Salam Perjuangan

10 Mei 2012

PRU KE-13 : JOHOR SASARAN UTAMA?.


PENGARAH  Eksekutif, Dewan Perdagangan Amerika-Malaysia (Amcham), Fui K. Soong menjangkakan negeri Johor akan menjadi pusat kepada gelombang perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Beliau juga mendakwa, gelombang itu juga mungkin akan merebak ke Melaka sehingga ke Negeri Sembilan.

Menurut beliau, pada PRU-12 sebelum ini, pusat perubahan itu dilihat bermula di Pulau Pinang dan membawa kepada negeri sekitarnya iaitu Kedah dan Selangor.

Menurut Fui K. Soong (gambar), pandangannya itu berasaskan kepada faktor Johor yang mempunyai banyak kawasan campuran Selepas Selangor dengan kaum Cina adalah majoriti.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajiannya di wacana politik dan persepsi semasa pengundi menjelang PRU-13 di Universiti Malaya hari ini.

Turut menjadi panel membincangkan tajuk 'Siapa selepas PRU ke-13, BN atau PR' itu adalah bloger politik Mohd Sayuti Omar dan Editor Sinar Harian Online Dr G.Manimaran.

Menurut Fui K. Soong, Johor juga antara negeri 'paling panas' pada PRU-13 nanti dan boleh dilihat dengan pertambahan pengundi baru paling tinggi iaitu seramai 385,591 orang.

Selain Johor, negeri yang juga boleh dianggap 'panas' adalah Selangor dengan pertambahan pengundi baru seramai 373,748, Perak (249,405), Sabah (149,940) dan Sarawak (164,547).

Sementara itu Mohd Sayuti juga turut memberi pendapat serupa.

Menurut penulis profilik itu, beliau dapat melihat gelombang perubahan rakyat yang luar biasa berbanding pilihan raya sebelum ini khususnya di Johor.

Ianya berasaskan sambutan memberangsangkan oleh rakyat terhadap program-program Pakatan Rakyat di negeri itu.

"Sebagai penulis blog dan wartawan, saya ikut jelajah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim ke Endau sampai lah ke Sembrong.

"Saya dapat lihat kehadiran menakjubkan," katanya.

Selepas PRU 2008 lalu, banyak pihak melihat Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah di negeri-negeri Selatan tanah air khususnya Johor dan Negeri Sembilan yang dahulu terkenal dengan negeri 'kubu kuat' Umno BN.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS, juga telah mengesahkan akan bertanding di negeri kelahirannya di Johor pada PRU-13 ini.

Tiada ulasan: