Salam Perjuangan

07 Mei 2012

KHALID MOHD. ISMATH OH KHALID MOHD ISMATH : KISAH SEBUAH TRAGIS


KHALID Mohd. Ismath, baru berusia 22 tahun, pelajar tahun 2 pengajian ijazah undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Dalam YouTube, suaranya garing dan kasar. Ada ala-ala suara Anwar Ibrahim.
Budak berasal dari Klang ini cukup menyanjung tinggi S. Ambiga. Ambiga baginya ialah idolanya. Ambiga ialah penyelamat kumpulan mahasiswa.

Jika mendengar ucapannya dalam YouTube, UMNO dan Barisan Nasional ialah parti yang terlalu zalim dan maha zalim buatnya. Kerajaan sekarang terlalu buruk bagi pandangannya. Dia yang masih belajar ialah pelajar di sebuah universiti yang menerimanya masuk atas dasar dia seorang Bumiputera.

Universiti itu hanya menerima yuran RM500 semester, satu-satunya universiti yang mengambil yuran pengajian yang terendah di negara ini. Yang lain semuanya percuma. PTPTN hanyalah wang kocek sara hidup untuk lain-lain hal sepanjang semester pengajian.Jika di zaman saya dulu makan pun percuma, tiga kali sehari. Jika duit tiada, para pelajarnya masih boleh hidup, tidak kebulur.

Dalam YouTube juga, Khalid menggambarkan dia adalah hero kepada kaum mahasiswa. Semua yang berlaku dalam kampus dan negara ini salah belaka. Hanya dia sahaja yang betul. Hanya Ambiga sahaja yang betul. Hanya Anwar Ibrahim sahaja yang menjadi pujaan hatinya.

UiTM yang mengasuhnya cukup tidak adil, haknya kononnya dicabul. Itulah kata-katanya yang dipetik dalam laman sesawang itu ketika menjadi wakil solidariti mahasiswa Malaysia semasa berucap di majlis pelancaran ABU (Asal Bukan UMNO) di Markas Tarbiyah Pas di Taman Melewar, Kuala Lumpur, tidak lama dulu.
Khalid kononnya mendakwa bergerak secara bebas atas nama Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami). Namun dia tidaklah independen, dia sebenarnya ialah kader yang dilahirkan oleh parti pembangkang.
Sejak beberapa hari lalu, kelibat Khalid kelihatan berada bersama-sama aktivis fahamannya di Dataran Merdeka. Dia berada di situ untuk menuntut kerajaan menghapuskan PTPTN, yang juga didakwanya sebagai satu skim pinjaman pelajar yang terlalu zalim.

Jika mahu ditakrifkan apa itu anti-establishment, maka Khalid inilah anti-establishment. Semua baginya tidak betul, kecuali dia sahaja yang betul.

Sudah tentu Lim Guan Eng terlalu teruja dengan Khalid. Guan Eng dikatakan turun padang pada jam 2.30 pagi baru-baru ini bagi memberi sokongan moral kepada Khalid dan rakan-rakannya, yang rata-rata Melayu, berkhemah di Dataran Merdeka itu. Guan Eng bukan sahaja bangga kerana Khalid anak Melayu, tetapi juga pelajar UiTM, sebuah institusi yang cuba dirobek-robek oleh mereka.

Terus terang saya katakan, saya amat bersimpati dengan Khalid. Dia mewakili mahasiswa yang sudah terjebak terlalu jauh dalam perjuangan peribadi Anwar Ibrahim dan DAP. Pas pula hanyalah Pak Turut yang tiada tujuan.
Guan Eng, Anwar dan Ambiga telah menggunakan mereka ini demi kepentingan peribadi masing-masing. Khalid nampaknya sudah terjebak jauh. Untuk berpatah balik, nampaknya terlalu sukar baginya. Maka alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.
UiTM yang sepanjang tempoh lebih 40 tahun melahirkan anak-anak Melayu yang berjaya - hasil perjuangan UMNO yang dianggap zalim oleh Khalid - kini sudah mula melahirkan seorang insan yang sungguh tidak bersyukur seperti Khalid.
Namun, Khalid sebenarnya hanyalah segelintir. Terlalu ramai lagi bekas-bekas pelajar UiTM, yang diterapkan dengan lagu keramat Anak Kecil Main Api di zaman rebungnya, tidak akan melupakan pengorbanan yang dicurahkan kepada mereka semua oleh institusi itu.

Mereka semua bersyukur dengan apa yang mereka kecapi hari ini. Khalid hanya baru belajar bertatih dalam dunia sebenar, tetapi telah memilih satu persimpangan yang dianggapnya betul, tapi melencong.
Wahai, Khalid Mohd. Ismath. Cara perjuangan kamu sebenarnya terlalu angkuh. Suara kamu berbunyi bongkak dan takabur. Butir-butir kata yang diberikan kamu dalam YouTube itu terlalu dangkal. Kamu menganggap kamulah pelajar yang paling hebat di negara ini.

Bukan tujuan tulisan ini untuk mengangkat kamu. Tapi untuk dijadikan pengajaran kepada yang lain supaya kita harus bersyukur dengan nikmat yang telah dicurahkan kepada kita semua di bumi bertuah ini. Selagi hayat ini dikandung badan, selagi itulah, insya-Allah, orang seperti Khalid akan terus mendapat pembelaan. Selagi itulah tempatnya untuk menuntut ilmu di UiTM, institusi pengajian tinggi keramat orang Melayu ini akan terjamin.
Sehubungan itu, marilah kita semua membalas semula budi baik yang dicurahkan kerajaan kepada kita. Sekurang-kurangnya kepada Mara (Majlis Amanah Rakyat) yang pernah mengasaskan Institut Teknologi Mara (ITM) yang kemudiannya menjadi sebuah universiti, setelah diangkat naik oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Saya difahamkan sebagai menghargai jasa Mara dan sebagai membalas balik budi baiknya semua pihak yang terbabit dengan agensi itu, sama ada bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), guru-gurunya, pesara agensi itu, Institut Kemahiran Mara (IKM), bekas penerima biasiswa dan pinjaman pelajaran, usahawan, termasuk bekas pelajar ITM/UiTM, akan mewujudkan sebuah dana khas bagi menyumbangkan semula kepada masyarakat atas nama kesyukuran. Dana yang akan dikutip itu akan dipulangkan semua kepada anak-anak dan generasi kita.
Diharapkan ia akan menjadi satu kitaran mengenang budi dan kesyukuran yang patut mulai sekarang diterapkan di sanubari kita semua. Sebenarnya Khalid juga harus bersyukur di atas dasar yang telah dibentuk oleh para pejuang negara selama ini.

Ingatlah Khalid, negara kita kini terlalu aman damai hasil perjuangan para pemimpin terdahulu dan semasa. Sejak negara di ambang kemerdekaan dan selepas mencapai kemerdekaan corak negara ini banyak dimainkan oleh para pejuang itu sehinggalah kestabilan dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969.Kini rakyat seperti saudara boleh bergerak bebas mencari rezeki atau ilmu.

Boleh ke masjid atau surau atau ke mana-mana sahaja berbanding dengan sesetengah negara lain di muka bumi ini.
Nikmat keselesaan hidup yang kita kecapi selama ini hendaklah kita gandakan dengan ibadat kepada Allah SWT sebagai tanda syukur kepada-Nya, kerana dibimbangi nikmat yang kita kecapi selama ini berkemungkinan akan ditarik balik oleh-Nya.

Manusia yang disayangi Allah ialah manusia beriman yang sentiasa bersyukur kepada-Nya.
Negara sudah aman dan maju, sebab itulah DAP, Pas, dan PKR sentiasa meracuni pemikiran saudara Khalid supaya membenci apa yang ada ini untuk kepentingan politik peribadi mereka.
Tapi sayang seribu kali sayang, Khalid sudah tersasar jauh. Pelajaran saudara pun tidak cemerlang. Hanya mampu memperoleh mata purata 2.3 dalam CGPA semester 2.Amat sukar untuk saudara berpatah balik.(sumber:Zaini Hassan, 07/05/12)

Tiada ulasan: