Salam Perjuangan

27 Mei 2012

A. SAMAD SAID & AWANG SELAMAT


PERUBAHAN ketara sikap Sasterawan Negara, A. Samad Said menjadi bahan perbualan. Lebih-lebih lagi beliau secara terbuka memperlihatkan kecenderungan politiknya menyokong pembangkang.

Samad atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Samad, kelihatan asyik bersama para pemimpin pembangkang dan terlibat aktif dalam penganjuran perhimpunan haram Bersih 3.0.

Ketika wakil peniaga dan penjaja menghantar memorandum bantahan kepada Pengerusi Bersih, S. Ambiga kelmarin, Pak Samad bersama di kediaman wanita itu. Ramai yang kecewa dan tidak kurang yang marah terhadap Pak Samad.

Awang difahamkan, sebahagian teman rapat beliau dari kalangan dunia sastera, merasa malu. Mereka yakin Pak Samad dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda serong. Sasterawan adalah manusia biasa, yang tidak terlepas daripada membuat salah pertimbangan dan terperangkap dengan ego sendiri. Khabarnya, beliau bertindak demikian kerana mempunyai kekecewaan peribadi dan hal tertentu yang tidak tertunai. Maka ia menjadi titik tolak bermula era segala-galanya tidak betul dan asyik menyalahkan kerajaan. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran kritikan beliau.

Sayang sekali, seorang Sasterawan Negara menghabiskan sisa-sisa usia dengan kegagalan memahami agama, bangsa dan negaranya dari sudut pemikiran strategik. Tetapi maafkanlah Pak Samad. Seperti kata pujangga, bukan semua pejuang akan sampai kepada destinasi perjuangan sebenar. Akan ada yang tersasar dan melencong di pertengahan jalan.

Apa pun, Awang belum tergamak untuk menghentam Pak Samad. Masih terpahat rasa hormat dan kasih kepada beliau dengan doa moga dibuka pintu hati untuk melihat kebenaran. Cuma Awang ingin siarkan sedutan puisi Pak Samad bertajuk Dirgahayu Mahathir yang dihasilkan pada September 2003. Seorang tokoh mengirimkan salinan puisi itu dengan komennya: ‘‘ciptaan Pak Samad sebelum beliau tercemar.’’ Tajuk baru yang tokoh itu cadangkan pula ialah Kasihnya Samad Pada Mahathir kerana nadanya ketika itu berbeza. Walaupun Samad mudah berubah, puisi tetap puisi. (sumber:MM, 27/05/12)

Tiada ulasan: