Salam Perjuangan

17 November 2012

MELAYU 3 KAPAL PUNCA BERPECAH?

TB terima mesej (SMS) daripada seorang sahabat berhubung dengan Dasar Pendidikan Negara(DPN) terkini. SMS beliau tercatat begini: 'Dasar Pendidikan Negara (DPN) yang baru dilancarkan menggantikan PIPP telah dibentangkan kepada semua guru di peringkat bawahan/dasar tanpa pengecualian.

 DPN banyak mengandungi penambahbaikan; antara komponennya ialah bagi mengwujudkan daya saing bagi para pelajar Melayu baik sesama mereka atau sesama kaum lain di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.Mengenai penentangan kaum lain, khususnya kaum Cina, jika tidak menguntungkan mereka maka mereka akan menentang.Jikalau MCA membawa memorandum dan  resolusi maka kerajaan/KPM terpaksa layan kerana tidak cukup kuat (?) untuk ditentang sebab Melayu dalam tiga(3)kapal...' (edit:TB)

TB faham maksud tersirat sahabat pengirim SMS ini.Maksudnya, kini orang Melayu telah berpecah kepada tiga parti terbesar. 0rang Melayu kini, dalam erti kata yang lain sudah tidur dengan bantal berasingan dan mimpi yang juga berbeza.Dengan ringkasnya, TB merumuskan pandangan sahabat itu bahawa Melayu kini tidak bersatu seperti pada zaman 'kapal layar' dahulu.Adakah ini benar?

Adakah orang Melayu telah kian parah dalam perpecahannya kini? Atau hanya orang yang bercakap pasal politik sahaja yang menyangkakan sedemikian. Sebenarnya jika mahu bercakap mengenai Melayu ini; berbincang dan bersemuka selama 100l malam pun tidak ada kesudahannya.

Sepanjang jalan pengalaman; TB dengan penuh rasa tanggungjawab pernah menulis surat terbuka kepada PM (Datuk Seri  Haji Mohd Najib), kepada Pemuda UMN0 , surat terbuka kepada DAP dan sebagainya yang mana telah disiarkan dalam media massa semasa. lni adalah komitmen dan rasa kasih sayang dengan penuh tanggungjawab dan rasa keberanian demi agama,bangsa dan tanah air TB yang dicintai.

Dan sudah tentulah TB memzahirkan seruan ke arah 'kembali ke pangkal jalan'. Oleh kerana TB tidak ada kepentingan dengan mana-mana pihak maka seruan dan tulisan TB itu dirasakan datang dari kalbu nurani yang tulus mendalam.TB tidak pasti sama ada tulisan TB hampir dua tahun yang lalu memberi impak dan gaya perubahan kepada kepemimpinan kerajaan yang memerintah sekarang ataupun sebaliknya.

TB tidaklah bercadang mengupas intipati SMS sahabat itu secara terus dan terperinci. Namun memadailah TB kaitkan dengan kata kunci 'kuasa'. Kita tahu Yang Maha Kuasa hanyalah Allah SWT.Dan soalan TB; siapakah yang ada 'kuasa' memerintah sekarang atau sejak merdeka hingga kini?Apakah yang patut dibuat atau dilaksanakan apabila individu/pihak/kita ada 'kuasa'?

TB mahu ceritakan sebuah analogi: Datuk Seri Dr Rais Yatim ialah Menteri Penerangan,Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (termasuk menjaga ehwal warisan bangsa dan negara). Sepanjang ingatan TB, Datuk Rais ialah penyokong tegar dalam pemupukan dan pengembangan semula tulisan jawi yang merupakan salah satu aksara bahasa Melayu,bahasa kebangsaan negara kita.

Beliau telah berkempen meluas dan menyeru semua pihak di peringkat pelaksana agat tidak menagabaikan tulisan jawi. ok,blah,blah,blah...Tetapi apabila TB bertanya dan 'cuba menyuntik semangat' kepada salah seorang Pengarah Jabatan Penerangan  di salah sebuah negeri yang di bawah kementerian Datuk Rais  dengan mudah dan seakan 'lepas tangan'...'tidak ada peruntukan kewangan  untuk meletakkan tulisan jawi pada pintu masuk menghala ke jabatannya' .TB terkedu kerana amat sedih dengan jawapan seorang 'pengarah' yang ada 'kuasa' dalam lingkungannya tetapi tidak mempunyai semangat...ya semangat Melayu!

Sebenarnya terlalu banyak TB mahu menulis tentang Melayu dan apa itu Melayu. Soal berapakah kapal tidak timbul. Yang pasti kaum minoriti terbesar Cina dan lndia di Malaysia bukan berada dalam satu kapal bahkan lebih daripada tiga kapal. Tetapi mereka tetap bersatu apabila menyentuh isu yang berkaitan pendidikan,kebudayaan,kesenian,agama dan adat resam mereka.

Ya, mereka tetap bersatu walaupun  berada dalam kapal  yang berlayar di  langit atau di  bumi! Apa kata kita pinta mana-mana pertubuhan politik Melayu menyenaraikan semula; berapakah luas tanah, aset, bilangan rumah kampung tradisi seluruh negara yang dimiliki Melayu/bumpitera; berbanding kaum bukan Melayu/bumiputera?

Sebenarnya terlalu banyak mahu TB tuliskan; tetapi cukuplah setakat ini; memaidailah! (TB)




Tiada ulasan: