Salam Perjuangan

11 Februari 2013

ASAL USUL RAJA MELAKA


SANG NILA UTAMA  ialah seorang putera Melayu dari keturunan diraja Srivijaya yang menubuhkan kerajaan Singapura lama pada tahun 1324. Baginda ialah anak kepada pasangan Sri Nila Pahlawan (Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana) dan Wan Sendari (anak kepada Demang Lebar Daun pemerintah Palembang). Menurut Sejarah Melayu, Sri Nila Pahlawan dari keturunan Iskandar Zulkarnainmuncul di Bukit Siguntang Mahameru bersama dua saudaranya, Sri Nila Utama dan Sri Krishna Pandita.
Pada masa itu, Palembang diperintah oleh seorang Raja bernama Demang Lebar Daun. Apabila mendengar khabar ada anak raja besar keturunanIskandar Zulkarnain turun di Bukit Siguntang, baginda pun terus ke sana untuk bersemuka dan mengambil berkat kebesaran anak raja itu.
 Nila Pahlawan kemudiannya berkahwin dengan anak kepada Demang Lebar Daun dan Tuan Telanai bernama Wan Sendari. Baginda kemudiannya mengambil alih takhta Palembang dari Demang Lebar Daun selepas satu sumpah setia. Baginda memakai gelaran "Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana" (Sang Sapurba).
Sri Nila Pahlawan dikurniakan 4 orang anak iaitu Sang Maniaka, Sang Nila Utama, Puteri Chandra Dewi, Puteri Sri Dewi dan Puteri Mengindra Dewi.
Selepas serangan hebat tentera Majapahit pada kurun ke-13, baginda dan keluarga diraja yang lain berpindah ke Bintan dan baginda mangkat di sana. Baginda digantikan putera keduanya, Sang Nila Utama yang memakai gelaran "Sri Maharaja Sang Utama Parameswara, Batara Sri Tri Buana".
Ketika pergi memburu di sebuah pulau, Sang Nila Utama ternampak seekor rusa dan mengejarnya sehingga baginda sampai ke sebuah batu besar. Baginda membuat keputusan memanjat batu tersebut hingga ke puncaknya lalu ternampak sebuah pulau lain dengan pantai yang putih dan cantik.
Baginda diberitahu oleh salah seorang menterinya yang pulau itu ialah Temasek. Baginda membuat keputusan untuk melawat pulau tersebut namun dalam pelayaran ke sana kapal baginda dipukul ribut yang kuat dan dimasuki air.
Untuk mengelakkan kapal itu dari karam, pengiring baginda membuang semua barangan berat ke dalam laut untuk meringankan kapal. Bagaimanpun, kapal itu masih dimasuki air dan karam sedikit demi sedikit. Atas nasihat nakhoda kapal, baginda membuang mahkota kerajaan yang berat ke dalam laut, serta merta ribut berhenti dan mereka selamat sampai ke Temasek.
Baginda mendarat di muara sungai Singapura sekarang dan terus menuju ke hutan untuk memburu haiwan liar. Tiba-tiba baginda ternampak binatang pelik yang berbadan merah, berkepala hitam dan berdada putih. Binatang itu kelihatan sangat cantik dan bergerak dengan pantas hilang ke dalam hutan.
Baginda bertanyakan tentang binatang itu kepada Bendahara lalu diberitahu yang ia seekor singa. Bagaimanapun, kajian terbaru di Singapura menunjukkan singa tidak pernah hidup di situ, apa yang mungkin ternampak oleh Sang Nila Utama ialah seekor harimau malaya.[1][2]
Merasakan ini adalah petunjuk yang baik, baginda memutuskan untuk membina sebuah kota baru di Temasek dan menamakannya "Singapura". "Singa" bersempena nama binatang yang dijumpai baginda dan "pura", satu perkataan sanskrit bermaksud "kota" atau "bandar". Jadi "Singapura" bermaksud kota singa atau bandar singa.
Sang Nila Utama terus memerintah Singapura selama 48 tahun dan mangkat pada tahun 1372 dan dimakamkan di Bukit Larangan (hari ini Fort Canning Hill).
Sang Nila Utama telah berkahwin dengan puteri Demang Lebar Daun dari Palembang iaitu Raden Ratna Cendera Puri, yang juga merupakan ibu saudara Sang Nila Utama dari sebelah ibunya (adik-beradik Wan Sendari)[3]. Hasil perkahwinan dikurniakan seorang putera bernama Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386).
Selepas kemangkatan baginda Sang Nila Utama, 3 lagi Raja memerintah Singapura bermula dari anakdanya iaitu Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386), cucunya Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386 - 1399) dan yang terakhir cicitnya Paduka Sri Maharaja Parameswara (1399 - 1401).
Pada tahun 1401, cicit baginda iaitu Paduka Sri Maharaja Parameswara diusir dari Singapura selepas Majapahit berjaya menawan Singapura. Baginda kemudiannya melarikan diri ke utara dan menubuhkan kerajaan Melaka pada tahun 1402.
Sang Nila Utama ialah anak kepada Sri Nila Pahlawan (Sang Sapurba) yang diceritakan dalam Sejarah Melayu sebagai nenek moyang legenda Raja-raja Melayu. Dari keturunan baginda, wujud dinasti-dinasti kerajaan di alam Melayu seperti Melaka, Johor dan Perak. Sultan Perak ke-34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (1984 - sekarang) ialah keturunan langsung dari Sultan Perak pertama, Sultan Muzaffar Shah I (1528 - 1549), iaitu salah seorang putera Sultan Mahmud Shah (1488–1528), Sultan Melaka terakhir.(sumber: Sejarah Melayu  & Wikipedia)

Tiada ulasan: