Salam Perjuangan

17 September 2011

HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA PERTAMA DALAM SEJARAH

SEGENAP  lapisan rakyat Malaysia berhimpun di pelbagai lokasi di seluruh negara meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia ke-48 yang buat julung kalinya disambut serentak hari ini. 

Persembahan penuh warna-warni dan gilang-gemilang sempena perayaan berganda itu bertemakan '1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera', berlangsung di lokasi utama di Dataran Merdeka di sini, dengan dihadiri kira-kira 100,000 orang.

Acara sambutan sempena hari istimewa negara itu turut diadakan di negeri-negeri lain bagi menyemarakkan semangat patriotisme rakyat.
IPOH: Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah bersama-sama Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyertai lebih 15,000 rakyat pelbagai kaum serta agama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia dalam suasana meriah.

Sebanyak 62 kontinjen terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan institusi pengajian tinggi seperti Felda Wilayah Trolak, Proton Tanjung Malim Sdn Bhd, Pejabat Tanah dan Galian daerah Kerian dan Telekom mengambil bahagian dalam perbarisan sempena sambutan itu yang diadakan di Jalan Panglima Bukit Gantang berhampiran Dewan Bandaran Ipoh.

Persembahan 'Gayung Perang' oleh Polis Diraja Malaysia, 'Tempur Tanpa Senjata' oleh Tentera Darat Malaysia serta tarian 'Sewang' oleh masyarakat Orang Asli dari Kampung Pos Raya, Simpang Pulai yang jarang dipertontonkan dilihat paling mendapat perhatian lapisan rakyat yang mula membanjiri lokasi sambutan sejak awal pagi.

BUTTERWORTH: Lebih 5,000 orang mengambil bahagian dalam perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat negeri Pulau Pinang yang diadakan di Padang Pemuda Merdeka, di sini.
Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan barisan Exco kerajaan negeri hadir menyaksikan persembahan yang dijayakan oleh 100 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan, swasta dan sekolah yang bermula pada jam 9 pagi itu.

MACHANG: Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat negeri Kelantan disertai lebih 1,000 peserta daripada 75 kontinjen dalam perbarisan yang diadakan di Padang Majlis Daerah Machang, di sini.

Kira-kira 2,000 pengunjung berbilang kaum hadir menyaksikan sambutan yang pertama kali diadakan di luar Kota Bharu.

MELAKA: Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia diraikan penuh meriah dengan perarakan dan perbarisan yang diadakan di depan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir, di sini.

Sebanyak 117 buah kontinjen yang melibatkan 6,852 peserta mengambil bahagian dalam perarakan itu sejauh tiga kilometer sehingga ke Hang Tuah Mall, di Jalan Hang Tuah.

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob turut menerima tabik hormat daripada peserta perarakan yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta, institusi pengajian tinggi (IPT), badan bukan kerajaan (NGO) dan murid sekolah.

Sambutan yang bermula jam 8 pagi itu, turut diwarnai dengan persembahan kebudayaan, deklamasi puisi serta nyanyian lagu-lagu patriotik termasuk lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia.

KUANTAN: Seramai 5,000 peserta menyertai perbarisan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini yang melibatkan 60 kontinjen pejalan kaki dan 40 kontinjen berkenderaan terdiri daripada agensi kerajaan, pasukan beruniform, agensi swasta serta pelajar sekolah.

Persembahan perbarisan dan beberapa acara pada sambutan kali ini menampilkan kelainan berbanding sambutan sebelum ini di mana ia disesuaikan dengan generasi pada masa kini dan menepati tema sambutan.

Antara persembahan tersebut adalah aktiviti berbasikal, tarian bertemakan 1Malaysia, persembahan kasut roda dan tarian 'shuffle' oleh pelajar sekolah.

Seramai 30,000 orang hadir menyaksikan sambutan tersebut yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan barisan exco kerajan negeri.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersama-sama anggota Kabinet negeri dan lebih 6,000 rakyat pelbagai kaum menyertai sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang diadakan di Dataran Bandaraya di sini.

Sebanyak 147 kontinjen terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah mengambil bahagian dalam perbarisan sempena sambutan itu.

Malam ini, acara 'Malam Merdeka' akan diadakan di Padang Merdeka yang dijangka dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

ALOR SETAR: Sambutan kemerdekaan yang diadakan di depan Kompleks Pekan Rabu, di sini, meriah dengan perarakan kira-kira 3,000 peserta mewakili lebih 80 kontinjen antaranya pelajar sekolah, jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, badan sukarela beruniform, NGO, polis dan tentera.

Perarakan bermula kira-kira 9.30 pagi sebaik saja Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun berangkat tiba.

Seramai 33 peserta Persatuan Gerek Tua (Getuas) serta anggota Persatuan Vespa Skuter Kedah dan Kedah Motor Sports Club turut menyertai perarakan sambil membawa Jalur Gemilang.

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menasihati rakyat supaya berwaspada dengan ancaman penjajahan bentuk baru yang boleh menjejaskan negara.

Baginda bertitah walaupun negara mencapai kemerdekaan sejak 54 tahun lalu namun penjajahan minda dan ekonomi yang dianggap sebagai ancaman penjajahan bentuk baru perlu ditangani secara bijaksana.

Bertitah pada sambutan hari kemerdekaan ke-54 peringkat negeri Perlis di Taman Merdeka, di sini, hari ini, Raja Perlis berharap setiap rakyat mempunyai jati diri yang kukuh terhadap negara akan tidak mudah terpengaruh dengan penjajahan bentuk baru itu.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu itu, lebih 3,000 peserta daripada 75 kontinjen yang mewakili jabatan dan agensi kerajaan, pasukan keselamatan, institusi pengajian tinggi dan NGO menyertai perarakan bermula dari Kompleks Warisan dan berakhir di Taman Merdeka sejauh kira-kira satu kilometer.

Pengunjung dan tetamu kemudiannya dihidangkan dengan persembahan pentomin mengenai sejarah kebangkitan negara pada zaman pendudukan Jepun dan darurat yang dijayakan oleh gabungan guru dan pelajar dari beberapa sekolah di Perlis.

SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan rakyat supaya tidak terlalu terburu-buru mencari perubahan kononnya dengan alasan untuk mencari kelainan sehingga lupa kepada keamanan dan kemerdekaan negara yang sudah wujud selama 54 tahun.

Berucap sempena perarakan Hari Kemerdekaan ke-54 di sini beliau berkata, ada sesetengah golongan yang sanggup memperjudikan keamanan yang sudah wujud ketika ini kerana asyik berangan bahawa pembaharuan yang bakal dibawa akan menjadikan negara ini lebih baik dari sekarang.

Katanya, rakyat jangan sesekali terikut-ikut rentak dan tarian pihak-pihak yang cuba mengganggu gugat keamanan negara dalam usaha untuk mengejar sesuatu yang belum pasti diperoleh.

Sambutan turut dihadiri oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Sebanyak 84 kontinjen dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, NGO dan swasta serta pelajar berarak di padang Kompleks Belia dan Sukan Paroi sejak jam 7 pagi sebelum berarak ke Sekolah Menengan Vokasional Ampangan.

Acara sambutan akan diteruskan malam ini di padang Majlis Perbandaran Seremban dengan persembahan bunga api serta konsert oleh artis terkenal tanah air. - (sumber:BH, 16/'9/11)

Tiada ulasan: