Salam Perjuangan

09 Februari 2013

KUPU SB BRUNEI MENANG TILAWAH AL-QURAN IPT ASEAN





Awang Mohammad diapit oleh Haji Zainul Ariffin (kiri) dan Haji Roslan ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei malam kelmarin.

MAHASISWA Tahun II, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Mohammad bin Ali, bukan saja telah mengharumkan nama KUPU SB tetapi juga Negara Brunei Darussalam apabila meraih tempat ketiga Tilawah Al-Quran dalam IHTIFAL Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Malaysia.

Beliau yang baru saja pulang ke tanah air telah pun memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Qurannya bersama-sama dengan 14 orang lagi peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam yang menyertai Tilawah Al-Quran Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN, IHTIFAL USIM berkenaan.

Dalam temu bual bersama Media Permata, jurulatih Awang Mohammad iaitu Ustaz Haji Zainul Ariffin Haji Riduan Lubis yang merupakan Pensyarah KUPU SB itu berkata bahawa wakil peserta Negara Brunei Darussalam menerusi KUPU SB telah mempersembahkan satu persembahan yang terbaik.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman dan ilmu sebagai seorang hakim yang sudah sering kali dilantik ke Pertandingan Peringkat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Awang Mohammad telah membuat persembahan yang baik di dalam pertandingan itu di sebalik keterbatasannya untuk mengeluarkan suara terbaiknya akibat kesihatannya yang tidak seimbang,

Beliau yang ditemui sejurus selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei lewat malam tadi bersama rombongan KUPU SB yang lain itu seterusnya memuji Awang Mohammad kerana berjaya merealisasikan saranan jurulatih menggunakan kaedah-kaedah tertentu ke arah memastikan mutu bacaannya tidak terjejas ketika pertandingan.
Dekan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, KUPU SB, Ustaz Haji Roslan Haji Untung selaku Ketua Rombongan turut menyatakan rasa puas hatinya dan mengucapkan tahniah kepada Awang Mohammad.

Beliau kemudiannya menyatakan bahawa beliau Insya-Allah akan mencadangkan kepada KUPU SB supaya menghantar qari dan juga qariah KUPU SB di IHTIFAL USIM, Malaysia di masa akan datang.
Bermula dari 31 Januari lalu, IHTIFAL USIM tahun ini telah dimuatkan dengan Konvensyen Dakwah Muda dan tiga pertandingan iaitu Debat Bahasa Arab, Nasyid dan Tilawah, yang turut dibukakan kepada IPT ASEAN, dan KUPU SB telah turut menghantar wakilnya menyertai Debat Bahasa Arab dan Nasyid (Lelaki).

Dalam IHTIFAL USIM yang disertai lebih 30 IPT dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam itu, selain KUPU SB, Brunei Darussalam telah turut diwakili Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Menurut Ustaz Haji Roslan, dalam Debat Bahasa Arab, wakil KUPU SB telah menunjukkan satu persembahan yang tidak menghampakan sehinggakan peserta KUPU SB itu telah berjaya sebanyak tiga kali di peringkat saringan namun belum rezeki wakil KUPU SB itu untuk mara ke peringkat seterusnya.

Bagaimana pun menurut beliau, lagi satu pujian perlu diberikan kepada peserta kerana berani tampil dan memberikan saingan yang hebat di dalam pertandingan berkenaan.

Bertitik tolak dari penyertaan itu menurutnya lagi pihak KUPU SB akan menjadikannya sebagai satu pengalaman baru untuk bertanding Debat Bahasa Arab di luar negara dan berharap di masa akan datang akan dapat memperbaiki gaya persembahan berdasarkan pengalaman yang ada.

Di dalam Pertandingan Nasyid pula, Jurulatih KUPU SB, Ustaz Haji Zainul Ariffin mengatakan bahawa peserta IPT negara sama ada UBD, UNISSA dan KUPU SB telah menunjukkan gaya persembahan yang baik, dengan kesemuanya rata-rata masih dapat mempersembahkan nasyid Islami yang asli di samping tidak meninggalkan piawaian yang telah di tetapkan oleh pihak penganjur.

Menurut beliau lagi peserta dari KUPU SB telah dapat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur, iaitu tidak terdapat kesalahan-kesalahan berlaku baik dari segi gerak geri, suara, tempo dan sebagainya dilakukan peserta semasa pertandingan.
Pertandingan Nasyid IHTIFAL USIM, IPT ASEAN telah dimenangi oleh pasukan tuan rumah sendiri iaitu Universiti Sains Islam Malaysia.

TB: Tidak lupa ucapkan tahniah kepada warga KUPU SB. Salam kepada Dr Abdullah Awang Lampoh dan sahabat-sahabat lain yang masih mengenali TB.

 (SUMBER:Hasrulraizan)

Tiada ulasan: