Salam Perjuangan

01 Mei 2011

SULTAN BRUNEI HADIRI UPACARA DI LONDON




Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berangkat tiba di West Door of Westminster Abbey, London bagi Majlis Perkahwinan Putera William dan Kate Middleton kelmarin. - AFP

Putera William dan isterinya Kate Middleton, Duchess of Cambridge melambai tangan dari dalam pedati khas semasa Laluan Perarakan ke Istana Buckingham di London kelmarin. - AFP

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha hari ini berkenan berangkat ke Majlis Perkahwinan Diraja Britain, Putera William dan isterinya Kate Middleton yang berlangsung penuh gemilang di Westminster Abbey yang turut disaksikan 2 bilion penonton di seluruh dunia.

Lebih sejuta orang berbaris di jalan raya sambil bersorak gembira serta terpegun menyaksikan pasangan pengantin diraja itu diarak menaiki pedati khas melalui kota London dan kemudian berkucup di balkoni Istana Buckingham.Ratusan ribu peminat diraja dari segenap lapisan masyarakat dan dari seluruh dunia bertumpu ke London untuk menyaksikan acara yang menjadi buah mulut sebagai perkahwinan terhebat di Britain.

Putera William, yang tampil segak dengan pakaian lengkap tentera berwarna merah terang dan isterinya Kate memakai gaun pengantin satin putih dengan lengan panjang les, begitu menarik perhatian orang ramai. Pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja terbang rendah di angkasa Istana sebagai memberi penghormatan kepada pasangan diraja itu yang kini secara rasmi digelar sebagai Duke and Duchess of Cambridge.


Manakala itu, kek perkahwinan lapan tingkat menjadi tumpuan perhatian apabila Putera William dan Kate Middleton meraikan perkahwinan mereka bersama kaum keluarga dan sahabat handai di Istana Buckingham hari ini.Dengan semua acara rasmi perkahwinan di Wesminster Abbey selesai, mereka berdua mampu lega sedikit semasa majlis resepsi bagi 650 tetamu yang dihoskan oleh Baginda Ratu Elizabeth II di galeri lukisan istana.

( sumber :MP 30/4/2011 )

Tiada ulasan: