke-2 menyaksikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor diberi anugerah tertinggi Perkasa.
Anugerah itu diberikan atas sumbangan besar beliau kepada negara terutama aspek keselamatan negara. Rahim merupakan tokoh ketiga menerima anugerah tersebut selepas mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tun Ibrahim Ismail.
Rahim turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan perasmian persidangan.Beliau memberikan perspektif menarik tentang cabaran keselamatan negara dengan berlatar belakang sejarah ancaman pengganas komunis yang ada hubungan kait ketika itu dengan gelombang aliran fahaman marxisme dunia.
Rupa-rupanya banyak yang boleh digali daripada bekas Ketua Cawangan Khas Polis ini untuk mendalami realiti. Ini termasuk sebahagian daripada aktivis Melayu berhaluan haluan kiri yang menjadi musang berbulu ayam. Matlamat ulung mereka adalah untuk menjadikan Malaysia negara republik. Ada yang berselindung atas imej agama dan nasionalis. (Persoalan marxisme dan komunisme turut melanda Indonesia. Antara buku yang boleh dijadikan rujukan ialah Siapa Menabur Angin Akan Menuai Badai tulisan Soegiarso Soeroyo. Ia turut memaparkan sebahagian dari fail sulit unit perisikan yang belum pernah terdedah.)
Alangkah baiknya jika Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dapat mengikuti ucapan Rahim untuk memahami realiti sebenar sebelum menjulang Mat Indera, salah seorang pengganas komunis sebagai wira.
Tetapi penulis ebih tersentuh dengan seruan Rahim agar Melayu kembali bersatu sebagaimana yang dibuktikan ketika menentang Malayan Union dan menolak ideologi komunis.
Katanya, orang Melayu ketika itu miskin dari segi ideologi, ilmu pengetahuan apatah lagi ekonomi. Namun tiga perkara yang orang Melayu ‘kaya’ iaitu ketaatan kepada raja-raja Melayu, agama dan perpaduan. Kekayaan itulah yang menyebabkan ancaman dan krisis pada era berkenaan mampu ditangani. Persoalannya mampukah Melayu kembali kepada tiga kekayaan tersebut terutama melibatkan perpaduan pada era gelombang lain iaitu hak asasi manusia? Sedangkan ancaman untuk menjadikan Malaysia republik - sama ada disedari atau tidak - makin mengasak kita. Penulis tiada jawapan.(disesuaikan daripada MM , 30/10/11)