Salam Perjuangan

06 November 2010

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM :SELAMAT DATANG KE DUNIA PESARA


Tan Sri Alimuddin Mohd Dom bukan sekadar berjaya membina kerjaya cemerlang dalam sektor pelajaran dengan menyelesaikan banyak misi kementerian tetapi turut mampu mewujudkan hubungan baik dengan semua pihak termasuk pihak media, sekali gus membolehkan segala isu ditangani dengan berhemah, apatah lagi umum cukup maklum bahawa sangat banyak isu membabitkan pendidikan.

Beliau berpendapat  perkembangan sektor pendidikan selama perkhidmatan beliau, jelas PIPP menjadi antara topik utama yang diperkatakan kerana ia projek bernilai RM25.2 bilion dalam menjana masa depan negara.

“Dengan enam teras utama iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan, saya lihat ia berjaya secara keseluruhannya.

“Dalam rancangan itu, terutama dalam sasaran pelaksanaan 13,015 projek pembangunan luar bandar, Kementerian sudah melaksanakan pelbagai inisiatif pengantarabangsaan pendidikan dan hasilnya ialah kejayaan murid negara ini dalam pertandingan bercorak akademik dan kokurikulum pada peringkat antarabangsa.

“Antara kejayaan yang dapat dibanggakan ialah Kementerian sedang merintis pelaksanaan transformasi pendidikan di 500 sekolah rendah seluruh negara untuk mengubah pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran supaya lebih berpusatkan murid dan berorientasikan tema serta modular,” katanya.

Malah, sebenarnya ketika beliau bakal menamatkan khidmatnya selepas mula bertugas pada 30 Mei 1976 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak, beliau masih sempat mengadakan persidangan kajian semula PIPP yang pada kali ini menekankan konsep ‘1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Rasionalnya, kajian semula itu dibuat untuk menjadikan pendidikan di negara ini setara dengan negara lain yang lebih pesat dan pantas. Harapannya untuk melihat perluasan dalam bidang vokasional makin menjadi nyata dengan sasaran utama kementerian. Kali ini ialah menambah pengambilan pelajar jurusan teknik dan vokasional sebanyak 100 peratus pada 2015.

“Kursus di sekolah teknik dan vokasional akan ditambah baik kualitinya sebanyak 80 peratus, selain menambah lebih 95 peratus pelajar yang mendapat dua sijil dan semua itu akan dilaksanakan sebelum 2015,” katanya.

Apapun, dalam kalangan pemerhati pendidikan melihat antara kejayaan dan perubahan penting yang dibuat ketika perkhidmatannya ialah pemansuhan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik dan dijangka dijalankan secara berperingkat bermula dengan murid tahun satu seawal 2011.

Namun, perubahan itu tidak pula meminggirkan bahasa Inggeris yang turut diperkukuhkan dengan penambahan seramai 13,933 guru subjek itu termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan selebihnya ialah guru keluaran Institusi Pendidikan Guru (IPGM) dan institusi pengajian tinggi lain.

“Masa yang diperuntukkan untuk bahasa Inggeris juga ditambah, semua itu adalah persiapan bagi menghadapi pelan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula 2012,” katanya.

Sebenarnya banyak lagi boleh diperkatakan mengenai pencapaian dan perubahan yang berlaku ketika zaman Alimuddin, termasuk pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan penubuhan sekolah kluster.

Menyorot perjalanan kariernya dalam bidang pendidikan, beliau sebenarnya banyak berkhidmat sebagai guru di sekitar Perak dengan beberapa kali berubah jawatan sebelum memegang jawatan pertama sebagai pengetua pada 1989 di SMK Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak. Bukan itu saja, beliau sudah berpengalaman menjadi pengetua di lima sekolah sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah pada 2003.

Nyata rezekinya begitu murah. Mungkin juga berkat sikap merendah dirinya yang menyaksikan beliau dilantik menjadi Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Swasta pada 2003, itupun tidak sampai setahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah di Sektor Pengurusan IPTS.

Setahun selepas itu, portfolionya berubah dan pada 2005, beliau diamanahkan memimpin Jemaah Nazir selama dua tahun dan dilantik pula sebagai Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Sekolah pada 2007 dan hanya untuk empat bulan sebelum secara rasmi menjadi Ketua Pengarah pada 16 Julai 2007.

Meskipun 4 November 2010 adalah hari terakhir beliau bertugas di Kementerian Pelajaran, pastinya sumbangan besar beliau dalam memastikan nasib guru terbela akan menjadi ingatan sampai bila-bila dan diyakini ideanya akan terus dituntut demi terus mengangkat martabat pendidikan negara.(disesuaikan dan baca penuh BH 6 November 2010)

TIUB BOCOR mengenali Alimuddin ketika zaman Allahyarham Tan Sri Mohd Rafie Mahat menjawat Ketua Pengarah Pendidikan(Pelajaran) ketika itu.Kami sama-sama menduduki kerusi Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.Alimuddin mewakili Persidangan Kebangsaan Pengetua  Sekolah Menengah Malaysia (PKPSMM) selaku Yang DiPertua manakala TB mewakili KKGBMS selaku Presiden.Boleh dikatakan sejak menduduki ahli majlis tersebut kami bertemu,berbincang dan berbahas paling kurang 2-3 bulan sekali di mana-mana sama ada di Pusat Bandar Damansara atau di luar Kuala Lumpur. Alimuddin telah menampilkan ciri-ciri kepemimpinan yang unik dan tersendiri khususnya sebagai seorang pengetua cemerlang. Dan sejak itu TB dapati bintang Alimuddin kian menyerlah dan terserlah. Namun apa yang menarik, Alimuddin satu-satunya pengawai kanan KPM yang lebih banyak berkhidmat di sekolah  di JPN Perak. Seingat TB, kerjaya Alimuddin mula terus menyinar apabila beliau dinaikkan pangkat,dari Bahagian Sekolah, Jabatan IPTS, ke Bahagian Jemaah Nazir Persekutuan dan seterusnya menapak sehingga ke jawatan tertinggi, Ketua Pengarah Pelajaran.Tahniah!  Begitulah kini ada masa datang dan pergi.Walaupun TB lebih awal berjuang di luar KPM demi cintakan pendidikan dan dunia pendidikan, namun rasa persaraan tidak wujud bahkan tidak ada langsung di hati kecil TB.Bagi TB, semarak api perjuangan demi merancakkan tranformasi pendidikan negara bagaikan baru bermula walau kini sudah 32tahun bersemi.Setiap individu ada cara dan stail tersendiri. Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang dikatakan banyak meninggalkan legasi di KPM tentu semangat juangnya tidak berkubur setakat persaraan wajibnya,Tentu memorinya menghadapi kemelut PPSMI antara pro dan kontra, tranformasi pendidikan dari KBSR kepada KSSR dan beberapa perubahan struktur di KPM termasuk kelahiran KPTM tetap menjadi kenang-kenangan sepanjang perkhidmatannya. Kepada beliau, selamat datang ke dunia pesara….Walau ada syahdu, namun ada keindahan dan kebebasan yang tidak bisa diungkapkan dengan kata-kata!

Tiada ulasan: