Salam Perjuangan

30 November 2010

PEJUANG BAHASA

 Setelah sekian musim
Pak Za’ba mencanangkan suara
mengerdip kilauan pelita bahasa unggulnya
ilmu karang-mengarang mengukir kata-kata
ilmu nahu dan segala madah fatwa
di situ berputik benih –benih nasionalisme
akrab dan cinta pada bahasa ibunda
mencengkam akar budaya susila
bahasa Melayu takkan hilang di dunia

Datuk Dr Hassan Ahmad, SN Datuk A.Samad Said dan para pejuang bahasa
ketika demontrasi aman GMPpsmi di Kuala Lumpur
















dan pedoman Embong Yahya penyuluh aksara
mari belajar rumi dengan kaedah DBP-nya
Syed Nasir lantang gagah si panglima bahasa
keranda enam puluh tujuh berarak menjunjung akta
daulat mulia menegakkan panji bahasa merdeka

halangan ditangani tanah wira berjasa
bahasaku bahasamu megah semarak obor menyala
dan diwarisi di peta linguistik serentetan nama penyambung ulung lidah bicara

Prof. Madya Arbak Othman (tanpa bersongkok)
Seorang Sarjana Lingusitik Melayu

















terima kasih Seri Lanang dan Abdullah Munsyi
kalian yang kreatif dan konstruktif
telah upaya memungkinkan bahasa dan
bangsa ini tidak statik
menghadapi gelora tahun-tahun mendatang
setelah budimu bersemi di khazanah budaya
dan warisan padu berkemudi
bagai resmi padi

ah, para pejuang bahasa
nama kalian masih terpahat dan tercatat
dalam kantung buku sekolahku
di arkib memori perjalanan hidup ini
ketika baru belajar ABC
menyeru anak-anak mengeja
‘Bahasa Jiwa Bangsa’


DR. RAJIEE HADI
Seri Kembangan, Serdang,
(Antologi Puisi: Sumpah Setia Bahasa, Kuala Lumpur,
Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), 1999)

28 November 2010

PATANI,THAILAND: KISAH SEBUAH PERJUANGAN.

GERILA OLEH LUKMAN ISKANDAR: SEBUAH NOVEL AKSI TEMPUR BERDASARKAN PENGALAMAN SEBENAR YANG DITULIS OLEH BEKAS GERILA DAN BEKAS TAHANAN I.S.A

Novel kontroversi ini karya Lukman Iskandar (Penerbit PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. 2009,588 hlm.)) Allahyarham Lukman(nama sebenar Naamandedin bin Daud,1949-2001,al-Fatihah) ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1992 sehingga 1994.  Penulis ialah bekas Setiausaha Agung Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani.

Walaupun fiksyen, novel ditulis berdasarkan pengalaman sebenar penulis.  Ia berlatarbelakangkan konflik di Patani, sebuah negeri Melayu yang dijajah oleh Thailand sejak tahun 1785.

Kisah tentang Kapten Ruziman , seorang juruterbang jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang diselamatkan oleh anggota gerila pembebasan Patani ketika pesawatnya terhenpas di Selatan Thai.  Selepas diselamatkan, Kapten Ruziman menyertai perjuangan gerila.  Mereka berperang dengan tentera Thai, Polis dan PKM.Yang nyata, novel ini penuh dengan aksi tempur,taktik peperangan sebenar.konflik emosi dan konflik kuasa. Bagi umat Melayu/lslam serantau,membaca dan menghayati novel ini akan dapat memahami erti sebenar makna sebuah kemerdekaan, kuasa, kebebasan, kedamaian dan kesejahteraan sebuah kampung, negeri dan negara yang bernama MELAYU, lSLAM dan BERAJA.Anda dan generasi anda wajar membacanya!



27 November 2010

OTAK-OTAK IKAN GERAI WAK MURSET GEYLANG SERAI

Penulis berada di pesisir jalan Geylang Serai 
TB tahun ini kebetulan empat kali ke kota Singapura sama ada berkereta,menaiki bas, berkereta api dan dengan pesawat. Ada kunjungan TB kebetulan menghadiri seminar budaya di Pusat Warisan Melayu, ada kunjungan untuk misi penulisan dan penyelidikan TB, ada juga kunjungan TB untuk mengembalikan nostalgia TB semasa zaman kanak-kanak 1960-an di kota ini; dan yang paling  manis - pilu ialah bagi membuat banding beza antara kemajuan masa hadapan dan kehilangan masa silam.GEYLANG SERAI sebuah perkampungan Melayu yang sedia wujud lebih 100 tahun yang lalu.
Penulis berada di Pusat Warisan Melayu
di Istana Kampung Gelam
Ada sejarah awal dan akhir yang sedia terlakar dan menjadi memori sepanjang zaman.Namun TB hanya mengutip satu daripada sejuta peninggalan yang mampu mengusik jiwa pengunjung ke Geylang Serai yang juga disebut Kampung Melayu@Malay Village. Kini pasar Geylang Serai telah bertukar wajah menjadi pasar moden mulai tahun 2000. Di bangunan yang mengekalkan ciri-ciri seni bina Melayu ini mengandungi dua tingkat.

Tingkat bawah ialah pasar basah yang menjual pelbagai aneka sayur-sayuran, rempah-ratus, ikan,ayam dan daging, buah-buahan,kuih-muih tradisional  dan kios makanan dan minuman.Manakala di tingkat atas ada lebih 20 gerai yang menyediakan aneka juadah yang enak lazat makanan halal Melayu/lslam yang dijamin menyelerakan.

Setiap hari khususnya sebelah pagi kita akan menemui ramai warga emas yang turun keluar dari pangsapuri masing-masing di kawasan Geylang Serai. Di tingkat dua juga ada gerai-gerai yang menjual pakaian dan pelbagai jenis cenderamata. Antara gerai yang tidak pernah  TB ketinggalan mengujunginya ialah gerai Wak Murset yang terkenal dengan Otak-Otak lkan dan Otak-Otak Telur lkan. Gerai Wak Murset berada di lokasi no.160 (asalnya no.165 kemudian berpindah).

Penulis berada di hadapan Masjid Sultan 
Otak-otaknya sedap dan lazat dek resepi rempahan yang serasi dan menyelerakan. Pelanggan sentiasa berbaris dengan harga $1=3bungkus otak-otak yang dikira berbaloi. Kenapa dan mengapa TB tidak melepaskan peluang berkunjung atau berada tidak jauh daripada gerai Wak Murset ini apabila berkunjung ke Singapura? Di samping melihat ketekunan Wak Murset bekerja di gerainya, TB seronok kerana gerai beliau ada jati diri tersendiri.

Di gerainya kita dihiburkan dan didendangkan dengan lagu-lagu nostalgia nyanyian biduan tersohor masa silam seperti Jasni, R.Azmi, A.Rahman, S.Efendi, Oslan Hussin dan lain-lain lagi.Pendek kata, gerai Wak Murset terus berkumandang dengan lagu-lagu klasik Melayu dari hari ke hari,semasa ke semasa, bulan ke bulan, tahun ke tahun dan begitulah uniknya gerai Wak Murset yang terkenal bukan hanya keenakan otak-otak ikannya tetapi kesyahduan irama dan lagu yang mengusik kenangan dan menjadi pengubat rindu khususnya bagi pemastautin Geylang Serai yang rindukan kampung halaman di celah-celah hutan batu kota kosmopolitan ini. Selamat ketemu lagi gerai Wak Murset!

26 November 2010

SINGAPURA OH SINGAPURA : FIKIR DAN JAWAB SENDIRI


TB akan menulis apa yang TB nampak,TB rasa,TB lihat semata-mata untuk pembaca budiman dapat mengasah minda dengan fikiran yang kritis dan kreatif.Sewaktu berada di Singapura, di Kompleks Joo Chiat di hadapan sebuah kedai di Jalan Onan Geylang Serai, TB ternampak sebuah beg plastik yang jika dilihat dengan sekilas pandang tidak mengandungi sebarang makna. Tetapi jika dengan fikiran yang halus dan berlapis-lapis tentu pembaca boleh menafsirkan dan memberi pengertian yang berbagai-bagai. TB ada jawapan tersendiri..Dalam isu ini,Tb menyerahkan pembaca yang bijaksana memberikan pelbagai maksud yang tersurat dan tersirat berdasarkan perspektif dan persepsi masing-masing. Fikir dan jawab sendiri...okey.

24 November 2010

TB BERADA DI SINGAPURA DAN BRUNEI

Penulis bersama seorang sahabat di hadapan Bangunan
Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
DALAM beberapa hari ini TB tidak dapat mengisi kolum dalam blogspot TB ;kerana berada di Singapura dan Brunei.TB akan isikan beberapa isu serantau semasa perjalanan TB kedua-dua buah negara dalam ASEAN ini.
Apapun ada khabar baik bagi penjawat awam di Singapura penghujung tahun ini kerana kerajaan Singapura telah mengumumkan bonus DUA BULAN gaji. Jika Singapura boleh,mengapa kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib Razak tidak boleh? Malaysia Boleh!!! Sdr  Omar 0sman Presiden CEUPACS tidak berundur menyuarakannya. Syabas kepada beliau yang terus yakin slogan Malaysia boleh!

23 November 2010

BEGINI NASIB TANAH MELAYU

DILAPORKAN  tanah milik  orang Melayu di  timur laut Pulau Pinang semakin mengecil. Berikut adalah fakta yang  berkaitan:

    Gambar Hiasan
  • Satu kajian hartanah menunjukkan hanya 1.16 peratus tanah di daerah Timur Laut dimilki orang Melayu, berbanding Cina 19.84 peratus. Bakinya dimilki syarikat , agensi dan kerajaan negeri.
  • Tanah di Georgetown dijual  RM400 sekaki persegi, orang Melayu tidak mampu membelinya.
  • Rata-rata seunit rumah bertingkat iaitu pangsapuri kos sederhana dan pangsapuri mewah berharga antara RM 300,000 hingga RM500,000 seunit tidak mampu dibeli orang Melayu.
  • Pendapatan  per kapita mengikut etnik bagi 2004 menunjukkan bumiputera memperoleh RM 2,856 berbanding dengan Cina RM 4,268 dan India RM2,687: . (sumber UM 22/11/2010)
Sebenarnya banyak kali TB mengingatkan bahawa kes di atas bukan hanya di Pulau Pinang sahaja. lni adalah cermin perbandingan bagi keseluruhan nasib orang-orang Melayu di Malaysia kini.Justeru, TB pernah menyarankan agar setiap kali perhimpunan parti-parti politik yang berteraskan Melayu/lslam baik UMNO,PAS bahkan PKR jika ikhlas dalam perjuangan masing-masing buatlah kajian terkini pemilikan hartanah orang-orang Melayu kini seluruh Malaysia.Dan buatlah kajian pencapaian terkini orang-orang Melayu dalam bidang bidang professional seperti kejuruteraan,kedoktoran,guaman dan sebagainya.Usahlah bercakaran dan asyik mendendangkan ungkapan klise ayam di kepuk mati kelaparan,melagukan lagu lama ‘anak kecil bermain api’…diam-diam Melayu berpolitik syok sendiri yang mana masalah Pulau Pinang bukan berlaku pada masa pentadbiran politik sekarang bahkan sejak zaman BN memerintah lagi. Fikir-fikirlah sendiri!

22 November 2010

CUTI SEKOLAH: PENGISIAN UNTUK ANAK-ANAK


Gambar Hiasan

PENGISIAN masa bagi anak-anak kita semasa cuti sekolah akhir tahun lebih sebulan ini perlu dijadualkan dengan bijak dan berhati-hati.
* Jangan sampai ada pelajar ini menghisap rokok dan menjadi penagih pula kerana selalunya ia bermula dengan merokoklah punca permulaan kepada penagihan dadah.
* Pastikan anak-anak kita tidak bergaul dengan kawan-kawan yang boleh merosakkan akhlak mereka terutama sekali yang nakal.
Sekali terjebak dan tersasar jauh bukan mudah untuk dipulihkan. Biar kita tegas sedikit asalkan anak kita terselamat dari gejala sosial yang boleh memporakperandakan institusi kekeluargaaan itu sendiri.
Selalunya ibulah yang paling rapat dengan anak-anak dan seterusnya memberikan nasihat secara berkhemah tetapi tegas.
Gambar Hiasan : Di kolam Air Terjun Air Panas Gunung Ledang
Tangkak Johor  2010
* Pastikan anak-anak mengulang kaji atau membuat kerja-kerja sekolah sekurang-kurangnya 2 jam sehari.
* Pada masa cuti sekolah inilah cuba 'berkawan' dengan anak-anak. Berikan mereka kesempatan bersuara dan memberikan pendapat dan tidak secara langsung kemesraan kekeluargaan dapat dipupuk.
Tidak salahnya jika wang lebih bawa mereka bercuti bersama kerana dari situ rasa kemesraan akan terjalin dan boleh merapatkan lagi hubungan antara orang tua dengan anak-anak.
1 Malaysia Berlibur Sambil Riadah 
Disyorkan juga membawa anak- anak yang tinggal di bandar-bandar besar itu bercuti panjang ke kampung asal.
Mereka boleh menikmati dan mengenali kehidupan kampung yang kaya dengan adat resam serta kemuafakatan penduduk kampung itu sendiri tidak dapat dinafikan lagi.
Biarlah anak-anak mengenal ayam itik dan lembu kerbau serta merasakan menjejakkan kaki di dalam sawah bendang atau ikut bersama berkebun ataupun pergi menoreh getah bersama datuk atau nenek mereka. Berilah ruang dan peluang kepada anak-anak kita.
* Elakkan anak-anak remaja kita merempit atau bersosial yang keterlaluan hingga tidak balik ke rumah atau balik hingga lewat malam kerana bermacam-macam boleh berlaku.
Kita tidak mahu apabila 'sudah terantuk baru hendak tergadah' dan pada masa itu sudah terlambat.
* Diberikan pengajaran agama berhubung kait dengan fardu ain mentelaah kitab suci al-Quran melalui ajaran terus daripada ibu bapa atau dari ustaz dan guru al-Quran.(sumber daripada Syed Abdullah Syed 0thman Jamalulail,Ampangan,  Seremban)



21 November 2010

SEJARAH YANG MENGELIRUKAN:

(Gambar Hiasan :Nilai Memorial Park)


TUGU PERINGATAN NILAI-TUGU KOMUNIS?


KENYATAAN Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin ( ketika isu ini dibangkitkan)  tentang rasa tidak senang beliau dengan pembinaan memorial memperingati perjuangan komunis di tanah perkuburan Cina di Sarawak dan di Nilai, Negeri Sembilan telah mengundang kontroversi.

Kenyataan tersebut dipertikaikan oleh pihak serta persatuan yang menyokong pembinaan memorial itu.

Perkara yang menimbulkan perbahasan ini adalah rentetan daripada pembinaan sebuah memorial dan sebuah tugu peringatan di tanah perkuburan Taman Peringatan Nilai, Negeri Sembilan.

Pertama, sebuah memorial yang dibina untuk memperingati 18 orang pemimpin Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) yang dibunuh oleh tentera Jepun akibat pengkhianatan pemimpin kanan mereka sendiri pada 1 September 1942.
Memorial tersebut terpahat dengan perkataan Hero 1 September.

Kedua, sebuah tugu peringatan yang dibina bersebelahan dengan memorial yang pertama tadi yang dipahat dengan perkataan Sebuah monumen memperingati hero-hero Malaya dalam gerakan menentang penaklukan Jepun 1941-1945.
Melihat kepada memorial pertama ini, persoalan timbul adakah kematian 18 orang pemimpin MPAJA ini wajar diterima atau wajar diingati oleh masyarakat sebagai kematian ‘wira’ atau ‘hero’?

Menelusuri sejarah, MPAJA ditubuhkan bukanlah bertujuan untuk mempertahankan Malaya sebagai tanah air tetapi kerana sentimen anti Jepun oleh kaum Cina yang berakar umbi sejak konflik China-Jepun dan kerana layanan buruk tentera Jepun kepada kaum Cina.

MPAJA adalah sebuah gerakan bersenjata yang ditubuhkan, diuruskan dan dibiayai oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Sejarah menunjukkan bahawa kebanyakan pemimpin MPAJA terdiri daripada pemimpin atau ahli PKM sendiri.

Dalam buku alias Chin Peng My Side of History juga ada diceritakan tentang kisah serang hendap pada 1 September 1942 oleh tentera Jepun yang mengakibatkan kematian ramai ‘komrad’ beliau. Maka jelas, individu yang diperingati serta dikaitkan dengan pembinaan memorial tersebut terdiri daripada pemimpin-pemimpin PKM.

Oleh itu, adakah memperingati pemimpin PKM ini sebagai wira atau hero suatu konsep yang sesuai dan boleh diterima? Lebih-lebih lagi PKM telah melakukan banyak jenayah pembunuhan ke atas orang yang tidak berdosa di tanah air ini selepas Jepun menyerah kalah.

Adakah pembinaan memorial ini mengambil kira sensitiviti ahli keluarga mangsa keganasan PKM dan ahli keluarga pasukan tentera yang gugur menentang komunis?

Oleh itu, saya amat bersetuju malah menyokong pendirian Zainuddin bahawa memorial tersebut secara tidak langsung dibina sebagai memberi makna untuk memperingati pemimpin PKM sebagai wira atau hero. Ini sepatutnya tidak dibiarkan kerana sensitiviti dan sentimen umum terhadap komunis di Malaysia telah tidak diambil kira.
Merujuk pula kepada pembinaan tugu bagi memperingati hero Malaya dalam gerakan menentang penaklukan Jepun yang dibina di sebelah memorial tersebut, saya tidak nampak rasional untuk keperluan bagi pembinaan tugu tersebut.

Saya percaya Tugu Negara yang terletak di Kompleks Tugu Negara, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur sudah cukup sempurna untuk memperingati jasa pahlawan negara. Tugu pertama dibina bagi memperingati tragedi kemanusiaan dan jasa pahlawan negara dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1939-1945) dan Darurat (1948-1960).

Binaan tugu kedua yang menggambarkan sekumpulan pahlawan mengibarkan Jalur Gemilang dibina bagi memperingati 11,000 pahlawan negara yang gugur semasa Darurat (1948-1960).

Di negara ini, tarikh 31 Julai setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Pahlawan dan setiap tahun upacara memperingati jasa pahlawan negara dilakukan dengan penuh penghormatan.

Oleh itu, apakah rasionalnya membina tugu untuk memperingati hero Malaya menentang penaklukan Jepun di tanah perkuburan Cina? Adakah motif pembinaan tersebut hanya menjurus kepada memperingati perjuangan kaum Cina atau gerakan MPAJA yang sebahagian besarnya dianggotai oleh kaum Cina?

Sesungguhnya saya percaya pembinaan tugu di tanah perkuburan ini hanya akan mengundang kekeliruan kerana Chin Peng dan anggota komunis lain juga boleh mengaku wira atau hero dalam konteks tugu tersebut dibina.

Dengan meluahkan pendapat ini, sama sekali tidak bermakna saya hendak menafikan sumbangan orang Cina terhadap kemerdekaan dan pembangunan negara.
Namun sekiranya cara ini dimaksudkan sebagai simbol sumbangan orang Cina kepada kemerdekaan negara, ia sesuatu yang amat mengelirukan.

Saya juga berharap kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat memainkan peranan dalam melihat serta memantau pembinaan memorial atau tugu peringatan yang dibina dalam negeri atau kawasan PBT selaras dengan dasar dan wawasan negara. Pembinaan memorial atau tugu peringatan yang tidak selaras atau tidak menepati dasar dan wawasan kerajaan haruslah disekat dan dihentikan. (Sumber daripada Abdul Halim Lokman, Seremban, Negeri Sembilan) 
<!--[if !supportLineBreakNewLine]-->
<!--[endif]-->

SYOR NAIK ELAUN ADUN RM8,000 : TIDAK MUNASABAH!


Gambar Hiasan Suasana Pilihan Raya



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim  mencadangkan supaya elaun ADUN di negeri itu dinaikkan kepada RM8,000 sebulan.


Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Peruntukan Untuk Mengurus DUN, beliau berkata, elaun asas sebanyak RM4,112.79 sebulan pada masa ini tidak mencukupi ekoran kenaikan kos sara hidup semasa.

Katanya, bayaran elaun itu tidak mencukupi terutama melibatkan seorang wakil rakyat yang bekerja sepenuh masa dan tidak mempunyai pendapatan sampingan. "Saya harap elaun asas ini boleh dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM8,000 jika tidak RM10,000 sebulan.

"Ketika ini, orang yang menjual mi goreng boleh mendapat pendapatan RM8,000 sebulan manakala peraih ikan boleh mendapat RM10,000 sebulan," katanya ketika sidang DUN di sini hari ini. Suee Lim yang juga ADUN daripada DAP turut mencadangkan agar sidang Dewan Undangan Negeri mempertimbangkan untuk mengkaji semula elaun mesyuarat daripada RM75 kepada RM200 sehari. (baca penuh UM 13.Nov.2010).

Hai, hello brother janganlah bengong! Anda semua menjadi ADUN termasuk ADR kerana anda semua menawarkan diri atau anda dipilih oleh parti anda setelah anda bersetuju untuk menjadi calon pilihan raya. Tujuan anda adalah untuk berjuang berlandaskan prinsip parti masing-masing di samping berbakti untuk rakyat jelata demi tanah air kita yang tercinta ini.Jikalau kakitangan kerajaan juga skim gaji tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bersandarkan kelulusan akademik, kelulusan ikhtisas, pengalaman, pencapaian prestasi dan kenaikan pangkat.

Tetapi anda wakil rakyat walaupun mendapat elaun daripada wang rakyat juga tetapi eloklah bertanya diri sendiri apakah tujuan anda menjadi pemimpin? Apakah tujuan anda berbakti sebagai wakil rakyat? lngat anda bukan tuan kepada rakyat yang mesti dibayar upah setaraf pegawai atasan kerajaan bertaraf jusa yang banyak terikat dengan peraturan am kerajaan.

Difahamkan anda wakil rakyat masih tidak terikat dalam hal-hal menjalankan urus niaga perniagaan,menerajui syarikat-syarikat dan sebagainya.Yang penting asalkan anda tidak rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa. Bahkan wakil rakyat bukan semua yang memiliki ijazah pertama,kedua atau ketiga. Masih ada lagi wakil rakyat yang hanya sekadar memiliki kelulusan SPM atau lebih rendah lagi.Kerana apa? 

Menjadi pemimpin atau wakil rakyat berkelulusan akademik tinggi bukan sesuatu yang wajib walau kini amat dititikberatkan.Menjadi pemimpin atau wakil rakyat mestilah memiliki sijil sabar, sijil, amanah. sijil jujur,sijil pemurah, sijil pemaaf dan sijil berlemah lembut.Tanya diri anda adakah anda memiliki sijil-sijil ini?Jika ada eloklah, baguslah dan tahniah.

Justeru, janganlah mengukur pengorbanan anda dengan nilaian wang ringgit.TB tertarik apa yang dikatakan oleh Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang, yang mana beliau mahu mencontohi sikap Umar ibni Abdul Aziz seorang tokoh lslam contoh yang menjadi pentadbir yang mengamalkan hidup serderhana, berjimat cermat dan mengutamakan kepentingan rakyat. Jadi anda bagaimana?  

Saranan TB, padamkan hasrat anda mahu menuntut elaun setinggi itu.Jangan samakan anda dengan pendapatan si penjual mee goreng di Petaling Street atau seorang pemandu teksi di Singapura. Awas…anda jangan mula bersikap tamak dan mula lupa diri? Siapakah yang memilih anda? Jika anda rasa rugi,letaklah jawatan..duduk tepi jalan juallah durian atau dukung; yang mungkin anda boleh dapat RM10ribu sebulan.Tidak sesiapapun memaksa anda!!!




18 November 2010

AWAS ! TINDAKAN JIKA PERSOAL HAK BUMIPUTERA


Tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 boleh diambil terhadap sesiapa yang mempersoalkan mengenai hak bumiputera kerana ia telah termaktub di dalam Perlembagaan negara.
Pakar undang-undang, Profesor Salleh Buang berkata, hak bumiputera Sabah dan Sarawak adalah sama dengan hak orang Melayu dan kerana itu ia tidak boleh dipertikaikan.
"Hak itu tidak boleh dipersoalkan. Kita perlu berlapang dada bagi sebarang pertikaian dalam pelaksanaannya.
"Jika ada pihak yang persoalkan tentang hak itu, maka tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa," jelasnya  ( baca penuh Utusan Malaysia 13/11/2010).


Paling pokok, Tiub Bocor berharap semua pihak wajib bertegas;terutama bahagian penguatkuasaan yang berkait rapat dengan  soal pelaksanaan undang-undang.Negara kita terlalu banyak akta,enakmen dan seksyen digubal dan diwawarkan.Tetapi setakat ini belum kita terdengar pun ada majikan yang dikenakan hukuman rotan atas kesalahan melindungi pendatang asing yang memasuki dan bekerja di negara kita secara haram atau tanpa sah di sisi undang-undang. Begitu juga perbuatan membuang sampah di merata-rata tempat atau merokok di tempat awam ; walau ada larangan dan denda dipamerkan tetapi tidak sering kita dengar aspek pelaksanaan dan hukuman dilakukan.Jikalau masalah kekurangan pegawai penguatkuasa maka sewajarnya kerajaan menambahkan tenaga kerja.Jika untuk tujuaan penggalakkan,mana-mana orang awam yang memberi maklumat bolehlah diberi hadiah atau saguhati.Justeru undang-undang mempersoalkan perkara 153 Perlembagaan bukanlah perkara baru dengan wujudnya Akta Hasutan 1948.Soalanya sejauh mana tindakan pelaksanaannya? Dengan bertambahnya bijak pandai tetapi yang bertambah seperti kata bidalan Melayu lawyer buruk di negara kita maka semakin kalutlah jika tidak dibendung atau diambil tindakan tegas. Jangan semata-mata kerana kepentingan politik maka cacamarbalah jadinya bak  pi mai pi mai tangtu!


17 November 2010

BAHASA MELAYU : BAHASA RASMI, BAHASA KEBANGSAAN, BAHASA ILMU DAN BAHASA PERPADUAN DAN KOMUNIKASI NEGARA, BAHASA MALAYSIA BAHASA SATU MALAYSIA.


Hanya bahasa Melayu boleh diiktiraf sebagai bahasa rasmi di negara ini.
Tokoh akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, sehubungan itu, mana-mana pihak di negara ini tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua.
Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak pernah melarang penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat malah menggalakkan mereka menguasai bahasa antarabangsa itu.
"Kita juga telah menjadikan bahasa Inggeris selaku bahasa pengantar kedua di sekolah-sekolah selepas bahasa Melayu.
"Adakah ini masih belum mencukupi sehingga bahasa itu (Inggeris) juga perlu dijadikan bahasa rasmi?," soalnya .
Nik Safiah berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan wakil parti DAP dari Datuk Keramat, Pulau Pinang, Jagdip Singh Deo yang mahukan bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua di negeri itu.
Menurut Jagdip, ia selaras dengan hasrat menjadikan negeri itu sebagai bandar antarabangsa pada masa depan.
Cadangan wakil DAP itu disuarakan ketika Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.
Dalam pada itu, Nik Safiah menambah, penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa kedua dilihat seakan-akan memberi persaingan terhadap bahasa kebangsaan itu.
"Justeru, saya sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa rasmi kedua walaupun di Pulau Pinang," tegasnya lagi.(baca penuh UM 10 Nov.2010)
TIUB BOCOR hairan apabila sesuatu perkara yang menyentuh tuntutan berkaitan soal keadilan yang berkepentingan peribadi maka Perlembagaan Malaysia yang menjadi rujukan. Tetapi apabila hal-hal kebahasaan yang telah jelas dalam Perkara 152 mengapa mahu diprovokatif?Negara lndia meletakkan bahasa lnggeris bahasa rasmi manakala bahasa kebangsaannya ialah bahasa hindi.Tetapi adakah lndia menjadi negara maju,kaya dan mewah?Filipina, bahasa rasmi bahasa lnggeris manakala bahasa kebangsaannya bahasa tagalong; apakah Filipina menjadi maju kerana bahasa lnggerisnya? Yang kita tahu,kedua-dua negara tersebut masih ditakuk paras kemiskinan tertinggi di dunia.



SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

10 Zulhijjah 1431H

Puluhan ribu jemaah telah pun bergerak mulai 5 pagi (10 pagi waktu Malaysia) dari khemah mereka di Mina, kira-kira 10 kilometer ke barat laut Arafah. Ramai antaranya mengerjakan solat subuh di Masjid Namira atau semasa dalam perjalanan.


Kebanyakan jemaah yang lain dibawa ke Arafah dengan bas menjelang tengah hari. Perhimpunan di Arafah melambangkan kemuncak haji yang bermula semalam, dengan lebih dua juta jemaah bergerak dari kota suci Mekah atau terus dari Mina, sebuah bandar khemah yang hidup hanya semasa tempoh mengerjakan haji.


Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Nayef bin Abdul Aziz semalam berkata, bilangan jemaah dari luar negara mencecah 1.8 juta orang iaitu tertinggi dalam sejarah, manakala kira-kira 200,000 permit dikeluarkan untuk jemaah tempatan termasuk warga Saudi dan negara Arab Teluk.


Namun puluhan ribu jemaah tanpa permit turut membanjiri Mina mulai semalam, dengan memintas sekatan jalan raya yang didirikan oleh pihak berkuasa bagi menguatkuasakan peraturan 'tiada permit, tiada haji'.


Ramai antara jemaah tanpa permit itu sudah pun berada di Arafah malam tadi sebagai persiapan untuk wukuf.

Menjelang terbit matahari, tempat tertinggi di Arafah, Jabal Rahmah dipenuhi sebilangan jemaah berpakaian ihram yang mendaki ke puncak untuk mengambil kedudukan dan menghabiskan masa dengan berdoa dan berzikir.



Selepas Maghrib, jemaah bergerak ke Muzdalifah, separuh perjalanan di antara Arafah dan Mina, untuk bermalam (mabit) dan mengutip anak batu bagi tujuan melontar jamrah. Mereka kembali ke Mina selepas solat subuh esok untuk mula melontar jamrah dan melakukan ibadat korban.


Penulis selesai  menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam 2008.

Perjalanan haji tahun ini bebas daripada sebarang insiden tidak diingini sejak jemaah mula berhimpun di Mekah. Masjidil Haram dibanjiri kira-kira 1.7 juta jemaah yang mengerjakan solat Jumaat minggu lepas. Kira-kira 2.5 juta umat Islam berhimpun di sini hari ini pada hari yang merupakan kemuncak haji iaitu wukuf di Arafah. – (sumber AFP)


TB dan team TB blogspot serta ahli keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha, maaf zahir dan batin. Semoga kita semua beroleh hidayah ke jalan kebaikan dan sama-sama menghayati erti setiap pengorbanan. Apatah lagi jika kita tidak merasai kesusahan, kita tidak akan merasai kesenangan dan kesyukuran. SALAM AIDILADHA…Allah-hu-Akhbar!!!!


15 November 2010

Abd. Ghafar KP Pelajaran Baharu

Pengarah Institut Aminuddin Baki Datuk Abdul Ghafar Mahmud dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan itu, yang berkuat  adalah selaras dengan peruntukan 144(3) Perlembagaan Persekutuan.


"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan beliau (Abdul Ghafar) sebagai Ketua Pengarah Pelajaran
Gred Utama Turus III," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.


Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki Abdul Ghafar dalam bidang pendidikan, pengetahuan selain kompetensinya.
"Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta komitmen beliau akan membolehkannya melaksanakan tugas seperti mana yang diperuntukkan oleh Akta Pendidikan 1996," kata Muhyiddin.


Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan Alimuddin sepanjang 34 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan.


Abdul Ghafar, 56, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari University of East Anglia, Norwich, United Kingdom dan Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya.


Beliau memulakan perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran pada 1 Mei 1977.


Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, Abdul Ghafar telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat (1989), Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran (2007) dan Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran pada 2008.
- Bernama


TIUB BOCOR ucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Abdul Ghafar seorang sahabat lama, yang mana seingat TB pernah kami bersama-sama menduduki Jawatankuasa Tertinggi Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1991,1992 dan 1993.Sewaktu itu TB dan beliau berkhidmat di bawah JPWP KL. TB sangat bertuah kerana dua tahun berturut-turut TB diberi penghormatan mendeklamasikan puisi sempena Hari Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Kampo Rajo Pusat Belia Antarabangsa,Cheras Kuala Lumpur dan di Dewan Pusat lslam,Kuala Lumpur. 


      Abdul Ghafar seorang yang nampak pendiam tetapi boleh tersenyum apabila didekati dan seorang yang berhemah,bersopan dan amat menghormati kawan. Walaupun kami kini membawa haluan tersendiri tetapi TB percaya semangat cintakan dunia pendidikan tetapjitu dengan cara perjuangan masing-masing. Datuk Abdul Ghafar yang yang agak lama di Kuala Lumpur tentu amat memahami cabaran-cabaran pelajar waktu kini terutama di kota besar seperti Kuala Lumpur. Kepada beliau, TB titipkan bahawa tiada kata secantik bahasa, salam perjuangan dan teruskan obor baktimu sampai bila-bila, syabas dan tahniah!





12 November 2010

MPPK WAJAR


 
Tan Sri Dato' Dr Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin



MAJLIS Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang ditubuhkan kelmarin diharap meletakkan pendidikan negara ini pada tahap yang lebih cemerlang. Idea menubuhkan MPPK ini pernah dicadangkan pada 1995, tetapi menjadi kenyataan pada 10 November 2010 lalu.

     Majlis ini mempunyai peranan menasihati Menteri Pelajaran berhubung isu-isu berkaitan pendidikan negara. Untuk tujuan itu, tujuh anggota majlis yang terdiri daripada pakar dalam bidang pendidikan telah dilantik. Majlis ini dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Noordin.

     Dengan barisan anggota majlis yang terdiri daripada tokoh pendidikan pelbagai kaum, MPPK dijangka mampu memberi nasihat dan input untuk pembangunan pendidikan negara. Sudah tentu mereka memahami apa yang dihasratkan oleh Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
     Tujuh anggota majlis ini akan melihat sistem pendidikan dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat lepasan menengah, hala tuju pendidikan dan pembangunan modal insan serta kebolehpasaran pelajar kita.
      Adalah tugas anggota majlis ini untuk menimbangkan setiap perkara yang dirujuk kepadanya dan mengemukakan nasihat mengenainya kepada menteri. Sebagaimana harapan Muhyiddin begitu juga rakyat yang mahu MPPK memikirkan kaedah bagaimana untuk merapatkan jurang pendidikan terutama perbezaan aliran demi memupuk perpaduan kaum dari peringkat sekolah. Selama ini banyak isu pendidikan diserahkan kepada masyarakat untuk membuat tafsiran masing-masing.
      Dengan adanya majlis penasihat ini, tuduhan kepada kerajaan mengenai sesuatu dasar pelajaran dapat dikurangkan. Kita bersimpati dengan kerajaan yang terpaksa turun ke bawah mendapatkan buah fikiran rakyat sebelum melaksanakan sesuatu dasar.
Kadangkala sesuatu dasar yang baik untuk anak-anak dan generasi muda 'terbengkalai' bertahun-tahun angkara permainan politik pihak tertentu
      Kini, elok kita serahkan pula kepada tokoh-tokoh pendidikan untuk memerah otak memikirkan apa yang baik untuk pendidikan negara. Biarlah mereka memikirkan perkembangan kurikulum, penilaian dan pentafsiran pendidikan, perancangan dan penggubalan dasar pendidikan serta isu-isu pendidikan.
      Penubuhan MPPK ini tidak boleh ditangguhkan lagi. Dalam kita bergerak di landasan menuju negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi, soal modal insan iaitu melalui pendidikan perlu diberi keutamaan. Bidang pendidikan perlu ke hadapan untuk tempoh 10 tahun akan datang selaras dengan dasar dan transformasi yang dilakukan kerajaan. Pelan induk pendidikan negara perlu dilaksanakan bersesuaian dengan tuntutan dan perkembangan semasa negara.
      Jadi tidak salah kerajaan menubuhkan MPPK agar strategi pendidikan negara dapat digerakkan sepenuhnya mengikut hala tuju dan dimensi baru negara (sumber UM,11 Nov.2010)


TIUB BOCOR mengalu-alukan perlantikan Tan Sri Dr.Wan Zahid Mohd Nordin selaku Pengerusi MPPK.Sekurang-kurangnya pengisian Wawasan Pendidikan yang diilhamkan oleh beliau semasa menjawat KPKPM dahulu dapat diteruskan hala tujunya dan dapat direalisasikan lantaran wawasan tersebut bagi TB amat jelas,mantap dan begitu sinonim dengannya. Dengan adanya MPPK setiap dasar yang mahu dilaksanakan dapat difikirkan dan diputuskan dengan sebaik mungkin agar sejarah PPSMI tidak berulang kembali. Syabas kepada para anggota MPPK dan selamat terus berbakti!



11 November 2010

BAHASA MELAYU : BAHASA RASMI, BAHASA KEBANGSAAN, BAHASA ILMU DAN BAHASA PERPADUAN DAN KOMUNIKASI NEGARA, BAHASA MALAYSIA BAHASA SATU MALAYSIA.

Hanya bahasa Melayu boleh diiktiraf sebagai bahasa rasmi di negara ini.

Tokoh akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, sehubungan itu, mana-mana pihak di negara ini tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak pernah melarang penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat malah menggalakkan mereka menguasai bahasa antarabangsa itu.
"Kita juga telah menjadikan bahasa Inggeris selaku bahasa pengantar kedua di sekolah-sekolah selepas bahasa Melayu.
"Adakah ini masih belum mencukupi sehingga bahasa itu (Inggeris) juga perlu dijadikan bahasa rasmi?," soalnya .
Nik Safiah berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan wakil parti DAP dari Datuk Keramat, Pulau Pinang, Jagdip Singh Deo yang mahukan bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua di negeri itu.
Menurut Jagdip, ia selaras dengan hasrat menjadikan negeri itu sebagai bandar antarabangsa pada masa depan.
Cadangan wakil DAP itu disuarakan ketika Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.
Dalam pada itu, Nik Safiah menambah, penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa kedua dilihat seakan-akan memberi persaingan terhadap bahasa kebangsaan itu.
"Justeru, saya sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa rasmi kedua walaupun di Pulau Pinang," tegasnya lagi.(baca penuh UM 10 Nov.2010)
TIUB BOCOR hairan apabila sesuatu perkara yang menyentuh tuntutan berkaitan soal keadilan yang berkepentingan peribadi maka Perlembagaan Malaysia yang menjadi rujukan. Tetapi apabila hal-hal kebahasaan yang telah jelas dalam Perkara 152 mengapa mahu diprovokatif?Negara lndia meletakkan bahasa lnggeris bahasa rasmi manakala bahasa kebangsaannya ialah bahasa hindi.Tetapi adakah lndia menjadi negara maju,kaya dan mewah?Filipina, bahasa rasmi bahasa lnggeris manakala bahasa kebangsaannya bahasa tagalong; apakah Filipina menjadi maju kerana bahasa lnggerisnya? Yang kita tahu,kedua-dua negara tersebut masih ditakuk paras kemiskinan tertinggi di dunia.

09 November 2010

BAHASA IDENTITI NEGARA


SEKUMPULAN pakar, pencinta dan aktivis bahasa yang mewakili agensi kerajaan dan swasta, persatuan dan individu pada perbincangan Meja Bulat Memartabatkan Bahasa Melayu, April lalu, mencadangkan supaya Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan khusus untuk memperjuangkan hal berkaitan Bahasa Melayu.

Jawatankuasa itu diharap akan membolehkan sebarang perkara berhubung bahasa kebangsaan mendapat perhatian kerajaan dan diselaraskan antara kementerian dan agensi yang berkaitan, khususnya Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 5 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menggesa PBT memainkan peranan dalam membantu kerajaan memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.
Mereka boleh menguatkuasakan Undang-undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan bagai memastikan tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan serta premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.
         
Dalam urusan seharian, beliau mahu semua pemimpin korporat supaya tidak meminggirkan bahasa kebangsaan. "Penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan, kewangan dan insurans seperti penggunaan dokumen rasmi, papan tanda dan borang yang digunakan, perlulah diberi penegasan," katanya. Selepas 53 tahun Malaysia merdeka dan sematang usianya, gesaan Timbalan Perdana Menteri itu bukan remeh tetapi penting untuk memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam dunia perniagaan dan perdagangan hari ini.

Penegasan semula penggunaan Bahasa Melayu ini dalam urusan rasmi seperti mesyuarat dan urusan kerajaan turut diungkap pada persidangan meja bulat itu dalam memorandum yang dicadang dihantar kepada Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran. Kata mereka, penggunaan ayat atau istilah atau perkataan dalam bahasa lain hanya patut dibenarkan dengan izin seperti yang dipraktis di Parlimen.


Kebanyakan mereka memberi penekanan kepada usaha ini di peringkat sekolah - 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Kebetulan penganjur ialah Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Apa yang ditekankan ialah usaha memberikan nilai dan kepentingan bahasa kebangsaan. Antaranya syarat lulus Bahasa Melayu dalam pensijilan terbuka, hendaklah ditingkatkan daripada lulus (Gred E) kepada kepujian gred C.

 Pelajar tingkatan enam sepatutnya diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan syarat kelulusan Bahasa Melayu untuk kemasukan ke tingkatan enam, IPTA dan IPTS perlu ditingkatkan.
Dengan meluasnya pendedahan anak muda kepada bahasa SMS, berbual di Internet, twitter dan facebook misalnya, dibimbangi tahap pengungkapan Bahasa Melayu mereka semakin merosot.

Seorang aktivis mencadangkan supaya ujian lisan diwajibkan di sekolah-se kolah dan dijadikan syarat kelayakan menyambung pengajian di universiti.
Antara usaha menggalakkan penuturan Bahasa Melayu yang betul juga ialah dengan menganjurkan aktiviti untuk pelajar. Umpamanya jika sekolah-sekolah sering mengadakan aktiviti sehari berbahasa Inggeris, sepatutnya aktiviti yang sama boleh dibuat untuk Bahasa Melayu.
                                                                                                               Sumber : Bernama