Salam Perjuangan

17 Oktober 2010



AL FATIHA


(Allahyarham Yalal Chin)

PERGINYA YALAL CHIN KE RAHMATULLAH

SECEBIS KENANGAN TIUB BOCOR

 “Kehilangannya memang mengejutkan kerana tiada sebarang pesanan, cuma arwah ada menepuk-nepuk bahu saya beberapa kali sebagai isyarat yang mungkin membawa maksud supaya menjaga diri (dengan baik) jika dia pergi buat selama-lamanya.”



     Sebelum itu, Allahyarham Yalal Chin (Yalal bin Mohd Achin) 67 tahun diletakkan di bawah pengawasan rapi Unit Rawatan Jantung (CCU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKUM) Kuala Lumpur terbabit selepas mengadu sakit dada ketika mengambil wuduk untuk menunaikan solat subuh di rumahnya pada 3 Oktober lalu. Suriani,37 yang menetap di Bandar Enstek, Sepang, berkata dia tidak memikirkan sebarang perkara sejak arwah dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung disebabkan doktor memberikan suaminya ubat hingga menyebabkannya berada dalam keadaan separa sedar.

     Menurutnya, arwah bukan koma cuma doktor berbuat demikian supaya dia dapat menenangkan diri sekali gus menurunkan tekanan darah tingginya, selain percakapannya juga tidak lancar.

       "Dia (arwah Yalal) adalah seorang suami yang baik kerana kami banyak kenangan indah sepanjang hayatnya. Dia juga diibaratkan sebagai tok guru atau cikgu kerana banyak memberi tunjuk ajar terutama mereka yang aktif dalam bidang teater," katanya ketika ditemui di Taman Paya Rumput Indah, Bertam, di sini. 
Jenazah arwah yang mempunyai 12 anak berusia antara 16 hingga 46 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak, di sini, kira-kira 11 pagi,Sabtu 16 Oktober 2010.

        Sepanjang menerima rawatan, Yalal yang juga anak seni kelahiran Melaka, bergilir-gilir dijaga Suriani serta anaknya. 
Yalal baru selesai menjalani penggambaran filem cereka genre drama keluarga, Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki. Dalam filem cereka terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd ini, Yalal memegang watak pelakon pembantu (pemilik gerai).

TIUB BOCOR: Walaupun  pada awalnya TB hanya mengenali Yalal Chin secara jauh sebagai seorang penggiat teater yang gigih,komited dan berwibawa sejak sekian lama; sama ada menerusi pentas teater mahupun penglibatan aktifnya dalam drama TV dan radio serta  lakon filem cereka namun di penghujung kehidupannya TB berkesempatan mendekatinya sebagai penggiat dan anak seni serta sebagai seorang insan yang memahami erti kemanusiaan.


        Seingat TB, pada tahun 2006 TB dan Yalal Chin bersama rakan-rakan lain telah dilantik oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara(JLKN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur sebagai Fasilatator dan juru tunjuk teater bagi para pelatih JLKN yang mengikuti PLKN pada tahun tersebut iaitu sebelum TB berangkat ke Negara Brunei Darussalam dan kemudian berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di IPTA sana pada tahun-tahun berikutnya.Suatu ketika pernah Yalal Chin bertindak sebagai Ketua Fasilator manakala TB sebagai Fasilatator di bawah seliannya dan kemudian TB sebagai Ketua Fasilatator manakala Yalal sebagai fasilatator di bawah selian TB.


   Walaupun Yalal Chin lebih senior dari segi usia dan pengalaman pembabitannya dalam teater namun beliau memiliki sikap terbuka, humanistik, ramah,humor dan tidak lokek berkongsi ilmu.0leh kerana kami juga disediakan asrama untuk berehat kerana tugas kami kadangkala dari pagi sampai ke petang hingga ke malam maka berehat dalam asramalah kami dapat mengenali dengan lebih erat. 


       Banyak cerita lucu,kelakar terutamanya tentang kisah rumahtangga yang ditempuhi masa lalu yang penuh asam garam,pahit manis,bara dan lara. Lucunya, TB banyak mendengar dan sesekali bertindak bagai Perunding Psikologi Keluarga walaupun kehidupan TB juga punya rencah onak dan duri.


         TB masih ingat, sesekali Allahyarham agak vokal apabila bercerita tentang pengalamman birokrasi yang ditempuhinya masa lalu.TB kagum kerana walaupun jauh di lubuk nurani kehidupanya yang penuh rona, Allahyarham sentiasa cuba menggembirakan hati orang lain dan menghidupkan suasana yang sepi di kem JLKN tersebut yang terletak di Tanjung Sepat dalam negeri Selangor Darul Ehsan.

        Kini Yalal Chin telah pergi selama-lamanya, padam sebuah pelita anak seni bangsa.Sebagai seorang penggiat teater,pengarah dan pelakon teater  yang telah lama dikenali sejak di USM,Pulau Pinang, TB mendoakan agar Alllah SWT menempatkan roh beliau ke dalam golongan ahli syurga.Semoga keluarga beliau khususnya isteri dan anak-anaknya tetap tabah menghadapi pemergiannya.Kepada teman-teman penggiat teater TB dari Muar,Johor iaitu Allahyarham Saparman Bakri, Jufri Sitam, Aris Tahir dan Mahfar Tahir yang diberitakan telah kembali ke rahmatullah jua, TB sedekahkan alfatiha untuk mereka semua. Daripada Allah kita datang kepada-Nya kita kembali.Alfatiha……

Tiada ulasan: