TB berkesempatan menghadiri mendengar pidato Anwar @ DSAI buat pertama kali di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kampus Lembah Pantai Kuala Lumpur,1976. Sewaktu itu Anwar amat popular dan sangat dikagumi kerana merupakan tokoh gerakan mahasiswa dan ikon anak muda pascademontrasi mahasiswa era 'Mahasiswa Menggugat'. Seingat TB, Anwar ketika itu baru dibebaskan dari Kem Tahanan Kemunting, Taiping,Perak (ISA).
Pidato Anwar bergema dan bersemangat. Dewan kuliah ketika itu melimpah-ruah dek kehadiran para penyokong yang agak ramai. TB dapat mencelah hadir di tengah-tengah gegak-gempita, tempik-sorak, riuh-rendah orang ramai mahu melihat Anwar yang pidatonya bagaikan Bung Karno/Sukarno.
Begitulah Anwar yang berkarisma dan memiliki aura spiritual tersendiri. Sejak pertama kali TB melihat sosok tubuh dan pidato Anwar maka sejak itulah Anwar terus meniti ke puncak jaya atas jenama DSAI di persada politik dan kabinet tanah air.
Anwar dan legasi ABIM yang diasaskan bersama rakan-rakan 'brother' seperti Sanusi Junid, Fadzil Noor (Allahyarham),Kamaruddin Jaafar, Harrusani Zakaria dan lain-lainnya memberi impak dan warna kepada pemikiran anak-anak muda ketika itu; termasuk TB. Atas kelicikan,kepintaran, berpengaruh dan amat berpotensi maka membuat Dr Mahathir Mohamad tertawan dan mempelawa Anwar menyertai UMNO 1982. Anwar mula terserlah dalam UMNO apabila tapak pertamanya sebagai Ketua Pemuda UMNO setelah berjaya menewaskan Ketua Pemuda ketika itu Haji Suhaimi Kamaruddin pada tahun yang sama.
Dipendekkan cerita, Anwar di sisi lain pernah dan terus berkawan dengan rakan-rakan dalam perjuangan ABIM yang lain seperti Sidik Fadzil, Sidek Baba, Mohd Nor Manuty dan ramai lagi. Anwar juga berkawan dan bijak mendekati tokoh-tokoh akademik luar negara dan tempatan seperti Dr Awang Had Salleh, Dr Chandra Muzaffar, Dr Nik Safiah Karim dan para seniman dan penulis tanah air.
Begitulah Anwar yang terus mesra dengan badan-badan bahasa dan kesusasteraan seperti Pena, Gapena dan PLM (Persatuan Linguistik Malaysia) dan gerakan-gerakan belia seperti Majlis Belia Malaysia yang ketika itu diterajui oleh anak-anak muda seperti Suhaimi lbrahim dan Saifudin Abdullah.
Namun Anwar di sisi lain ketika bersama dalam dakapan mesra kasih dan belaian UMNO dan menerajui beberapa pos penting dalam kabinet masa lampau beliau juga berkawan dengan Nallakurupan teman sepermainan tenis, Shazryl Eskay Abdullah, ahli perniagaan dan ahli fisioterapi dan nama-nama lain yang kita tidak ketahui sama ada yang nyata atau tersembunyi.
Bukan TB menuduh kawan-kawan Anwar ada yang tidak baik akhlaknya.Bahkan ramai juga yang baik akhlaknya. Tetapi Anwar terlupa bahawa 'dalam kehidupan ini, ujian diberi sama ada disedari atau tidak, sama ada dalam bentuk kesenangan atau kesengsaraan' kepada hamba-hamba-Nya.
Bak kata pesan bijak bestari 'pergaulan membentuk peribadi seseorang'.Dan tidak mustahil setiap manusia boleh kembali ke pangkal jalan dan bersedia bertaubat selagi nyawa belum diundang oleh lzrail atas titah Allah Yang Maha Berkuasa. Baik benar atau betul ataupun palsu atau tipu daya, hanya Allah jua Yang Maha Mengetahui. Sama-sama kita berserah kepada Yang Khaliq!(-TB)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan