BERJUANG TERUS BERJUANG DEMI KESEJAHTERAAN UMMAH SEJAGAT KRITIS & ANALITIS MENGUPAS SOSIOPOLITIK BUDAYA & PENDIDIKAN, TANAH AIR DAN SERANTAU.
16 September 2011
PPSMI: YANG BUKAN PAKAR JANGAN BERLAGAK PANDAI
SAYA tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut hasil kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berhubung isu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang bakal dimansuhkan sepenuhnya tahun hadapan.
Menurut Presidennya, Azwanddin Hamzah, berpandukan sejumlah responden mencakupi 15,000 ibu bapa di seluruh negara, beliau menyimpulkan bahawa 55 peratus responden mahukan kaedah PPSMI diteruskan dalam sistem pendidikan nasional.
Menurut beliau, kajian JMM yang bermula sejak April lalu berjaya mengesan kehendak respondan untuk melihat anak-anak cemerlang dalam subjek Sains dan Matematik jika diajar dalam bahasa Inggeris.
Begitu bersemangat JMM memperjuangkan isu PPSMI yang dilihat mampu menjana kecemerlangan anak bangsa. Di sebalik keghairahan mendepani isu yang telah sekian lama berlegar dalam dunia pendidikan nasional, ada beberapa perkara yang masih kurang jelas sewaktu kita berusaha menganalisis sekali gus mentafsir hasil kajian ini.
Pertama, menyatakan seluruh negara telah dijelajahi untuk mencari responden cukup meruntun saya melihat bukti kukuhnya. Apakah penggunaan istilah seluruh negara bermaksud JMM telah merentasi Laut China Selatan menyusuri Sabah dan Sarawak?
Berapa lurah, bukit dan sungai yang berjaya diredah untuk bertemu ibu bapa yang menghuni daerah pedalaman di negeri tersebut untuk mendapatkan pandangan dan isi hati mereka? Apakah jumlah 1,5000 responden satu angka yang realistik mewakili jutaan golongan ibu bapa di seluruh negara?
Persoalannya, JMM menyebut bahawa 84 peratus daripada 70 peratus responden yang dijejaki berada di luar bandar menyokong penuh PPSMI diteruskan. Dalam erti kata lain, ibu bapa di pedalaman amat faham dan prihatin dalam isu PPSMI yang bermula sejak 2003.
Walaupun sangsi, kita berharap kajian JMM ini telah sampai ke ceruk rantau pedalaman Sabah dan Sarawak untuk melihat sendiri unsur-unsur demografik yang dikatakan tidak sama sekali mempengaruhi aspirasi dan iltizam ibu bapa.
Secara jujurnya, isu pemansuhan PPSMI telah muktamad. Beberapa pendekatan drastik telah diambil oleh pihak kementerian, yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Terdapat beberapa program dan pelan pendidikan yang sedang dikaji dan bakal dilaksanakan. Maka itu, kita amat berharap agar JMM tidak seperti 'rumah siap, pahat baru berbunyi'.
Apakah JMM tidak sedar, sebelum 2003 pun, telah ratusan ribu pelajar Malaysia belajar di luar negara? Apakah hanya dengan PPSMI saja anak-anak Malaysia akan menjadi lebih mudah sampai ke destinasi 'menara gading' di luar negara?
Adalah juga menjadi persoalan yang amat menghantui fikiran apabila JMM membuat kesimpulan bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik memberi impak yang besar dalam suasana pengajaran dan pembelajaran serta mampu membawa pelajar ke dunia ilmu yang lebih jauh.
Sebenarnya JMM terlepas pandang untuk melihat kemajuan negara luar secara global. Negara China, Korea, Perancis, Jepun sebagai antara contoh, tidak pula menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi pendidikan nasional, namun mereka tetap menjadi antara negara maju dan mampu menguasai ekonomi di persada antarabangsa. Jati diri bangsa mereka tetap utuh dan tulen. Mereka membina kemajuan dan kekuatan bangsa dengan wacana dan budaya mereka sendiri.
JMM perlu melihat isu PPSMI ini secara rasional, telus, menyeluruh dan tidak berkepentingan semata-mata. Pendekatan berbaur tekanan secara teknikal seperti kajian yang dijalankan, di samping mewujudkan kekeliruan pentafsiran di kalangan ibu bapa, bukanlah jalan penyelesaian ke arah mencari hala tuju kecemerlangan bangsa dan negara. Mudah-mudahan bangsa Malaysia mampu dikenali dan dihormati kerana identitinya tersendiri dan bermartabat.
Berilah peluang kepada Kementerian Pelajaran menyusun program dan merombak semula sistem pendidikan nasional agar lebih sesuai, mempunyai natijah jangka panjang dan diterima oleh semua lapisan masyarakat. Polimek yang berpanjangan, sedang keputusan kerajaan telah diketahui, hanya akan merencatkan lagi usaha kerajaan yang telah berlangsung sekian lama.(sumber:UM,15/9/11)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 ulasan:
Saya amat bersetuju sekiranya PPSMI ini dimansuhkan terus dan tidak perlu diperdebatkan demi memertabatkan Bahasa Melayu dalam pendidikan. Saya juga berharap tiubbocor juga terus berjuang mempertahankan Bahasa Melayu dan Salam Perjuangan.
Kita ingatkan semula janji TPM Tan Sri Muhyiddin Md Yassin PPSMI sudah dimansuhkan!!!! Tidak ada kata,ayat atau apa jua lagi. Yang ada hanya 'noktah'.Siapa dia ketua JMM? JMM pertubuhan berdaftar?Siapalah dia jika mahu dibandingkan dengan Datuk Hassan Ahmad(Allahyarham),Prof Dr Abdullah, Prof Dr Shahrir, Prof Awang Sariyan dll...
Tiada lagi PPSMI! Terima kasih,salam perjuangan jua.
Catat Ulasan