Salam Perjuangan

08 November 2012

OBAMA : TAHNIAH !

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada Barack Obama kerana dipilih semula oleh rakyat Amerika Syarikat (AS) sebagai Presiden negara itu.

Perdana Menteri berharap dengan kemenangan tersebut, hubungan antara Malaysia dan AS dapat terus dipertingkatkan antaranya dalam bidang perdagangan dan keselamatan serantau.

Malah, Najib turut berharap pemerintahan Obama untuk penggal kedua kali ini akan meneruskan usahanya memupuk persefahaman dan hormat menghormati antara AS dan umat Islam di seluruh dunia.
"Sebagai sebuah negara Islam sederhana, Malaysia sentiasa bersedia membantu AS dalam usaha mengadakan hubungan yang lebih baik dengan dunia Islam," katanya dalam sidang akhbar di Menara TM, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai hubungan perdagangan, Najib berkata, AS merupakan antara rakan dagang terbesar Malaysia dan sudah tentu kemenangan Obama itu membuka lebih banyak peluang kedua-dua negara untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang tersebut.

''Antaranya usaha untuk merumuskan satu penyelesaian terbaik dalam rundingan Perkongsian Trans-Pasifik bagi membuka satu era baru dalam bidang perdagangan serta pelaburan,'' katanya.

Ditanya sama ada beliau menjangkakan kemenangan Obama, kata Najib, berdasarkan pengamatannya, undi popular antara Obama dan pencabarnya Mitt Romney adalah sama.

Bagaimanapun beliau berkata, selepas kiraan undi di peringkat badan perwakilan pemilih (electoral college) didapati Obama jauh meninggalkan Romney.

Sementara itu Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia mengikuti dengan penuh minat kempen pilihan raya Presiden AS.

"Dengan kemenangannya dalam pilihan raya bersejarah ini juga, Presiden (Obama) mempunyai peluang yang unik untuk merealisasikan visinya untuk AS," katanya.

Najib berkata, beliau juga berasa bangga bertemu dengan Obama semasa penggal pertama pemerintahannya dan masing-masing berikrar untuk membangunkan perkongsian yang semakin meningkat antara kedua buah negara.(sumber:UM,6/11/12)


Tiada ulasan: