DI SEBALIK keramahan serta tutur katanya yang lembut, Dato' Haji Mohd.Rashdi Ramlan dikenali sebagai antara pengetua MCKK yang paling tegas.
Bagi pelajar yang tegar melanggar peraturan sekolah, bunyi sentap hayunan rotan Mohd. Rashdi singgah di punggung pasti menjadi memori yang tidak akan terpadam sehingga ke hari tua.
Selain itu, Mohd. Rashdi juga terkenal dengan ungkapan '10 alasan' iaitu pertanyaan yang biasa ditanya beliau kepada pelajar yang didapati melanggar peraturan sekolah tersebut.
Jika gagal menyatakan 10 alasan kenapa mereka tidak boleh dihukum, maka pelajar berkenaan perlu bersedia menghadapi dua kemungkinan - dirotan atau dibuang sekolah.
Mengimbas kembali detik-detik menjadi pengetua di MCKK, Mohd. Rashdi yang kini sudah menginjak usia 66 tahun memberitahu, pengalamannya bertugas di sekolah itu amat dirinduinya.
Menurut Mohd. Rashdi, beliau masih ingat peristiwa seorang pelajar yang sedang dirotannya merayu supaya hukuman tersebut 'ditangguhkan' sementara kerana sebatan yang pertama sudah terlalu sakit untuk ditanggung.
Ironinya, kata beliau, bekas pelajarnya itu masih menghubunginya sehingga hari ini dan jarang sekali lupa untuk mengucapkan terima kasih terutama pada sambutan Hari Guru.
''Tiada sedikit pun rasa sesal di hati saya kerana berlaku tegas kepada anak-anak didik saya. Mungkin ada antara mereka tidak suka saya ketika di MCKK, tetapi mereka pasti mengingati saya apabila sudah keluar di dunia sebenar," katanya kepada S2 baru-baru ini.
Dato' Haji Mohd. Rashdi Ramlan |
Dalam keadaan tertentu, katanya, pelajar sekolah itu juga bijak dalam melanggar peraturan termasuk suka fly off - istilah pelajar keluar dari asrama tanpa kebenaran.
''Mereka ini bijak, jadi kita juga perlu bijak tangani sikap dan tindak-tanduk mereka. Prinsip saya mudah, kalau anda (pelajar) boleh terlepas ketika melakukan kesalahan, tahniah. Tetapi, jika tertangkap, anda perlu sedia dan berani menerima hukuman," katanya.
Oleh sebab itu kata Mohd. Rashdi, beliau gemar meminta pelajar yang melanggar peraturan supaya memberi 10 alasan kenapa mereka tidak patut dihukum.
''Selalunya mereka tidak akan jawab, bukan kerana mereka tidak bijak, tetapi kerana sedar bahawa mereka telah melakukan kesalahan dan mereka mesti bersedia dihukum," katanya yang bertugas sebagai pengetua MCKK dari 1988 hingga 1993.
Namun, kata Mohd. Rashdi, tidak pernah beliau mendengar wujud rasa marah atau dendam pelajar kerana mereka sudah dididik untuk bertanggungjawab dalam apa cara dan keadaan sekali pun.
Malah katanya, walaupun sudah 26 tahun meninggalkan MCKK, ramai bekas anak didiknya termasuk yang pernah beliau 'hukum' suatu ketika dahulu masih menghubunginya untuk bertanya khabar.
''Terlalu banyak kenangan, Tuhan sahaja tahu betapa bangganya saya menjadi sebahagian daripada sejarah MCKK. Tiga anak lelaki saya juga belajar di MCKK dan saya pasti mereka juga berkongsi kebanggaan yang sama," katanya (sumber disesuaikan daripada U.M 19/2/2013).
TB: Sebagai bekas anak muridnya, TB turut berbangga kejayaan kerjaya Dato"Haji Mohd Rashdi Ramlan walaupun tidak sampai satu anak tangga sebagai KPKPM. Datuk Mohd Rashdi Ramlan atau 'Cikgu Rashdi' adalah guru Ekonomi TB semasa belajar di SDAD 1973-74.Sebagai guru kami, beliau sering memberi motivasi dalam kelas. Cikgu Mohd Radzi Rahim, Cikgu Rahim Omar ,Miss Kim Davis, Cikgu lsmail Mahayuddin, Cikgu Abdul Rahim Ahmad dan lain-lain lagi tidak kurang juga memberi semangat agar kami terus maju jaya.
Tentulah keadaan Cikgu Rashdi berbeza apabila beliau memegang jawatan sebagai pengetua di MCCK sebagaimana yang dilaporkan. Namun komitmen beliau kepada anak-anak didiknya tetap menjadi ingatan berterusan yang tidak dapat kami lupakan.
TB masih ingat ketika itu Cikgu Rashdi masih 'muda belia', masih 'bujang trangtang' dan masih 'meronda-ronda berbasikal di tanjung Muar'. Walaupun TB tidak bijak sangat dalam subjek Ekonomi seperti sebilangan besar rakan-rakan sekelas TB seperti Borhan, Baharu, Abu Hassan atau Syed Jaafar (Arab, telah kembali ke rahmatullah,2006) tetapi Cikgu Rashdi tetap melayan mesra semua muridnya dalam kelas dengan penuh tanggung jawab.
Cikgu Rashdi dikenali sebagai guru yang bergaya dan berketrampilan dalam berpakaian. Rata-rata kami para pelajarnya ketika itu sering memerhatikan gayanya dalam berpakaian.Apatah lagi Cikgu Rashdi yang kami tahu lepasan siswazah luar negara (Australia) ketika itu sering menjadi idola kami. Kami juga tetap tidak lupa guru-guru kami ketika itu yang sering memberi motivasi kepada kami sebagaimana yang telah TB sebutkan di atas. TB tidak nafikan sebagai Pengetua MCKK yang mana situasi ketika itu telah berbeza.
Cikgu Rashdi yang kami kenali seorang yang mudah tersenyum.Ada ketikanya senyuman beliau adalah senyuman sinis.Beliau ketika itu kelihatan romantis,berbicara lembut dan mesra pelajar. Ya, mungkin pendekatan psikologi ke atas kami para pelajar tingkatan enam agak berbeza lantaran mungkin kami lebih tampak menuju kematangan.
Cikgu Rashdi yang kami kenali seorang yang mudah tersenyum.Ada ketikanya senyuman beliau adalah senyuman sinis.Beliau ketika itu kelihatan romantis,berbicara lembut dan mesra pelajar. Ya, mungkin pendekatan psikologi ke atas kami para pelajar tingkatan enam agak berbeza lantaran mungkin kami lebih tampak menuju kematangan.
TB bertemu seterusnya dalam beberapa mesyuarat peringkat tertinggi KPM semasa beliau menginjak setapak demi setapak dalam kerjayanya sebagai pegawai utama PPD, Pengarah JPN Johor dan pegawai atasan di KPM manakala TB ketika penghujung era 1990-an dan 2000 TB terbabit sebagai aktivis utama kesatuan sekerja sektor keguruan.Lantaran itu kami sering bersua di mesyuarat Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan KPM pada zaman Tan Sri Dr Wan Zahid , Datuk Mat Nor Daim, Tan Sri Dr Abdul Shukor (Allahyarham) dan Tan Sri Mohd Rafie (Allahyarham).
Begitulah Cikgu Rashdi, cikgu TB yang TB rasakan diri TB sebagai insan kerdil tetapi TB rapati dan perkenalkan diri TB semula sewaktu roda sejarah kehidupan berputar kembali sewaktu waktu dahulu. Cikgu Rahsdi tentu berbangga anak muridnya berjaya mencapai dalam akademik walaupun TB tidak berjaya sehebat beliau menaiki 'tangga pangkat'. Walaupun TB juga telah dianggap 'tua' ketika itu, tetapi rasa hormat dan 'malu' amat menebal juga di jiwa TB.
Sekiranya, TB ada 'kelayakan' seperti dahulu sebagai 'AJK pemilihan tokoh guru kebangsaan' sebagaiamana sebelum tahun 2005 maka tidak teragak-agak Cikgu Rashdi Ramlan akan TB calonkan sebagai TOKOH GURU KEBANGSAAN.Namun atas kecemerlangannya beliau akhirnya dinobatkan menjadi TOKOH GURU KEBANGSAAAN 2008 ketika TB berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di sebuah IPTA di luar negara. Tahniah, Cikgu Rashdi! (TB)
Sekiranya, TB ada 'kelayakan' seperti dahulu sebagai 'AJK pemilihan tokoh guru kebangsaan' sebagaiamana sebelum tahun 2005 maka tidak teragak-agak Cikgu Rashdi Ramlan akan TB calonkan sebagai TOKOH GURU KEBANGSAAN.Namun atas kecemerlangannya beliau akhirnya dinobatkan menjadi TOKOH GURU KEBANGSAAAN 2008 ketika TB berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di sebuah IPTA di luar negara. Tahniah, Cikgu Rashdi! (TB)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan