Salam Perjuangan

24 Februari 2013

BN JOHOR BUKAN MUSTAHIL BOLEH KALAH ?


MENTERI  Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mahu kesemua 26 kerusi parlimen di negeri ini dimenangi atas nama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sekaligus memastikan Johor kekal menjadi kubu kuat BN.

Beliau berkata, rakyat Johor perlu bersama-sama memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, seterusnya menjaga dan memimpin negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Selain itu, rakyat juga perlu menolak kepimpinan pakatan pembangkang terutamanya Pas kerana pakatan itu dilihat tidak mampu mentadbir negeri ini sepertimana dilakukan oleh BN.

“Ditambah pula dengan konflik dalaman yang melanda mereka yang dilihat gagal diselesaikan sehingga kini.

"Begitu juga dengan konflik terbaru mereka adalah mengenai perebutan kerusi peringkat parlimen dan Dun di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina MCA Peringat Negeri di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Ming 1, di Tangkak, di sini, malam kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong; Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Hoo Seong Chang dan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri.
Abdul Ghani mengharapkan Umno, MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN yang lain supaya bekerja keras agar Johor kekal bersama kepimpinan BN.
Beliau berkata, rakyat Johor perlu bijak dan tidak sekali-kali memperjudikan nasib mereka dengan memilih pembangkang dan terus beri kepercayaan kepada BN  dalam meneruskan agenda pembangunan  yang dilaksanakan  kerajaan sebelum ini.

Jelasnya, Pas sedar, parti itu tidak akan mampu menarik sokongan orang Melayu di negeri ini dan kini cuba memancing masyarakat Cina untuk memilih mereka pada PRU13.
“Pas kata dia ada calon untuk jawatan menteri besar tapi belum cukup kerusi untuk menawan Johor, dia kata hanya boleh menang bukan dengan sokongan orang Melayu tetapi masyarakat Tiong Hua.

“Saya percaya orang Johor akan kata mereka tidak ada tempat di negeri ini walau mendapat sokongan sesiapa pun,” katanya.(sumber: SH, 24/02/13)

Tiada ulasan: