Salam Perjuangan

04 Mei 2012

BERSIH MULA SEMAKIN BERSIH ?


PERDANA  Menteri Datuk Seri Najib Razak melihat perhimpunan Bersih 3.0 adalah cabaran transformasi politik yang cuba dilaksanakan kerajaan memandangkan perhimpunan tersebut berlaku sebaik sahaja pelbagai akta dan undang-undang dipinda atau dimansuhkan.
Menurut beliau, tindakan yang diambil pihak polis menyuraikan perhimpunan itu juga adalah penterjemahan daripada undang-undang baru yang diperkenalkan kerajaan.
“Ini kali pertama kerajaan berdepan situasi tersebut setelah kita buat transformasi politik.
“Kerajaan telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Perhimpunan Aman. Melalui Bersih 3.0, ini kali pertama polis menterjemahkan undang-undang baru tersebut,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Umno di Menara Datuk Onn, dekat Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
“Inilah kali pertama undang-undang baru itu diuji oleh perhimpunan besar-besaran,” katanya merujuk kepada Akta Perhimpunan Aman yang telah pun dipersetujui pada Isnin lalu.
Jelas perdana menteri  ini lagi, sejak Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lalu, kerajaan telah melakukan pelbagai perubahan apabila meminda pelbagai undang-undang, malah turut mewujudkan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) berkaitan penambahbaikan pilihan raya bagi memenuhi permintaan mereka.
“Kerajaan dah buat macam-macam, dan telah pun menjawab banyak perkara yang dibangkit pembangkang.
“Malah kerajaan juga turut menunaikan cadangan mereka seperti penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih, dan sebagainya,” katanya lagi.
“Kita nak perjelaskan lagi kepada rakyat,” tegasnya lagi merujuk kepada tuntutan Bersih yang telah ditunaikan kerajaan.
Mengulas berkenaan tindakan yang akan diambil kerajaan berhubung keganasan peserta demonstrasi, Najib menjelaskan, kerajaan akan bertindak dalam konteks semasa yang mengambil kira kepentingan rakyat.
“Kita mesti bertindak dalam konteks semasa, kita perlu bertindak menjaga hak asasi rakyat, tetapi dengan mengambil kira keselamatan rakyat.
“Kita berharap semua yang berlaku itu sudah dirakamkan, dan siasatan sedang berjalan, kita tunggu siasatan pihak polis,” katanya menggesa semua pihak bersabar bagi menantikan pendedahan tersebut.
Pihaknya juga berharap pihak polis tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk melakukan siasatan agar orang ramai dapat membuat penilaian berdasarkan kejadian sebenar.
“Saya harap polis tidak ambil masa terlalu lama buat siasatan, dan kemudian kertas siasatan itu akan diserah kepada Peguam Negara,” katanya.
Berhubung insiden serangan ke atas media, Najib menjelaskan, polis akan menjalankan siasatan terhadap perkara itu tanpa menyembunyikan fakta sebenar.
“Polis akan lakukan siasatan keganasan terhadap media, kerajaan tidak akan menutup apa-apa.
“Kerajaan faham media hanya menjalankan tugas mereka. Kerajaan juga telah menugaskan 130 pegawai perubatan dan 30 doktor untuk memberi rawatan dan pemeriksaan untuk mereka yang terlibat dengan perhimpunan tersebut,” katanya lagi.
Najib menegaskan, siasatan yang dibuat perlu bersifat objektif dan adil, dan Peguam Negara perlu membuat keputusan berdasarkan fakta, bukan emosi dan rumor.
“Siasatan akan dibuat oleh pihak polis. Orang ramai perlu percaya kepada polis. Kita nak rakyat melihat pada transperensi, rakyat boleh nilai apa yang berlaku sendiri,” katanya lagi.(sumber:TMI, 04/05/12)

Tiada ulasan: