Saya adalah seorang pengundi di Kuala Lumpur dan sudah pun menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang rakyat Malaysia dengan mengundi pada dua Pilihan Raya Umum yang lalu. Sudah pasti, parti politik yang mampu memperjuangkan hak saya dengan baik menjadi pilihan.
Bercakap mengenai soal politik, saya sebenarnya berminat untuk memerhati proses politik Negara. Minat saya terhadap proses politik negara bermula semenjak dari bangku sekolah lagi.
Walaupun pada ketika itu, tahap pengetahuan saya terhadap politik negara hanyalah sekerat dua tetapi menerusi pembacaan makalah-makalah dan surat khabar politik yang sarat dengan berita politik secara konsisten, lama-kelamaan pengetahuan itu meningkat naik.
Satu-satunya pemerhatian yang saya anggap menarik untuk dikupas di sini adalah telatah dan sikap pemimpin politik itu sendiri. Umum tahu bahawa pemimpin politik bukanlah calang-calang individu biasa. Mereka ini berupaya mempersembahkan kepelbagaian wajah mereka kepada para pengundi dengan baik hingga berupaya mempengaruhi kumpulan pengundi yang tegar.
Pada masa yang sama juga, mereka mampu untuk memberikan janji-janji yang hebat belaka kepada pengundi dan tak kurang hebatnya juga menafikan sesuatu bila mana keadaan tidak memihak kepada mereka. Kata-kata seperti “no comment, saya tak tahu, dan saya disalah petik”“ adalah antara kata yang sering keluar dari mulut mereka.
Inilah kehebatan sebenar individu yang bernama politikus. Seseorang politikus tidak pernah mengenal erti putus asa selagi impian atau matlamat mereka tidak tercapai. Mereka (politikus) tidak boleh dipersalahkan bulat-bulat dalam keadaan ini kerana itulah satu-satunya cara untuk mengekalkan kelangsungan mereka.
Dalam konteks parti MCA terutamanya mengenai ucapan dasar Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-57 hujung minggu lalu, peringatan oleh Mantan Menteri Kesihatan kepada masyarakat Tionghua agar berwaspada dengan tindak-tanduk PAS yang akan melaksanakan pemerintahan Islam di Malaysia menarik perhatian para penganalisis, pemerhati dan pengkritik politik.
Menurut Soi Lek lagi, PAS tidak akan sesekali menggadaikan pendirian mereka mengenai Islam dalam agenda politik mereka. Beliau juga meminta semua rakyat Malaysia untuk berfikir semasak-masaknya sama ada PAS dan Pakatan Rakyat merupakan pilihan yang terbaik buat Negara.
Bagaimanapun, reaksi yang diberikan dalam lidah pengarang beberapa portal internet berserta dengan komentar oleh para pembaca serta penganalisis politik ternyata tidak begitu “peramah” kepada Soi Lek. Apa yang dibangkitkan oleh Presiden MCA itu nyata bukanlah perkara baru malah peringatan tersebut telah pun diperkatakan berulang-ulang kali dengan harapan masyarakat Tionghua akan termakan dengan peringatan itu.
Keputusan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu seperti di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang sudah pun membuktikan bahawa peringatan sebegitu tidak menampakkan kesan yang efektif seperti yang diharap-harapkan.
Sebagai seorang pengundi Tionghua, saya sendiri pun mengharapkan agar sentimen negatif masyarakat Tionghua kepada pihak pemerintah dapat dipulihkan kembali. Kerana saya percaya dengan adanya sokongan pengundi Tionghua kepada MCA, barulah BN dapat bertapak dengan lebih kukuh dan tidak berfungsi sebagai gagasan yang longgar. Sebuah gagasan yang lemah tidak mungkin akan menahan kemaraan pihak musuh daripada menyerang.
Sudah tentu ada sebab-musababnya mengapa trend penolakan masyarakat Tionghua kepada pihak pemerintah yang berlarutan sejak 2008 lagi terus berleluasa. Situasi tersebut tidak berlaku semalaman ataupun berlaku secara tiba-tiba tetapi amarah itu telah terbuku dalam hati sejak sekian lama. Dan sudah semestinya trend ini dikaji dan diteliti dengan mendalam sebelum sebarang kesimpulan melulu ditujukan kepada komuniti Cina.
Menyentuh mengenai peringatan Presiden MCA agar masyarakat Tionghua untuk buka mata terhadap PAS, saya bagaimanapun melihat tindakan berkenaan tidak kena pada tempat dan merupakan modal politik yang counter-productive.
Dari aspek psikologi, peringatan itu seolah-olah mempersoalkan kebijaksanaan masyarakat Tionghua dalam membuat pilihan. Mengenali dengan lebih dekat terhadap psikik pengundi Tionghua, mereka tidak gemar diberitahu untuk berbuat itu dan ini.
Sungguhpun mereka tidak bersuara tidak bermakna mereka tidak mempunyai pendirian atau tidak berbuat apa-apa. Inilah ragam pengundi Tionghua yang lebih suka membuat pendirian dalam peti undi kelak. Kumpulan pengundi Tionghua sebenarnya adalah sebuah kumpulan yang pragmatik dan bertindak berdasarkan isu-isu. Pendek kata, politik emosi jarang ditunjukkan.
Semua tahu, negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Dalam demokrasi, setiap pengundi bebas memilih parti-parti politik yang disukainya. Ada yang memilih berdasarkan kepada calon dan isu dan tak kurang juga berlandaskan kepada parti politik. Sekarang terpulanglah kepada parti-parti politik untuk meyakinkan pengundi bahawa parti politik mereka adalah pilihan terbaik.
Tidak perlulah pemimpin-pemimpin politik memberikan peringatan kepada pengundi bahawa parti yang satu lagi tidak baik. Ini bukanlah satu persaingan politik yang sihat. Politikus-politikus kita haruslah bersikap lapang dada dalam menilai sesuatu isu dan bukannya membangkang membuta-tuli. Membangkang pun biarlah bertempat dan tengok kepada isu.
Seandainya PAS tidak akan meninggalkan pendirian Negara Islamnya, dan berkemungkinan besar TIDAK, seperti yang dijangka, apakah yang akan berlaku selepas ini? Perkembangan ini merupakan satu fakta yang telah diketahui umum dan telah pun digunakan dalam beberapa kempen PRK. Mesej jelas kepada pengundi Tionghua telah pun disampaikan namun bukan semua pengundi Tionghua yang terpedaya dengan hujah tersebut.
Sama ada PAS merupakan parti pilihan atau sebaliknya, biarlah pengundi Tionghua yang menentukannya. Lagipun kebijaksanaan dan kerasionalan pengundi Tionghua dalam memilih parti dan pemimpin pilihannya sudah terbukti sebelum ini.
Jika PAS bukan pilihan yang bagus, maka pengundi Tionghua boleh menggunakan kuasa mereka pada PRU nanti untuk menolak mereka. Dan jika MCA didapati bagus dan memenuhi kehendaknya, sudah tentu parti tersebut akan dipilih.
Taktik menakut-nakutkan pengundi Tionghua saya khuatir sudah tidak relevan dan berkemungkinan akan terus meniupkan perasaan meluat yang lebih luas dalam diri mereka. Tindakan ini hanya akan memburukkan keadaan dan bukannya membantu MCA.
Dengan ledakan teknologi maklumat yang makin canggih seperti Facebook, Twitter dan laman sesawang interaktif, pelbagai maklumat yang tidak mungkin diperoleh dalam media perdana boleh didapati di sini. Keadaan ini menjadikan pengundi-pengundi Tionghua lebih peka dan mengetahui keadaan semasa.
Saya bersetuju dengan saranan YAB Perdana Menteri bahawa MCA perlu diberikan lebih banyak latitud untuk bersuara dalam memperjuangkan isu-isu masyarakat Tionghua. Bagi saya, itu petanda bahawa MCA masih penting buat BN. Itu adalah petanda bahawa PM masih menaruh kepercayaan kepada fundamental MCA. Tetapi latitud yang diberikan haruslah dimanfaatkan dengan pendekatan yang menetapi citarasa dan realiti semasa.
Realiti semasa yang ada di mata kita memperlihatkan bahawa bukan semua masyarakat Tionghua yang takut dengan isu Negara Islam. Pandangan yang diberikan ini bukanlah mewakili diri saya semata-mata tetapi ia juga datangnya daripada pandangan-pandangan yang saya peroleh menerusi perbualan saya dengan orang ramai di kedai-kedai kopi, rakan taulan malahan juga sanak-saudara terdekat.
Bukanlah hajat saya di sini untuk menanggung di air keruh tetapi sekadar memberikan pandangan saya sebagai seorang rakyat marhaen yang tidak seberapa. Ada kalanya teguran yang terlalu pedas mungkin tidak menyenangkan sesetengah pihak tetapi gambaran sebenar perlu diberikan.
Masyarakat Tionghua telah memilih untuk menyokong pakatan pembangkang pada PRU 12 2008 lalu. Itu adalah hakikat dan kini dua tahun setengah selepas peristiwa yang signifikan itu, trend tersebut bukan sahaja tidak berubah bahkan makin mengukuh.
MCA wajarlah berbuat sesuatu yang radikal untuk mengubah trend yang makin merimaskan itu. Jika pendekatan lama tidak menampakkan kesan yang dimahukan, maka sudah tiba masanya untuk beralih kepada strategi-strategi yang lebih praktikal.
Sesungguhnya, tidak ada jalan pintas buat MCA untuk mengembalikan keyakinan masyarakat Tionghua terhadap mereka melainkan bersedia untuk berubah. Agenda perubahan yang dicanangkan oleh parti sekarang masih boleh diperbaiki.
Lebih penting lagi, pucuk kepimpinan sedia ada tidak boleh terlalu obses dengan agenda menghentam parti politik lain sebagai modal politik mereka. Sebaik-baiknya MCA kerja keras dan buktikan semula kepada para pengundi bahawa mereka berhak menjadi parti pilihan mereka.
Pendek kata, raih penghormatan dengan cara yang baik. Kebergantungan kepada isu yang dimaksudkan tadi mungkin akan memakan diri sendiri.
Pelajarilah daripada sejarah dan jangan mengulangi kesilapan masa silam!
(disesuaikan daripada The M.lnsider oleh Marcus Lim)