KERAJAAN memberi jaminan bahawa kaum minoriti di negara ini tidak akan tersisih serta terpinggir daripada arus pembangunan negara kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau sebaliknya berkata, golongan itu tetap akan menjadi rakan kongsi kepada kerajaan berdasarkan ikatan gagasan 1Malaysia kerana mereka juga merupakan kumpulan rakyat Malaysia yang perlukan kepada pembelaan.
Contoh terbaik, beliau berkata, bagaimana kerajaan membela serta menjaga kebajikan kaum Sikh walaupun jumlah mereka sedikit berbanding kaum lain. ''Kaum Sikh juga merupakan golongan rakyat yang memerlukan pembelaan sewajarnya daripada kerajaan. Bagi saya, mereka adalah rakan kongsi kerajaan.
''Justeru, sebagai Perdana Menteri, saya perlu mendekati Kaum Sikh dan salah satu caranya ialah bersama-sama dengan kaum Sikh menyambut Hari Vaisakhi,'' katanya ketika berucap pada rumah terbuka Hari Vaisakhi di Dataran Merdeka, di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Yang Dipertua Pertubuhan Sikh Naujawan Sabha Malaysia, Amarjit Singh.
Najib di dalam ucapannya turut menyentuh sumbangan kaum Sikh kepada pembangunan negara walaupun bilangan mereka di negara ini kurang.''Baik dalam perjuangan untuk kemerdekaan negara mahupun dalam pembangunan negara, sumbangan komuniti ini adalah tidak ternilai.
''Jika kita lihat dalam mana-mana bidang atau pekerjaan utama negara, pasti ada sekurang-kurangnya seorang Sikh yang telah menempuh kejayaan dan menyumbang bakti kepada negara,'' ujarnya.
Beliau juga turut mengumumkan persetujuan kerajaan memberi tiga tapak tanah di Wilayah Persekutuan bagi dibina tiga gurdwara iaitu rumah ibadat bagi kaum Sikh. (sumber:UM,3/5/11)
TB sukacitanya memberitahu hanya 'kaum Benggali' sahaja ada di Malaysia. Pembaca janganlah terkejut atau ada yang marah kepada TB pula. TB pun ramai kawan lama yang terdiri daripada kaum ini sejak TB melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur pada tahun 1976 dan kemudian di UPM,Serdang. Antaranya yang TB ingat bernama Kuldeep Singh,Paramjit Singh, Balbir Singh,Amarjeet Kaur, Baljet Kaur (yang wajah menawan macam heroin hindi dahulu Neetu Singh) dan ramai lagi yang TB sudah lupa ditelan zaman. Dan ada juga di antara mereka yang dikenali masyarakat Malaysia seperti Sukhdev Singh@ DJ Dave (yang kemudian memeluk lslam dan nama lslamnya kini lrwan Shah), Harjit Singh Hullon (pembaca berita RTM), Karpal Singh (peguam dan politikus terkenal), Karam Singh Waria (wartawan TV3) dan beberapa selebriti baik dalam seni, korporat,akademik dan sukan.
Dari segi antropologi budaya dan sejarah bahasa, nama 'benggali' ini sebenarnya telah sedia wujud dalam kitab klasik 'Sejarah Melayu' .Namun kata Benggali dirujuk dengan nama "Benggali Putih" bagi menggelar atau memanggil bangsa Portugis atau Feringgi yang datang menyerang dan menjajah Melaka pada abad yang ke-16 lalu.Berdasarkan sosiobudaya dan sosiolinguistik masyarakat Melayu yang pernah melihat sosok tubuh dan gaya gelagat orang Portugis pada abad ke-16 dan menggelarkan Benggali Putih kerana mungkin mereka tidak pasti datangnya dari Goa lndia atau Benggala lndia dengan pakaian soldadu (laskar) sedemikian maka penduduk setempat menggelarkan Benggali Putih. Apabila lnggeris juga membawa masuk polis upahan pada abad ke 18&19 dari lndia (Punjab & Gujerat) ke Tanah Melayu maka penduduk tempatan terus memanggilnya 'Benggali' hingga kini.
Justeru kata 'Benggali' sudah sinonim untuk kaum Sikh dalam masyarakat Melayu. Yang baiknya, gelaran itu diterima pakai oleh kaum tersebut tanpa banyak soal. Namun kini lantaran pendedahan ilmu, rata-ratanya orang-orang Melayu generasi baru tahu bahawa sebenarnya Benggali itu ialah nama bagi penduduk bumiputera bagi negeri Benggala (sekarang Bangladesh) yang mana bahasanya ialah Bengalese.Apapun baik 'benggali' atau punjabi atau sikh yang telah menjadi warganegara Malaysia dan berjaya dalam kehidupan di Malaysia tetap diterima baik oleh orang Melayu dan bumiputera Malaysia. Mereka telah berjaya dalam bidang profesional seperti kedoktoran,guaman,perniagaan dan politik.
TB tabik dengan masyarakat ini kerana mereka 'pandai membawa diri' Penguasaan bahasa Melayu dan kepetahan mereka berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan juga baik,lancar dan fasih.Adalah bertuah kaum sikh di Malaysia kerana diterima baik dan turut diberi peluang menikmati kemakmuran negara.Sikap 'tidak kacau orang lain' dan berbudi bahasa yang ditunjukkan oleh generasi mereka yang terdahulu wajar dijadikan contoh dan teladan agar tahu di mana bumi dipijak; di situ langit dijunjung.Harapan TB agar generasi kedua atau ketiga sikh Malaysia tahu sejarah asal usul dan terus mengekal harmoni. Jika kerajaan telah menghadiah tapak gurdwara (rumah ibadat kaum sikh) gunalah sebaik mungkin. Jangan jadikan gurdwara untuk tujuan yang lain.
Happy your Vaisakhi! (TB)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan