Salam Perjuangan

17 Mei 2012

POLITEKNIK KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI : ISU DAN REAKSI



PENSYARAH POLITEKNIK KPT  DALAM DILEMA?



SEBELUM politeknik-politeknik dan kolej-kolej komuniti berpindah 'rumah' ke Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT), institusi pendidikan yang berorientasikan teknikal dan vokasional ini 'duduk sebumbung' di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia  (KPM)di Bahagian Teknik dan Vokasional KPM.

Sebelum penulis menyentuh mengenai nasib,hala tuju dan masa hadapan para pensyarah Politeknik-Politeknik KPT (PKPT), penulis sukalah menyingkap senario sejarah tercetusnya mengenai cuti tahunan para Ketua Pejabat  (Guru Besar, Pengetua, Pengarah) yang mengepalai sekolah rendah,sekolah menengah, maktab/politeknik KPM ketika itu.

Penulis  ketika itu turut menganggotai sebagai Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia yang pada masa itu dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat.Ahli majlis ini di samping dianggotai oleh pengarah-pengarah pelajaran negeri (pendidikan), ketua-ketua bahagian KPM, ianya turut dianggotai oleh presiden-presiden dan setia-setia usaha persatuan/kesatuan perguruan kebangsaan.

Seingat penulis, isu cuti tahunan timbul ketika membahaskan beban kerja ketua-ketua pejabat atau pentabiran di institusi pendidikan khususnya di sekolah-sekolah dan tuntutan elaun beban kerja atau kerja lebih masa yang turut dibangkitkan oleh Majlis Guru-Guru Besar dan PKPSM (badan mewakili pengetua-pengetua sekolah menengah; termasuk pengetua maktab, politeknik dan kolej komuniti sebelum dinaik taraf kepada 'pengarah').

Dipendekkan cerita, isu tersebut dipanjangkan dengan menyediakan kertas kerja /proposal ke JPA. Alhamdulillah, JPA meluluskan tuntutan elaun kerja masa (penulis tidak pasti mungkin termasuk elaun tanggung kerja atau pangku kerja dan seumpamanya) yang mana ketua-ketua pejabat ini (termasuklah semua guru besar, pengetua dan pengarah maktab/politeknik ketika itu) mendapat nikmat faedah dengan syarat cuti persekolahan yang selama ini dinikmati oleh guru-guru/pensyarah di KPM diganti dengan CUTI TAHUNAN sama seperti penjawat awam yang bukan guru/pensyarah KPM. Senario inilah yang banyak tidak diketahui oleh kebanyakan warga KPM dan KPT.

Apabila politeknik/kolej komunti 'berpindah' ke KPT, rata-rata para pensyarahnya menjangkakan prospek mereka juga dinaiktarafkan seperti para pensyarah di IPTA yang bernaung di bawah KPT. penulis dimaklumkan pada mulanya para pensyarahnya juga turut menjangkakan  budaya kerja seperti semasa di bawah KPM. Bahkan mereka juga menjangkakan peluang kenaikan pangkat dan elaun-elaun sama seperti di IPTA khususnya para pensyarah yang telah memiliki ijazah lanjutan sarjana dan PhD seperti mana rombakan yang dilakukan kepada lPSI/MPSI yang bertukar UPSI dahulu.

Namun ironinya dan amat menyedihkan para pensyarah politeknik (yang kononnya setaraf IPTA) diberitakan mengikut kerja waktu pejabat (punch card 8.00 pagi- 5 petang; ada juga mengikut waktu anjal). Mereka juga bukan hanya tertumpu kepada kerja-kerja akademik (p & p) tetapi dibebankan juga dengan kerja-kerja perkeranian dan pentadbiran.

Namun demikian yang menyedihkan ketika teman-teman sejawat mereka yang berada di KPM menikmati peluang prospek kenaikan pangkat yang lebih baik seperti mana yang diumumkan baru-baru ini oleh Tan Sri Mahyuddin Yassin TPM merangkap Menteri Pelajaran Malaysia , nasib para pensyarah politeknik terumbang-ambing dan seakan 'samar dan kelabu' tidak menentu. Bahkan mereka yang memiliki ijazah lanjutan bagaikan tidak dipedulikan; tidak seperti teman-teman sejawat mereka di maktab-maktab perguruan yang kini telah dinaiktarafkan sebagai IPGM yang setaraf IPTA.

Justeru, penulis tidak pasti adakah nasib para pensyarah politeknik ini dibela dan mendapat perhatian daripada kepemimpinan atasan khususnya YB Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Mohd Khaled Nordin? Adakah  para pensyarahnya masih menjadi ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan beberapa persatuan/kesatuan perguruan/pendidikan kebangsaan yang lain?Adakah ahli-ahli yang telah 'berpindah' ke KPT ini masih boleh mendapat pembelaan?

 Jika ada para pembaca budiman khususnya para pensyarah politeknik yang berstatuskan ahli mana-mana persatuan/kesatuan pendidikan sila ajukan atau laporkan kepada persatuan/kesatuan masing-masing.


Cadangan penulis adalah baik juga para pensyarah politeknik sendiri menubuhkan kesatuan kakitangan akademiknya seperti mana yang telah sedia wujud di IPTA bagi menjamin hak-hak mereka selaku kakitangan akademik. lngatlah 'zaman pecah dan perintah' sudah berlalu. Bersatu itu teguh.

Keprihatianan pihak KPT meninjau dan mengambil perhatian kebajikan para pensyarah KPT amatlah dialu-alukan dan disanjung tinggi demi mencapai matlamat KPT ke arah pendidikan teknikal di peringkat global. (oleh Dr. Rajiee Hadi, Harakah: 05 May 2012)


REAKSI TIMBALAN PERDANA MENTERI


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan sedia menimbang untuk memberi imbuhan kepada pensyarah di institusi pengajian tinggi di seluruh negara. 

Bagi tujuan itu, katanya, beliau akan menyemak semula situasi dan masalah yang dihadapi oleh pensyarah dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Saya akan semak apakah kes gaji dan gred jawatan pensyarah sudah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). (Jika ada) apa respons JPA, saya tidak tahu.
"Tapi kalau dianggap perkara ini penting dan perlu diberi perhatian, kita percaya kita akan beri pertimbangan yang sewajarnya," katanya dalam sesi soal jawab dengan peserta pada majlis Wacana Intelek dan Acara (Wira) anjuran Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Malaysia di sini, hari ini. 

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau menyedari keluhan ramai pensyarah bahawa mereka tidak menerima imbuhan seperti yang dinikmati guru. 

"Ada yang kata lebih baik jadi guru biasa sebab skim tidak setara. Kalau betul dan ada asasnya, kita harap kementerian (Pengajian Tinggi) boleh bawa dan kerajaan akan beri pertimbangan," katanya. 

Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan ucaptama yang menerangkan perjalanan semua program transformasi negara dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada 2020 serta pencapaian program tersebut sehingga kini. 

(Baca lanjut : sumber: BERNAMA , 17/05/12)

Tiada ulasan: