Salam Perjuangan

05 Mei 2011

DR. RAJIEE HADI: KEMALA DI SISI LAIN

SASTERAWAN dan penyair- eseis Kemala atau nama penuhnya Dato Dr Ahmad Kamal bin Abdullah, 70  diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia sebagai pemenang Anugerah Sasterawan Negara (ASN) ke-11.

Kemala yang bakal  dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-11 kelak ialah penyair tersohor tanah air yang telah mengabdikan diri dalam dunia penulisan khususnya puisi lebih daripada 40 tahun!

Kemala anak kelahiran Gombak, Selangor Darul Ehsan,guru sekolah rendah hingga mencapai tahap seorang pegawai penyelidik di DBP lantaran kegigihannya menimba ilmu meraih dari satu ijazah ke satu ijazah hingga memperoleh sarjana kedoktoran (Doktor Falsafah).Kini Kemala ialah Sarjana Tamu di UPM Serdang.

Seingat saya, jika tidak silap  pernah bertemu Kemala pada tahun 1998 sewaktu saya dan beliau bersama-sama menuju ke dewan seminar pengajian siswazah di Fakulti Kemasyarakatan dan Kemanusiaan UKM. Pada waktu itu saya dan Kemala sama-sama sebagai siswa calon PhD di UKM. Saya kagum dengan kegigihan dan kesungguhannya sebagai seorang mahasiswa walupun sebagai calon separuh masa dan senior.
Begitulah antara lintasan pemerhatian  saya ke atas Kemala yang gigih bukan setakat sebagai seorang penulis-penyair tetapi sebagai seorang peneliti, penganalisis dan pengkritik kesusasteraan Melayu yang berwibawa.

Saya amat berbangga dengan Kemala. Dari seorang guru biasa lepasan MPSI /SITC beliau terus meniti dan menapak mengikut arus zaman khususnya dalam zaman ledakan teknologi maklumat. Beliau juga terus berkarya di alam siber dan membentang kertas kerja tanpa mengenal usia.Yang nyata, karya-karya beliau baik dalam puisi atau genre lain bukan sahaja memiliki nilai-nilai esteteika bahasa; bahkan turut menyuarakan keluh-kesah dan suara hati golongan marhaen dan rakyat terbanyak.

Jikalaulah Kemala memiliki kriteria dan syarat-syarat dalam pencalonan tokoh guru negeri atau kebangsaan maka saya tidak teragak-agak juga mahu mengesyorkan agar beliau juga boleh dicalonkan sebagai Tokoh Guru; tidak kiralah sama ada peringkat negeri atau kebangsaan.

Syabas, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah. Saudara adalah contoh dan ikon sebuah kejayaan anak semua bangsa! (sumber: Harakahdaily: 4/5/11)

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik/PPPM)

Tiada ulasan: