Salam Perjuangan

28 September 2011

PEMAJU PERUMAHAN: SYARAT ELAK PROJEK TERBENGKALAI


KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah bersedia untuk membentangkan di Dewan Rakyat cadangan syarat-syarat baru yang lebih ketat bagi mengurangkan kes projek perumahan terbengkalai.

Menterinya, Datuk Chor Chee Heung berkata, ia sebagai usaha penambahbaikan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 yang akan turut merangkumi penyeliaan dan penguatkuasaan terhadap pemaju perumahan bagi menjamin dan melindungi kepentingan pembeli rumah.

Katanya, antara lain, pihaknya akan mencadangkan agar pemaju meletakkan wang deposit tiga peratus dari keseluruhan nilai projek yang akan dibangunkan.

“Ketika ini pemaju hanya perlu meletakkan wang deposit sebanyak RM200,000 dan mempunyai sebidang tanah sebelum lesen dikeluarkan.

“Dengan pindaan baru ini jika projek tersebut dilihat mempunyai masalah, wang deposit tersebut akan digunakan untuk menampung masalah itu,” katanya selepas majlis penyerahan kunci rumah projek perumahan terbengkalai di Taman Prima Hijau, di sini hari ini.Cadangan lain, katanya, mulai tahun 2015 pemaju mesti menyiapkan terlebih dahulu rumah sebelum boleh dijual.

Pihaknya juga sedia mempertimbangkan kaedah lain seperti pembeli membayar deposit 10 peratus dan baki 90 peratus lagi diselesaikan setelah rumah siap, selain memperkenalkan kaedah transaksi antara pemaju dan pihak insurans.

“Sebagai contoh syarikat insurans boleh menjadi penjamin kepada pembeli yang telah membuat bayaran perumahan, jika pembeli sudah membayar 40 peratus daripada keseluruhan nilai rumah dan pemaju tidak lagi mampu meneruskan projek berkenaan wang akan dikembalikan oleh syarikat insurans,” katanya.
Katanya lagi, kementeriannya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan kepada pemaju yang mengingkari perjanjian sehingga mengakibatkan pembeli menanggung kerugian dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) KPKT, Datuk Yeo Heng Har, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Abu Bakar Hassan serta Pengarah Urusan Trans Eco Development Sdn Bhd, yang dilantik sebagai pemaju penyelamat perumahan Taman Prima Hijau, Lee Mok Fong.

Beliau berkata, Taman Prima Hijau merupakan projek yang telah diisytiharkan terbengkalai sejak 31 Disember 2006 melibatkan 54 unit rumah dengan 47 pembeli.Bagaimanapun dengan usaha dan kerjasama semua pihak, projek ini dapat dipulih dan disiapkan dan mendapat Sijil Layak Menduduki (CFO) dalam tempoh 11 bulan.(sumber:UM,27/9/11)

Tiada ulasan: