DALAM keadaan negara kita yang sering menjadi transit dan diserang dengan pelbagai isu dadah saban hari oleh pelancong dan pendatang asing, kita menjadi nanar apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mahu memansuhkan hukuman gantung sampai mati.
Alasannya kerana kita mahu membela rakyat kita yang telah ditahan pihak berkuasa di luar negara kerana menjadi keldai dadah. Alasan ini amatlah kurang kukuh bagi membela mereka dan kelihatan sangat remeh.
Kita saban hari membaca di dada akhbar dan menonton di TV betapa seriusnya gejala pengedaran dadah ini oleh warga asing yang ditangkap di pintu masuk sempadan negara kita terutama di KLIA dan LCCT.
Dadah disembunyikan di dalam beg pakaian, di dalam bungkusan makanan, di dalam ubi kayu, malah ia ditelan dan disimpan di dalam perut! Jumlah dadah ini jika dinilai dengan mata wang kita adalah dalam kiraan jutaan ringgit Malaysia.
Mereka ini terdiri daripada warga Iran, India, Afrika dan sebagainya. Malah telah dapat dikesan dan dibongkar makmal-makmal dadah yang diusahakan oleh warga tempatan bersama-sama dengan warga asing ini.
Sekiranya dadah ini tidak dapat dikesan pihak kastam dan imigresen, apakah akan terjadi jika ia terlepas ke tangan pengedar dan terus ke tangan penghisap dan penagih dadah yang terdiri daripada anak Melayu? Anak Melayulah ternyata menjadi penghuni nombor 'wahid' jumlah yang paling ramai di pusat pemulihan atau serenti seluruh negara.
Dengan hukuman mati mandatori yang masih dikuatkuasakan pun mereka sanggup dan berani untuk melakukan pengedaran dadah dengan sewenang-wenangnya tanpa takut, inikan pula hukuman yang lebih ringan. Walaupun kadangkala pengumuman dibuat di dalam pesawat semasa mendarat dari luar negara di KLIA dan LCCT berkenaan dengan hukuman ini tetapi masih tetap ada yang tidak ambil peduli.
Kita sebagai ibu bapa dan warga Malaysia yang prihatin kerajaan membuat kajian teliti sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan hukuman gantung ini. Adakah hukuman ini dianggap zalim dan kejam? Bagaimana pula dengan beribu-ribu anak bangsa kita yang mati kerana ketagihan dadah berpunca daripada pengedar dadah yang tamak haloba ini?
Bagaimana pula penceraian suami isteri, kehancuran rumah tangga, fungsi kekeluargaan dan masyarakat yang kucar-kacir sehingga ada menjadi bangkai bernyawa dan jangkitan HIV hingga ke anak-anak yang tidak berdosa sebagai pewaris bangsa? Bukankah ini lebih zalim dan kejam kerana ia melibatkan beribu-ribu nyawa lain dan menjadikan penagih dadah sebagai penagih tegar untuk sepanjang hayat?
Kerajaan terpaksa pula mengeluarkan perbelanjaan jutaan ringgit untuk memulihkan penagih ini di pusat pemulihan atau serenti dan mengedarkan jarum dan kondom secara percuma. Apakah kita yang sedang menuju ke arah negara maju ini menganggap masalah dadah adalah perkara biasa dan sebuah cerita klasik yang tidak lagi perlu diuar-uarkan? Adakah sekarang kita telah menjadi lebih prihatin untuk menghukum pengedar dadah ini?
Oleh itu, sebarang keputusan kerajaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan dan kesejahteraan bangsa dan rakyat kita sendiri, bukan kerana desakan pihak luar ataupun cuba untuk mengikut contoh dari negara lain bahawa mereka melakukan sedemikian, maka kita pula mahu mengikut cara mereka. (sumber: SHARIAL OMAR AL-MUNSYI,Rawang Selangor, 12/11/12)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan