PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang
(CAP) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya
menangguhkan terlebih dahulu langkah oleh syarikat telekomunikasi yang akan
mengenakan cukai perkhidmatan 6% terhadap pengguna telefon prabayar.
Presiden CAP, SM Mohamed
Idris berkata, syarikat telekomunikasi mendakwa mereka telah menyerap
cukai itu sejak ia dikenakan pada 1998 dan disebabkan oleh kemerosotan hasil
pendapatan, mereka kini mahu melepaskannya kepada pengguna.
"Untuk mengatakan bahawa
pendapatan mereka telah merosot adalah jauh daripada benar," ujarnya
dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Katanya, pengguna telefon prabayar
telah menghadapi pelbagai syarat dan terma yang tidak adil yang dikenakan
oleh syarikat telekomunikasi terutama sekali apabila syarikat
menelan/merampas baki dalam akaun mereka apabila mereka tidak menambah nilai
akaun mereka dalam tempoh yang sah.
Untuk mengekalkan nombor prabayar,
ujarnya pelanggan perlu menambah nilai dengan jumlah minimum RM5.00.
Bagaimanapun, kata beliau menambah
nilai dengan jumlah RM30 akan memberikan tempoh sah selama 30 hari.
Menurutnya, selepas tamat tempoh
30 hari, pelanggan akan disekat daripada membuat panggilan tetapi panggilan
masuk sah untuk 90 hari.
Pelanggan, ujarnya boleh
mengaktifkan talian dengan menambah nilai bila-bila masa dalam tempoh 90
hari.
Beliau berkata, jika talian tidak
ditambah nilai dalam tempoh 90 hari talian akan dibatalkan dan baki kredit
yang masih ada akan dirampas dan tiada bayaran semula diberikan.
Contohnya, kata beliau jika
pengguna prabayar mempunyai talian yang bakinya RM100 tetapi tempoh sahnya
telah tamat, syarikat telekomunikasi akan merampas baki yang ada.
“Adakah ini sah di sisi
undang-undang?
“Jika ianya sah, di bawah
undang-undang dan peraturan apakah syarikat ini dibenarkan untuk merampas
baki yang ada,” ujarnya.
Menurutnya, negara seperti England
telah menghentikan pengendali telekomunikasi daripada menggunakan amalan ini.
Seharusnya, tambah beliau terdapat
sistem di mana nombor perlu mempunyai kesahan sepanjang masa dan bila-bila
masa pelanggan yang mahu mengaktifkan talian (malah selepas tempoh tamat)
hanya perlu menambah nilai talian dan perlu diaktifkan.
Contohnya, ujar beliau ahli
perniagaan asing yang datang ke Malaysia, katakan tiga atau empat kali
setahun dan memerlukan nombor telefon tempatan tetapi tidak mahukan talian
pascabayar yang dikenakan caj bulanan kira-kira RM30 perlu untuk mendapatkan
talian prabayar yang mempunyai kesahan sepanjang masa tetapi dengan tempoh
tamat selaras dengan jumlah tambah nilai pelanggan.
Ujarnya, apabila mereka kembali
semula ke Malaysia dan kesahannya telah tamat, apa yang perlu dilakukan
hanyalah dengan menambah nilai talian dan perkhidmatannya boleh disambung
semula daripada talian menjadi tidak sah dan terpaksa mendapatkan talian baru
serta memulakannya semula.
Pengguna, katanya mungkin tidak
menyedari bahawa pengguna prabayar dan pascabayar dikenakan bayaran bagi
panggilan yang tidak dijawab atau bagi panggilan yang dialihkan ke kotak mel
suara.
Caj yang dikenakan pada masa ini
ialah 10 sen.
Pengguna sebenarnya, kata beliau
boleh mendapatkan semula bayaran daripada pengendali telekomunikasi bagi caj
yang dikenakan sekiranya mereka boleh menyerahkan penyata sebagai bukti.
Bagaimanapun dalam kes pengguna
prabayar, penyata tidak disediakan melainkan pengguna meminta untuk
mendapatkan penyata itu.
“Memandangkan kepada hakikat
bahawa terdapat beberapa juta pengguna dan beberapa juta panggilan yang
dibuat, pengendali telekomunikasi boleh mengaut sejumlah besar setiap bulan
daripada caj yang dikenakan ini.
“Ini jelas satu pencatutan dan
tindakan perlu diambil terhadap syarikat ini,” katanya.
Sehubungan itu, katanya CAP
menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menangguhkan terlebih dahulu
setiap usaha yang dibuat oleh pengendali telekomunikasi daripada pengenakan
cukai perkhidmatan ini dan sebagai ganti menangani semua kekurangan dan terma
yang tidak adil yang dikenakan terhadap pengguna telefon bimbit.(sumber: HD,
10/9/11)
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan