|
Penulis berada di pesisir jalan Geylang Serai |
TB tahun ini kebetulan empat kali ke kota Singapura sama ada berkereta,menaiki bas, berkereta api dan dengan pesawat. Ada kunjungan TB kebetulan menghadiri seminar budaya di Pusat Warisan Melayu, ada kunjungan untuk misi penulisan dan penyelidikan TB, ada juga kunjungan TB untuk mengembalikan nostalgia TB semasa zaman kanak-kanak 1960-an di kota ini; dan yang paling manis - pilu ialah bagi membuat banding beza antara kemajuan masa hadapan dan kehilangan masa silam.GEYLANG SERAI sebuah perkampungan Melayu yang sedia wujud lebih 100 tahun yang lalu.
|
Penulis berada di Pusat Warisan Melayu di Istana Kampung Gelam |
Ada sejarah awal dan akhir yang sedia terlakar dan menjadi memori sepanjang zaman.Namun TB hanya mengutip satu daripada sejuta peninggalan yang mampu mengusik jiwa pengunjung ke Geylang Serai yang juga disebut Kampung Melayu@Malay Village. Kini pasar Geylang Serai telah bertukar wajah menjadi pasar moden mulai tahun 2000. Di bangunan yang mengekalkan ciri-ciri seni bina Melayu ini mengandungi dua tingkat.
Tingkat bawah ialah pasar basah yang menjual pelbagai aneka sayur-sayuran, rempah-ratus, ikan,ayam dan daging, buah-buahan,kuih-muih tradisional dan kios makanan dan minuman.Manakala di tingkat atas ada lebih 20 gerai yang menyediakan aneka juadah yang enak lazat makanan halal Melayu/lslam yang dijamin menyelerakan.
Setiap hari khususnya sebelah pagi kita akan menemui ramai warga emas yang turun keluar dari pangsapuri masing-masing di kawasan Geylang Serai. Di tingkat dua juga ada gerai-gerai yang menjual pakaian dan pelbagai jenis cenderamata. Antara gerai yang tidak pernah TB ketinggalan mengujunginya ialah gerai Wak Murset yang terkenal dengan Otak-Otak lkan dan Otak-Otak Telur lkan. Gerai Wak Murset berada di lokasi no.160 (asalnya no.165 kemudian berpindah).
|
Penulis berada di hadapan Masjid Sultan |
Otak-otaknya sedap dan lazat dek resepi rempahan yang serasi dan menyelerakan. Pelanggan sentiasa berbaris dengan harga $1=3bungkus otak-otak yang dikira berbaloi. Kenapa dan mengapa TB tidak melepaskan peluang berkunjung atau berada tidak jauh daripada gerai Wak Murset ini apabila berkunjung ke Singapura? Di samping melihat ketekunan Wak Murset bekerja di gerainya, TB seronok kerana gerai beliau ada jati diri tersendiri.
Di gerainya kita dihiburkan dan didendangkan dengan lagu-lagu nostalgia nyanyian biduan tersohor masa silam seperti Jasni, R.Azmi, A.Rahman, S.Efendi, Oslan Hussin dan lain-lain lagi.Pendek kata, gerai Wak Murset terus berkumandang dengan lagu-lagu klasik Melayu dari hari ke hari,semasa ke semasa, bulan ke bulan, tahun ke tahun dan begitulah uniknya gerai Wak Murset yang terkenal bukan hanya keenakan otak-otak ikannya tetapi kesyahduan irama dan lagu yang mengusik kenangan dan menjadi pengubat rindu khususnya bagi pemastautin Geylang Serai yang rindukan kampung halaman di celah-celah hutan batu kota kosmopolitan ini. Selamat ketemu lagi gerai Wak Murset!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan