SASTERAWAN dan penyair- eseis Kemala atau nama penuhnya Dato Dr Ahmad Kamal bin Abdullah,70 tahun, diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia sebagai pemenang Anugerah Sasterawan Negara (ASN) ke-11. Kemala yang bakal dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-11 kelak ialah penyair tersohor tanah air yang telah mengabdikan diri dalam dunia penulisan khususnya puisi lebih daripada 40 tahun!
TB kagum Kemala bukan sahaja sebagai seorang sasterawan tetapi sebagai seorang sarjana yang meningkat pencapaian akademiknya dari seorang guru sekolah rendah hingga mencapai tahap seorang pegawai penyelidik di DBP lantaran kegigihannya menimba ilmu meraih dari satu ijazah ke satu ijazah hingga memperoleh sarjana kedoktoran (Doktor Falsafah).Kini Kemala ialah Sarjana Tamu di UPM Serdang.
Seingat TB, jika tidak silap pernah bertemu Kemala pada tahun 1998 sewaktu TB dan beliau bersama-sama menuju ke dewan seminar pengajian siswazah di Fakulti Kemasyarakatan dan Kemanusiaan UKM. Pada waktu itu TB dan Kemala sama-sama sebagai siswa calon PhD di UKM. TB kagum dengan kegigihan dan kesungguhannya sebagai seorang mahasiswa walupun sebagai calon separuh masa.Begitulah antara lintasan pemerhatian TB ke atas Kemala yang gigih bukan setakat sebagai seorang penulis-penyair tetapi sebagai seorang peneliti, penganalisis dan pengkritik kesusasteraan Melayu yang berwibawa.
TB berbangga dengan Kemala. Dari seorang guru biasa lepasan MPSI (?) beliau terus meniti dan meniti mengikut arus zaman. Jikalaulah Kemala memiliki kriteria dan syarat-syarat dalam pencalonan tokoh guru negeri atau kebangsaan maka TB tidak teragak-agak juga mahu mengesyorkan agar beliau juga boleh dicalonkan sebagai Tokoh Guru; tidak kiralah sama ada peringkat negeri atau kebangsaan!
Syabas Sdr Kemala @ Dato Ahmad Kamal bin Abdullah anak kelahiran Gombak, Selangor Darul Ehsan.
Catatan: TB juga ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik/PPPM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan