Salam Perjuangan

28 September 2011

PTPTN : BANTU ATAU BEBAN KEPADA PELAJAR?


ISU pendidikan harus menjadi prioriti utama oleh kerajaan dalam usaha untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai daya intelek yang mampu menterjemahkan aplikasi pengetahuan dalam bentuk yang praktikal bagi mewujudkan sebuah kebudayaan yang beretika serta peningkatan dan pengembangan dalam aspek pembangunan fizikal.
Namun, bagi melaburkan modal insan sebagai pelaburan mutlak dalam masyarakat, peruntukan dana melalui subsidi pendidikan mahupun pinjaman merupakan salah satu usaha yang realistik bagi mencapai tujuan pendidikan.
Antara isu yang berkaitan dengan pinjaman dalam pendidikan adalah isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Asasnya, PTPTN telah ditubuhkan di bawah akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997 berobjektifkan untuk memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selaras dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan.
Berdasarkan kepada asas yang diutarakan, seharusnya usaha murni kerajaan bagi menyediakan pinjaman kepada para pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi harus disambut baik, namun, terdapat beberapa perkara yang seharusnya dinilai secara terperinci dalam usaha untuk menjadikan institusi ini benar-benar bersifat membantu, bukan membebankan.
Antara isu yang diutarakan berkenaan dengan PTPTN adalah isu pemberhentian pinjaman kepada pelajar yang tidak melepasi gred 2.0. Suatu perkara yang harus diperhatikan adalah para pelajar yang tidak mencapai gred yang sepatutnya, apabila pinjaman mereka diberhentikan, kesan yang akan diterima adalah, pemberhentian daripada melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi disebabkan masalah kewangan atau menerima tekanan untuk mencari dana sendiri sekiranya ingin terus melanjutkan pelajaran.
Secara dasarnya, peluang harus diberikan kepada pelajar ini untuk meningkatkan prestasi akademik mereka melalui penyaluran pinjaman PTPTN. Perkara ini seharusnya bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan konsep pendemokrasian pendidikan.
Begitu juga, seorang pelajar yang diisytihar muflis, secara automatik, pembiayaan yang diterima akan diberhentikan secara serta merta.
Logiknya, seorang pelajar meminjam kerana tidak berkemampuan dalam usaha untuk meningkatkan tahap kehidupan mereka dari peringkat mentaliti bawah kepada mentaliti yang lebih tinggi seiring dengan perkembangan kemahiran melalui pelajaran. Pelaburan dalam pendidikan inilah yang menjadi modal yang mahal untuk pelaburan masa hadapan.
Namun, apabila pelajar yang diisytiharkan muflis diberhentikan terus pinjaman, maka, potensi yang dimiliki oleh pelajar tersebut tidak mampu untuk dikembangkan.
Isu ini seharusnya dibezakan dengan pemberian pinjaman oleh institusi kewangan kepada peminjam muflis, atau peluang kedua kepada golongan yang telah disenaraihitamkan daripada institusi kewangan.
Penggunaan dana untuk pendidikan lebih bersifat membantu pelajar tersebut melaburkan dirinya sebagai modal, manakala pinjaman daripada institusi kewangan kepada peminjam muflis yang bertujuan untuk perbelanjaan kemewahan adalah bersifat pembaziran dan memerlukan kawalan kewangan. (sumber: Muhamad Iqbal Abdul Wahab, HM 27/9/11)

Tiada ulasan: