Salam Perjuangan

14 Oktober 2010

TERENGGANUKU YANG PESONA






TIUB BOCOR meneruskan kembara rindu dan kasih sayang; kali ini menyusuri pesisir pantainya yang indah memukau.Alunan ombak dan desir angin yang menampar manja pepohon ru dan nyiur masih terasa.Di kejauhan pulan redang, pulau perhentian dan pulau kapas yang pernah TB jejaki pada tahun 1978 masih terasa nostalgik hingga kini.Banyak perubahan; antara pembangunan dan kemajuan telah dialami kota Kuala Terengganu yang kini telah bertaraf bandar raya.

Ketika TB berada di Dataran Syahbandar dan  di Tebing (Waterfront) TB seakan-akan merasakan Seberang Takir yang terletak di seberang kuala bagaikan bertukar wajah. Walhal Seberang Takir adalah kampung nelayan miskin yang daif suatu waktu dahulu. Teringat TB,teman-teman penulis seperti A.Rashid Ngah (Datuk,mantan Yang Berhormat), penyair J.M Aziz (Allahyarham), T.Alias Taib (Allahyarham) yang telah menjadikan Seberang Takir sumber inspirasi dalam karya mereka.Pasar Payang masih segar dengan jualan aneka kuih dan makanan tradisi yang enak; dan juga songket dan batik.

Apabila TB melewati  Gong Badak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Terengganu, TB sedih kerana stadium yang gagah dibina dengan keringat dan wang rakyat runtuh menyembah bumi kira-kira lebih tiga tahun lalu!Namun masih terbengkalai!!! Di manakah rasa tanggungjawab pihak yang dipertanggungjawabkan; khususnya kontraktor yang terbabit?Justeru,  tidaklah hairan di sana sini ada suara-suara sinis melabelkan dengan gelaran  stadium cap ayam, suatu gelaran yang memalukan.

Tidak berapa jauh dari Gong Badak, KUSZA kini yang telah dinaikkan taraf menjadi sebuah universiti awam yang dikenali dengan nama Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza…dahulu dikenali Universiti Darul  lman Malaysia-UDM) tersergam indah. Seorang putera TB kini sedang melanjutkan pengajian ijazah pertama dalam bidang Usuluddin dan Kaunseling lslam di universiti tersebut.

 Sama-samalah kita berdoa agar putera TB berjaya dan sejahtera dalam setiap saat kehidupan yang dilaluinya. Apapun dengan kerinduan dan kasih sayang, TB mencoretkan kembara ini dengan pantun-pantun untuk santapan nurani pembaca budiman:


Kota Baharu ke Pasir Putih,
Pasir Putih ke Kuala Besut,
Tidaklah penat tidaklah letih,
Membawa oleh-oleh sepasang kasut.

Jertih Besut ke Kuala Terengganu,
Negeri bergelar Darul Iman,
Segala juadah aneka menu,
Ketika bertemu santap berteman.


Gong Badak Seberang Takir,
Unisza menara ilmuan bertandang,
Pelita hati sumbernya berfikir,
Segala yang kabur jelas dipandang.

Rantau Abang singgah di Dungun,
Nyiur melambai indah pantainya,
Mimpi syahdu terjaga bangun,
Terkenang adinda tanpa beritanya.

Pantai Cendering menuju Maran,
Dalam Terengganu Darul Iman,
Warkah kutulis puisi kukarang,
Pengubat sukma zaman berzaman

Singgah menjamu di hentian Cendur,
Pantai Cerating hampir berdekatan,
Deru Kuantan kenangan diundur,
Mahu kubawa sarat muatan.




Tiada ulasan: