Salam Perjuangan

30 Oktober 2010

NOVELIS VETERAN MENINGGAL DUNIA

(Ibrahim Omar)
Sasterawan, wartawan dan novelis 'Desa Pingitan', Ibrahim Omar meninggal dunia di kediamannya di Kampung Mela, di sini , semalam. Allahyarham berusia 74 tahun meninggal dunia kerana sakit tua dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Mela di sini selepas solat Jumaat,  Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak perempuan.

    Allahyarham terkenal dengan novelnya,'Desa Pingitan' diterbitkan Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 1964 mengisahkan kehidupan masyarakat Melayu di kampung dan di bandar sekitar 1960-an.
  
    Novel itu pernah memenangi hadiah kedua Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1962 dan dipilih menjadu buku teks wajib di sekolah menengah bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1966 hingga 1968.

     Selain Desa Pingitan , Allahyarham turut menghasilkan novel Embun dan Tanah (1965), Hilang (1966), Hujan Panas (1966), Patah Galah Haruan Perahu (1973), Tiba Masanya (1977), Rembang Merah (1979), Tok Bilal (1985) dan Bencana (1988).

     Allahyarham turut menghasilkan beberapa cerita rakyat dan novel kanak-kanak/remaja seperti Bintang Harapan (1984), Baju Biru Nimbor 10 (bersiri) (1985), Istana Seri Kelopak (1985), Perang Kerambit (bersiri) (1986), dan Tuk Selampit (1986).

TIUB BOCOR  membaca novel Desa Pingitan ketika TB berusia 11 tahun.Keberkesanan watak dan perwatakan dalam novel itu amat terkesan ke dalam jiwa TB sehingga dewasa. Yang menarik, suatu waktu pada tahun 1980 TB datang dan menjengok, melawat dan bermalam di Kampung Mela, sebuah kampung pedalaman di pinggir bandar Jerantut- Kuala Lipis Pahang.Yang TB masih ingat, di kejauhan malam peluit dan gegaran gerabak kereta api sayup-sayup kedengaran menyentak kalbu.Kampung Mela adalah latar yang mendominasi dalam novel tersebut.Ketelitian dan kecekapan pengarang memanipulasikan keindahan bahasa amat berjaya,pembaca dapat merasakan dalam suasana yang serba hidup dan segar.Begitulah kehebatan Pak lbrahim 0mar yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat 29 Oktober lalu.Kerana tertawan dengan Kampung Mela dalam novel Desa Pingitan membuatkan TB menyimpan hasrat mahu melawat kampung tersebut dan akhirnya dapat menjejakinya.

Pak lbrahim akhirnya tidak asing lagi dalam kehidupan TB apabila beliau bertugas sebagai wartawan,penyunting dan pengarang di syarikat akhbar Utusan Melayu sekitar tahun 1980-an -90-an, dan TB seringkali bertemu  Allahyarham di pejabat akhbar Utusan Malaysia/Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin,Kuala Lumpur.Selain menitipkan karya dan hasil tulisan TB, kesempatan bersembang dan menimba pengalaman daripada pengarang tersohor yang TB kagumi kerana beliau tidak lokek mencurahkan pengalaman berharga dalam bidang penulisan.Bertemu dan berborak dengan sahabat-sahabat di Utusan walaupun dalam suasana mengejar waktu dengan ketukan mesin taip ketika itu amat menyenangkan. Teman-teman Utusan seperti lbrahim Omar,Zainol Fakir,Wahid Kasran, Wahba, Kamaluddin Lela, Mat Piah Teh ldiris,dan lain-lain lagi sering mengalu-alukan kehadiran penulis bebas seperti TB.Namun situasi sekarang TB tidak pasti.

Apabila mendapat khabar berita pemergian Pak lbrahim, TB sempat menghantar SMS kepada Ahli Parlimen Lipis YB Datuk Dr Shahrom 0sman, teman sekuliah  TB masa lampau....mencadangkan agar kerajaan Pahang menganugerahi atau memberi darjah kebesaran kepada anak Pahang,pengarang tersohor yang mengharumkan nama Pahang di perdana kesusasteraan tanah air.Kepada keluarga Allahyarham lbrahim Omar, TB merakamkan dan mengucapkan takziah.Semoga Allah SWT menghimpunkan roh Allahyarham ke dalam golongan orang-orang yang salih.Amin.Al-Fatiha....

Tiada ulasan: