Salam Perjuangan

14 Mei 2011

Caj tinggi, pengguna jadi mangsa

 Isu pemandu trak tunda bersikap ganas serta mengenakan caj melampau ala mafia, bukan lagi rahsia. Seringkali, pengguna yang mengalami situasi itu tidak tahu kepada siapa mahu mengadu.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan jalan raya terpaksa mengikut kemahuan pihak trak tunda yang hadir tiba-tiba adalah disebabkan tindak tanduk mereka yang ganas dan memaksa.

‘‘Pihak kami menerima pelbagai aduan melibatkan keganasan yang dilakukan oleh penyedia perkhidmatan trak tunda seperti seorang gangster apabila menolak tawaran mereka bagi menunda kereta kerana caj yang terlalu mahal.
‘‘Keganasan itu bukan sahaja kepada mangsa, malah ada kes melibatkan pergaduhan membabitkan dua pemilik trak tunda akibat merebut pengguna, menunjukkan mereka ini mempunyai sindiket jenayah ,” katanya kepada Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini.Tambah beliau, ada juga aduan pemilik kenderaan yang diterima mendakwa terlihat kesan minyak di lokasi kemalangan.

Lebih malang lagi, apabila mangsa ke balai polis untuk melaporkan kejadian kemalangan tersebut, mereka tidak mendapat layanan sewajarnya.
‘‘Sepatutnya pegawai polis menyiasat laporan itu dengan meneliti keadaan tempat kejadian terlebih dahulu dan bukannya segera membuat andaian.
‘‘Keadaan itu menyebabkan timbul persepsi akan hubung kait pegawai tertentu dengan pemilik kereta tunda sehinggakan pengadu hilang keyakinan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, Jacob menggesa pihak berkuasa meneliti isu itu dengan mendalam memandangkan jumlah kemalangan di negara ini amat tinggi.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan undang-undang khusus melindungi hak rakyat.( sumber : UM)

Tiada ulasan: