Salam Perjuangan

30 September 2011

FACEBOOK: ISTERI / WANITA APA HUKUMNYA?


Soalan: Salam ustaz, saya seorang suami. Saya amat berbesar hati
sekiranya ustaz dapat memberikan saya jawapan dan penjelasan atas
 soalan-soalan saya di bawah: 

1. Sekiranya seorang isteri mempunyai akaun jaringan sosial seperti facebook,
 yahoo messenger, email peribadi dan seumpamanya, patutkah seorang isteri
tersebut memberikan akses kepada akaun akaun tersebut kepada suaminya
agar dapat berkongsi sama melihat kandungan, rakan, foto/gambar, nota,
 korespondens yang terdapat di dalamnya?
2. Haruskah seorang isteri berkongsi alamat email peribadi kepada lelaki lain
yang bukan mahram walaupun atas dasar berkawan?
3. Haruskah seorang isteri menerima tawaran atau panggilan untuk mejadi
 kawan/sahabat dari lelaki yang bukan mahram melalui jaringan sosial atau
 email seperti di atas?
4. Salahkah seorang suami meminta seorang isteri meberitahu suaminya
sekiranya si isteri ada menerima panggilan atau tawaran dari lelaki lain untuk
 menjadi sahabat atau rakan dari jaringan social atau email?
5. Sekiranya si isteri tidak bersetuju dengan nasihat dan pandangan suami
atas perkara-perkara diatas, apakah yang patut dilakukan oleh si suami?
6. Adakah seorang suami itu bersikap terlalu cemburu kepada isterinya
sekiranya si suami berpandangan sedemikian?
Wassalam
Jawapan:
1. Wajib suami menjaga ahli keluarga (isteri dan anak-anak) dari perkara
 yang boleh memabawa mereka kepada dosa yang akhirnya membawa
ke neraka. Firman Allah; “Wahai orang-orang beriman, selamatkanlah
diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka” (Surah at-Tahrim, ayat 6).
 Di antara yang dipesan oleh Rasululllah ialah berhati-hati dalam memilih
 kawan sebagaimana sabda baginda ; “Seseorang itu berada di atas agama
kawannya, maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa
dia berkawan” (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah.
Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan). Facebook adalah jaringan kawan-kawan
dan kenalan, maka suami mempunyai hak untuk memantau dengan siapa isteri
 dan anak-anaknya berhubungan demi membolehkannya melaksanakan
 kehendak ayat dan hadis tadi.

2. Suami tidak boleh terlalu menyekat isteri dari bergaul dengan orang
sekeliling terutama berhubungan dengan keluarga dan rakan-rakan wanita
 yang solehah. Namun suami wajib menegah isteri dari terlibat dengan
hubungan yang dilarang agama seperti hubungan dengan lelaki yang bukan
mahram tanpa ada keperluan, bergaul denagn wanita-wanita fasik
 (yang tidak menjaga agama), bertandang ke tempat maksiat atau yang
mendorong kepada maksiat. Suami mempunyai hak untuk menegah isteri
dari terlibat dalam pergaulan sedemikian dan ia termasuk dalam kewajipan
mencegah munkar (atau menutup ruang kepada mungkar) dengan kuasa yang
dimiliki. Sabda Nabi; “Sesiapa dari kamu melihat kemungkaran, hendaklah
ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, dengan lidah. Jika
tidak mampu, dengan hati dan ia adalah selemah-lemah iman” (HR Imam Muslim
dari Abi Sa’id al-Khudri). Menurut ulamak; antara maksud mencegah dengan
tangan ialah menggunakan kuasa yang ada untuk mengubah kemungkaran.
Dinisbah kepada keluarga, bapa atau suami adalah orang yang berkuasa ke atas
ahli-ahli keluarga.

3. Syariat Islam amat mengambil berat hubungan antara lelaki dan perempuan
yang ajnabi (yakni yang tiada hubungan mahram atau hubungan suami-isteri)
di mana ia menyempitkan hubungan dan pergaulan antara keduanya hanya
kepada keperluan sahaja (bukan kebebasan). Ini kerana kebebasan akan
mendorong kepada zina. Ini sebagaimana kata Nabi; “Tidak berduaan seorang
 lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi orang ketiga”
(HR Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Umar). Jadi, apabila seorang lelaki dan wanita
 bebas berhubung dan bercating, syaitan akan membisikkan kepada setiap
mereka dan menimbulkan ghairah dan seronok, lalu ingin bertemu dan
akhirnya terjerumuslah ke dalam maksiat sekalipun telah bersuami. Kejadian
 ini tidaklah asing lagi hari ini.

4. Islam tidaklah menyekat kebebasan umatnya, namun Islam memberi peringatan;
 kebebasan yang terlalu luas akan menjahanamkan. Oleh itu suami perlu mengimbangi
kehidupan keluarganya antara kebebasan dan sekatan. Jangan memberi kebebasan
tanpa batasan dan jangan pula terlalu mengongkong. Terbaik ialah pertengahan.
Suami boleh membenarkan, tetapi pada masa yang sama perlu bertegas dalam perkara
tertentu. Sebagai contoh, bila isteri minta nak berlaman sosial, suami menjawab;
“Boleh, tetapi saya hanya benarkan dengan wanita sahaja dan jika lelaki, saya hanya
benarkan dengan keluarga sahaja”.

5. Sikap cemburu suami jika berasas, itu adalah tanda iman. Namun cemburu tanpa
 berasas, itu adalah tanda penyakit hati. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
“Cemburu ada dua; satunya disukai Allah dan satu lagi dibenci Allah. Cemburu jika
 berpunca dari keraguan/kegusaran, ia disukai Allah. Namun jika tidak datang
dari sebarang keraguan, ia dibenci Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Hakim
dari ‘Uqbah bin ‘Amir. Menurut as-Suyuti; hadis ini soleh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier,
hadis no. 5783). Menurut ulamak; maksud cermburu tanpa keraguan ialah cemburu
buta, yang timbul dalam hati tanpa sebarang sebab iaitu semata-mata buruk sangka
dari suami terhadap isteri atau dari isteri terhadap suami (Faidhul-Qadier).

Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Tidak akan masuk syurga lelaki yang dayus”
 (HR Imam at-Tayalisi dari ‘Ammar). Maksud dayus ialah; lelaki yang hilang perasaan
 cemburu terhadap nilai dirinya di mana ia tidak kesah siapa lelaki yang bersama
 dengan isteri atau anak perempuannya, dengan siapa mereka keluar dan ia tidak
mengambil berat akhlak dan tingkah laku mereka (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah).
Sabda Nabi juga; “Tiga manusia akan diharamkan Allah dari syurga:

1. Orang yang ketagih arak
2. Orang yang menderhakai dua ibu-bapanya
3. Lelaki yang dayus, iaitu yang berdiam diri atau menyetujui perbuatan zina yang di kalangan ahli keluarganya.
(HR Imam Ahmad dari Ibnu ‘Umar. Hadis Soheh. Al-Jami’ as-Saghier, no. 3503
Sumber:1. Faidhul-Qadier, Imam an-Minawi, Syarah hadis no. 5783.
2. Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 10/172.
3. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abd Rahman al-Jazairi, juz. 5.





Tiada ulasan: