SASTERAWAN, penyair dan penulis esei Kemala atau nama penuhnya, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah, 70, baru-baru ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemenang Anugerah Sasterawan Negara ke-11.
Kemala adalah penyair tersohor tanah air yang mengabdikan diri dalam dunia penulisan khususnya puisi lebih 40 tahun. Kemala anak kelahiran Gombak, Selangor, guru sekolah rendah hingga mencapai tahap pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka kerana kegigihannya menimba ilmu dari satu ijazah ke satu ijazah hingga memperoleh sarjana kedoktoran (Doktor Falsafah).
Beliau kini Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia (UPM). Jika tidak silap, saya pernah bertemu Kemala pada 1998 ketika kami sama-sama menuju ke dewan seminar pengajian siswazah di Fakulti Kemasyarakatan dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pada waktu itu saya dan Kemala sebagai siswa calon PhD di UKM. Saya kagum dengan kegigihannya sebagai mahasiswa walaupun sebagai calon separuh masa dan senior.
Saya bangga dengan Kemala yang terus meniti dan menapak mengikut arus zaman.
Beliau juga terus berkarya di alam siber dan membentang kertas kerja tanpa mengenal usia.
Yang nyata, karya beliau baik dalam puisi atau genre lain bukan saja memiliki nilai estetika bahasa bahkan turut menyuarakan keluh-kesah dan suara hati golongan marhaen dan rakyat terbanyak.
Jika Kemala memiliki kriteria dan syarat dalam pencalonan tokoh guru negeri atau kebangsaan, maka saya tidak teragak-agak juga mahu mengesyorkan agar beliau dicalonkan sebagai Tokoh Guru; tidak kiralah sama ada peringkat negeri atau kebangsaan.
Syabas, Kemala. Saudara adalah contoh dan ikon sebuah kejayaan anak semua bangsa.
(sumber: DR RAJIEE HADI, Presiden Pendidik, Berita Harian 7/5/2011)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan