Salam Perjuangan

12 November 2010

MPPK WAJAR


 
Tan Sri Dato' Dr Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin



MAJLIS Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang ditubuhkan kelmarin diharap meletakkan pendidikan negara ini pada tahap yang lebih cemerlang. Idea menubuhkan MPPK ini pernah dicadangkan pada 1995, tetapi menjadi kenyataan pada 10 November 2010 lalu.

     Majlis ini mempunyai peranan menasihati Menteri Pelajaran berhubung isu-isu berkaitan pendidikan negara. Untuk tujuan itu, tujuh anggota majlis yang terdiri daripada pakar dalam bidang pendidikan telah dilantik. Majlis ini dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Noordin.

     Dengan barisan anggota majlis yang terdiri daripada tokoh pendidikan pelbagai kaum, MPPK dijangka mampu memberi nasihat dan input untuk pembangunan pendidikan negara. Sudah tentu mereka memahami apa yang dihasratkan oleh Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
     Tujuh anggota majlis ini akan melihat sistem pendidikan dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat lepasan menengah, hala tuju pendidikan dan pembangunan modal insan serta kebolehpasaran pelajar kita.
      Adalah tugas anggota majlis ini untuk menimbangkan setiap perkara yang dirujuk kepadanya dan mengemukakan nasihat mengenainya kepada menteri. Sebagaimana harapan Muhyiddin begitu juga rakyat yang mahu MPPK memikirkan kaedah bagaimana untuk merapatkan jurang pendidikan terutama perbezaan aliran demi memupuk perpaduan kaum dari peringkat sekolah. Selama ini banyak isu pendidikan diserahkan kepada masyarakat untuk membuat tafsiran masing-masing.
      Dengan adanya majlis penasihat ini, tuduhan kepada kerajaan mengenai sesuatu dasar pelajaran dapat dikurangkan. Kita bersimpati dengan kerajaan yang terpaksa turun ke bawah mendapatkan buah fikiran rakyat sebelum melaksanakan sesuatu dasar.
Kadangkala sesuatu dasar yang baik untuk anak-anak dan generasi muda 'terbengkalai' bertahun-tahun angkara permainan politik pihak tertentu
      Kini, elok kita serahkan pula kepada tokoh-tokoh pendidikan untuk memerah otak memikirkan apa yang baik untuk pendidikan negara. Biarlah mereka memikirkan perkembangan kurikulum, penilaian dan pentafsiran pendidikan, perancangan dan penggubalan dasar pendidikan serta isu-isu pendidikan.
      Penubuhan MPPK ini tidak boleh ditangguhkan lagi. Dalam kita bergerak di landasan menuju negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi, soal modal insan iaitu melalui pendidikan perlu diberi keutamaan. Bidang pendidikan perlu ke hadapan untuk tempoh 10 tahun akan datang selaras dengan dasar dan transformasi yang dilakukan kerajaan. Pelan induk pendidikan negara perlu dilaksanakan bersesuaian dengan tuntutan dan perkembangan semasa negara.
      Jadi tidak salah kerajaan menubuhkan MPPK agar strategi pendidikan negara dapat digerakkan sepenuhnya mengikut hala tuju dan dimensi baru negara (sumber UM,11 Nov.2010)


TIUB BOCOR mengalu-alukan perlantikan Tan Sri Dr.Wan Zahid Mohd Nordin selaku Pengerusi MPPK.Sekurang-kurangnya pengisian Wawasan Pendidikan yang diilhamkan oleh beliau semasa menjawat KPKPM dahulu dapat diteruskan hala tujunya dan dapat direalisasikan lantaran wawasan tersebut bagi TB amat jelas,mantap dan begitu sinonim dengannya. Dengan adanya MPPK setiap dasar yang mahu dilaksanakan dapat difikirkan dan diputuskan dengan sebaik mungkin agar sejarah PPSMI tidak berulang kembali. Syabas kepada para anggota MPPK dan selamat terus berbakti!



Tiada ulasan: