Salam Perjuangan

02 Mei 2011

SINGAPORE BY ELECTION: SDP KECAM PEMERINTAH!


PARTI Demokratik Singapura (SDP) malam tadi menyelar para menteri Kabinet kerana meremehkan tekanan yang ditanggung rakyat disebabkan kos kehidupan yang tinggi. Calon bagi pasukan SDP yang bertanding di GRC Sembawang, Dr John Tan, 49 tahun, dalam ucapannya di rapat umum di Clementi Avenue 4, berkata kenyataan Menteri Kesihatan, Encik Khaw Boon Wan, yang menyatakan kos sara hidup yang tinggi adalah 'satu masalah global' sebagai menunjukkan sikap parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang tidak peka dan tidak mempedulikan realiti sebenar. 'Terdapat mereka yang saya kenali yang terpaksa melakukan dua kerja bagi menampung kehidupan keluarga mereka.

'Semasa saya mengadakan lawatan ke estet- estet kejiranan, terdapat warga tua yang sudah bersara mengadu bahawa wang simpanan telah kehabisan kerana terpaksa membayar kos rawatan yang amat tinggi. Saya juga ketemu warga tua yang terpaksa mengumpul kotak untuk dijual kerana mahu menampung hidup. 'Bagi Encik Khaw Boon Wan untuk katakan kos sara hidup adalah masalah global menunjukkan beliau mengambil ringan perkara ini.

'Jadi kita perlu pastikan menteri-menteri kita dipertanggungjawabkan dan tidak hanya memberi jawapan sedemikian. Mereka tidak dibayar gaji tinggi hanya untuk itu!' katanya. Hal serupa turut disuarakan oleh calon bagi kawasan undi perseorangan Yuhua, Cik Teo Soh Lung, yang menurutnya telah menemui ramai warga tua yang uzur, sakit, menganggur dan tidur di kolong blok, sewaktu berkempen.

Dalam ucapannya itu juga, Cik Teo, 62 tahun, turut menarik perhatian bahawa kawasan undi Yuhua 'sebenarnya dalam keadaan tidak diurus dengan baik'. Dalam mengatasi hal ini, seorang lagi calon bagi GRC Sembawang, Dr James Gomez, 46 tahun, berkata pasukan SDP dalam beberapa hari ini sedang mempersiapkan Pelan Peralihan AP bagi memastikan pasukan mereka dapat mengambil alih pentadbiran majlis bandaran di kesemua kawasan undi yang ditandingi, sebaik memenanginya.

'Kami berjanji akan menjaga dan mentadbir setiap kawasan undi kami,' katanya. Dr Gomez turut meminta para kakitangan awam 'agar tidak gentar mengundi parti pembangkang' dan meminta mereka 'sama-sama terlibat dalam arus perubahan yang sedang melanda negara ini'. Sementara itu, calon SDP bagi GRC Holland-Bukit Timah, Dr Ang Yong Guan, menafikan laporan akhbar Cina bahawa terdapat perpecahan dalam barisan SDP.

Seorang lagi calon pasukan itu, Encik Tan Jee Say, pula melahirkan rasa hairan dengan kenyataan Menteri Kanan, Encik Goh Chok Tong, kelmarin bahawa beliau tidak sesuai untuk memegang jawatan sebagai Setiausaha Tetap.

'Matlamat hidup saya bukan untuk menjadi seorang Setiausaha Tetap. Saya hairan kerana beliau sebelum ini telah nyatakan tidak mahu mengulas calon dari luar kawasan undinya,' katanya. Beliau turut menyangkal kenyataan Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, yang menyatakan beliau tidak punya keahlian dalam bidang ekonomi.

Saya mengikuti pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Oxford (di Britain)!' katanya (sumber: BH Singapura,2/5/11).

Tiada ulasan: