Salam Perjuangan

30 September 2011

FACEBOOK: ISTERI / WANITA APA HUKUMNYA?


Soalan: Salam ustaz, saya seorang suami. Saya amat berbesar hati
sekiranya ustaz dapat memberikan saya jawapan dan penjelasan atas
 soalan-soalan saya di bawah: 

1. Sekiranya seorang isteri mempunyai akaun jaringan sosial seperti facebook,
 yahoo messenger, email peribadi dan seumpamanya, patutkah seorang isteri
tersebut memberikan akses kepada akaun akaun tersebut kepada suaminya
agar dapat berkongsi sama melihat kandungan, rakan, foto/gambar, nota,
 korespondens yang terdapat di dalamnya?
2. Haruskah seorang isteri berkongsi alamat email peribadi kepada lelaki lain
yang bukan mahram walaupun atas dasar berkawan?
3. Haruskah seorang isteri menerima tawaran atau panggilan untuk mejadi
 kawan/sahabat dari lelaki yang bukan mahram melalui jaringan sosial atau
 email seperti di atas?
4. Salahkah seorang suami meminta seorang isteri meberitahu suaminya
sekiranya si isteri ada menerima panggilan atau tawaran dari lelaki lain untuk
 menjadi sahabat atau rakan dari jaringan social atau email?
5. Sekiranya si isteri tidak bersetuju dengan nasihat dan pandangan suami
atas perkara-perkara diatas, apakah yang patut dilakukan oleh si suami?
6. Adakah seorang suami itu bersikap terlalu cemburu kepada isterinya
sekiranya si suami berpandangan sedemikian?
Wassalam
Jawapan:
1. Wajib suami menjaga ahli keluarga (isteri dan anak-anak) dari perkara
 yang boleh memabawa mereka kepada dosa yang akhirnya membawa
ke neraka. Firman Allah; “Wahai orang-orang beriman, selamatkanlah
diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka” (Surah at-Tahrim, ayat 6).
 Di antara yang dipesan oleh Rasululllah ialah berhati-hati dalam memilih
 kawan sebagaimana sabda baginda ; “Seseorang itu berada di atas agama
kawannya, maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa
dia berkawan” (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah.
Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan). Facebook adalah jaringan kawan-kawan
dan kenalan, maka suami mempunyai hak untuk memantau dengan siapa isteri
 dan anak-anaknya berhubungan demi membolehkannya melaksanakan
 kehendak ayat dan hadis tadi.

2. Suami tidak boleh terlalu menyekat isteri dari bergaul dengan orang
sekeliling terutama berhubungan dengan keluarga dan rakan-rakan wanita
 yang solehah. Namun suami wajib menegah isteri dari terlibat dengan
hubungan yang dilarang agama seperti hubungan dengan lelaki yang bukan
mahram tanpa ada keperluan, bergaul denagn wanita-wanita fasik
 (yang tidak menjaga agama), bertandang ke tempat maksiat atau yang
mendorong kepada maksiat. Suami mempunyai hak untuk menegah isteri
dari terlibat dalam pergaulan sedemikian dan ia termasuk dalam kewajipan
mencegah munkar (atau menutup ruang kepada mungkar) dengan kuasa yang
dimiliki. Sabda Nabi; “Sesiapa dari kamu melihat kemungkaran, hendaklah
ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, dengan lidah. Jika
tidak mampu, dengan hati dan ia adalah selemah-lemah iman” (HR Imam Muslim
dari Abi Sa’id al-Khudri). Menurut ulamak; antara maksud mencegah dengan
tangan ialah menggunakan kuasa yang ada untuk mengubah kemungkaran.
Dinisbah kepada keluarga, bapa atau suami adalah orang yang berkuasa ke atas
ahli-ahli keluarga.

3. Syariat Islam amat mengambil berat hubungan antara lelaki dan perempuan
yang ajnabi (yakni yang tiada hubungan mahram atau hubungan suami-isteri)
di mana ia menyempitkan hubungan dan pergaulan antara keduanya hanya
kepada keperluan sahaja (bukan kebebasan). Ini kerana kebebasan akan
mendorong kepada zina. Ini sebagaimana kata Nabi; “Tidak berduaan seorang
 lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi orang ketiga”
(HR Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Umar). Jadi, apabila seorang lelaki dan wanita
 bebas berhubung dan bercating, syaitan akan membisikkan kepada setiap
mereka dan menimbulkan ghairah dan seronok, lalu ingin bertemu dan
akhirnya terjerumuslah ke dalam maksiat sekalipun telah bersuami. Kejadian
 ini tidaklah asing lagi hari ini.

4. Islam tidaklah menyekat kebebasan umatnya, namun Islam memberi peringatan;
 kebebasan yang terlalu luas akan menjahanamkan. Oleh itu suami perlu mengimbangi
kehidupan keluarganya antara kebebasan dan sekatan. Jangan memberi kebebasan
tanpa batasan dan jangan pula terlalu mengongkong. Terbaik ialah pertengahan.
Suami boleh membenarkan, tetapi pada masa yang sama perlu bertegas dalam perkara
tertentu. Sebagai contoh, bila isteri minta nak berlaman sosial, suami menjawab;
“Boleh, tetapi saya hanya benarkan dengan wanita sahaja dan jika lelaki, saya hanya
benarkan dengan keluarga sahaja”.

5. Sikap cemburu suami jika berasas, itu adalah tanda iman. Namun cemburu tanpa
 berasas, itu adalah tanda penyakit hati. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
“Cemburu ada dua; satunya disukai Allah dan satu lagi dibenci Allah. Cemburu jika
 berpunca dari keraguan/kegusaran, ia disukai Allah. Namun jika tidak datang
dari sebarang keraguan, ia dibenci Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Hakim
dari ‘Uqbah bin ‘Amir. Menurut as-Suyuti; hadis ini soleh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier,
hadis no. 5783). Menurut ulamak; maksud cermburu tanpa keraguan ialah cemburu
buta, yang timbul dalam hati tanpa sebarang sebab iaitu semata-mata buruk sangka
dari suami terhadap isteri atau dari isteri terhadap suami (Faidhul-Qadier).

Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Tidak akan masuk syurga lelaki yang dayus”
 (HR Imam at-Tayalisi dari ‘Ammar). Maksud dayus ialah; lelaki yang hilang perasaan
 cemburu terhadap nilai dirinya di mana ia tidak kesah siapa lelaki yang bersama
 dengan isteri atau anak perempuannya, dengan siapa mereka keluar dan ia tidak
mengambil berat akhlak dan tingkah laku mereka (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah).
Sabda Nabi juga; “Tiga manusia akan diharamkan Allah dari syurga:

1. Orang yang ketagih arak
2. Orang yang menderhakai dua ibu-bapanya
3. Lelaki yang dayus, iaitu yang berdiam diri atau menyetujui perbuatan zina yang di kalangan ahli keluarganya.
(HR Imam Ahmad dari Ibnu ‘Umar. Hadis Soheh. Al-Jami’ as-Saghier, no. 3503
Sumber:1. Faidhul-Qadier, Imam an-Minawi, Syarah hadis no. 5783.
2. Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 10/172.
3. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abd Rahman al-Jazairi, juz. 5.





29 September 2011

MASJID BANDAR SERI PUTRA,BANGI: DOA, HARAPAN & AMANAH


Pembinaan Masjid Al-Mustaqim di Bandar Seri Putra Bangi masih perlu sumbangan


GAMBARAN artis Masjid Al-Mustaqim yang bakal dibina dengan kos RM7 juta di Bandar Seri Putra, Bangi.



TABUNG Dana Pembinaan Masjid Al-Mustaqim, Bandar Seri Putra, Bangi dekat sini masih memerlukan sumbangan orang ramai, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid, Dr. Abdul Rahman Hasan.
Beliau memberitahu, sehingga awal bulan ini, tabung tersebut berjaya mengumpul hampir RM1 juta bagi membolehkan pembinaan masjid itu bermula awal tahun depan.


''Saya berharap, dana akan meningkat selepas ini melalui pelbagai usaha yang dilakukan oleh penduduk Bandar Seri Putra,'' katanya pada Majlis Malam Mesra Aidilfitri 2011 di Jalan 2/5D Bandar Seri Putra, malam semalam.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Penduduk Princeton Residence yang juga dipengerusikan oleh Dr. Abdul Rahman.


Dalam ucapannya Dr. Abdul Rahman turut memuji usaha yang dilakukan oleh penduduk di kawasan itu sehingga berjaya mengumpul dana pembinaan Surau Syaidina Umar al-Khattab dan mula digunakan mulai penghujung Mei lalu. 


Beliau berharap, semangat itu dapat diterapkan dalam usaha mengumpul dana untuk membina masjid melalui pelbagai kaedah termasuk car boot sale setiap hujung bulan yang dilakukan oleh kumpulan wanita Siti Hajar Princeton.


Ketika ini, penduduk sekitar kawasan berkenaan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) serta di surau As-Syakirin dan Al-Ikhlas di taman perumahan Impian Putra.Pembinaan Masjid Al-Mustaqim dijangka melibatkan RM7 juta dan apabila siap kelak dapat memberi kemudahan kepada penduduk Bandar Seri Putra dan sekitarnya termasuk di Bukit Mahkota.
Mengenai Majlis Malam Mesra Aidilfitri 2011, beliau berharap ia akan menjadi acara tahunan yang dapat mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan penduduk kawasan berkenaan.
Ini kali ketiga majlis itu diadakan sejak kawasan Princeton Residence itu didiami penduduk (sumber: UM,27/9/11).








GEMPA BUMI: TIPS MENGETAHUI PETANDA GEMPA

BENARKAH  petanda gempa bumi itu boleh dikesan awal sebelum berlakunya bencana itu? Inilah yang ditegaskan beberapa saintis dunia, termasuk Dr Neil Whitehead yang mengkaji gempa bumi di Darfield, New Zealand pada 4 September 2010 yang turut menyenaraikan tindakan spontan haiwan sebelum gempa di New Zealand serta kejadian sama di Kobe, Jepun dan di Turki.

Berikut hasil kajiannya:
1. Deria unik haiwan
  • Sehari sebelum gempa di New Zealand, seorang penduduk melaporkan kelakuan aneh 40 bebiri yang membentuk bulatan mengelilingi pokok, seolah-olah berlindung daripada ribut. Kawanan bebiri ni pula membisu seolah-olah takut dengan apa yang bakal berlaku
  • Laporan lain mengenai kuda yang tiba-tiba mengamuk dan enggan diikat.
  • Beberapa pemilik kucing dan anjing berkata, mereka dikejutkan haiwan peliharaan masing-masing yang bising beberapa minit sebelum kejadian. Malah di Kobe, Jepun, sebelum berlakunya gempa bumi, anjing peliharaan itu bising dan seolah-olah memaksa tuan mereka supaya keluar rumah. Malah ada laporan menyatakan kucing menggigit dan mencakar tuan mereka supaya keluar rumah.
  • Pemantauan di Christchurch, New Zealand, melaporkan pemilik burung mengadu binatang itu secara berterusan bising dan seolah-olah mengamuk dalam sangkar. Seorang penduduk pula berasa pelik melihatkan itik peliharaannya bertenggek di bumbung rumah dua tingkatnya, sehari sebelum gempa bumi.
  • Di Canterbury, mamalia peliharaan - arnab dilaporkan memijakkan kaki dan melompat seolah-olah memberi amaran sesuatu buruk bakal berlaku, kira-kira 90 minit sebelum kejadian.
  • Laporan lain memetik petugas National Zoo di Washington, Amerika Syarikat, menyenaraikan pelbagai kelakuan aneh haiwan di situ seperti Orang Utan, gorila dan burung flamingo pada 19 Ogos lalu iaitu sehari sebelum kejadian gempa bumi di kawasan itu. Orang Utan dan gorila secara tiba-tiba mengamuk dan membuat bising dalam kandang mereka manakala burung flamingo berkumpul dan dalam keadaan gelisah, juga dilaporkan beberapa minit sebelum gempa bumi berlaku.
  • Laporan pada 2009 mendakwa, katak melarikan diri ke kawasan tinggi beberapa hari sebelum berlakunya gempa bumi di LAquila, Itali.
  • Pada 1975, laporan paling popular menyenaraikan ular dan katak keluar daripada tempat persembunyian masing-masing, beberapa minggu sebelum gempa bumi bermagnitud 7.3 di Haicheng, China. Malah, kelakuan aneh haiwan itu yang menggerakkan pegawai tempatan mengarahkan orang ramai meninggalkan kawasan itu dan mengelak lebih banyak kematian.
  • Pakar gempa Amerika Syarikat, Susan Hough, mengaitkan perubahan kelakuan haiwan itu disebabkan gempa menghasilkan dua gelombang iaitu jenis lemah dan kuat. Gelombang lemah bergerak secara mendatar manakala gelombang kuat atau lebih bertenaga, yang bergerak dari hala atas ke bawah atau dari udara ke darat dan gelombang inilah dirasai haiwan.


2. Perubahan di darat/air
  • Beberapa hari sebelum gempa bumi di New Zealand, September tahun lalu, penduduk yang berkelah di sekitar sungai Hagley Park, melaporkan fenomena getaran di situ.
  • Pasangan suami isteri yang berada di hilir Sungai Waimakariri melaporkan aliran sungai itu menongkah ke belakang. Ia mengulangi fenomena sama yang pernah berlaku di Sungai Seta, Jepun dan gempa bumi 1812 di Madrid, Sepanyol yang mana petandanya turut berlaku di Amerika Syarikat apabila aliran Sungai Mississippi di Amerika, mengalir ke arah berlawanan untuk beberapa ketika.


3. Langit/awan
  • Wujudnya pembentukan aneh awan yang dilabelkan sebagai cuaca gempa bumi seperti dicatatkan pada petang, kira-kira seminggu sebelum gempa bumi New Zealand. Beliau mendakwa melihat dua kepulan awan dengan warna menyamai pelangi.


4. Elektronik
  • Petanda paling kerap dilaporkan adalah gangguan siaran televisyen yang berlaku pada malam sebelum gempa bumi New Zealand berkenaan. Laporan gambar menjadi kaku dan cubaan bertukar ke siaran lain juga gagal.
  • Seorang penduduk pula mendakwa jam tangan dan jam radionya berhenti secara tiba-tiba, tepat jam 3.17 pagi.
  • Petugas kedai buku melaporkan kejadian aneh berlakunya elektrik statik iaitu apabila rambut pengunjung berdiri serta helaian muka surat terpisah daripada buku.(sumber:BH, 29/9/11)

KUALA LUMPUR : KENANGAN SUASANA LENGANG PADA 9 JULAI 2011




28 September 2011

PTPTN : BANTU ATAU BEBAN KEPADA PELAJAR?


ISU pendidikan harus menjadi prioriti utama oleh kerajaan dalam usaha untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai daya intelek yang mampu menterjemahkan aplikasi pengetahuan dalam bentuk yang praktikal bagi mewujudkan sebuah kebudayaan yang beretika serta peningkatan dan pengembangan dalam aspek pembangunan fizikal.
Namun, bagi melaburkan modal insan sebagai pelaburan mutlak dalam masyarakat, peruntukan dana melalui subsidi pendidikan mahupun pinjaman merupakan salah satu usaha yang realistik bagi mencapai tujuan pendidikan.
Antara isu yang berkaitan dengan pinjaman dalam pendidikan adalah isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Asasnya, PTPTN telah ditubuhkan di bawah akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997 berobjektifkan untuk memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selaras dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan.
Berdasarkan kepada asas yang diutarakan, seharusnya usaha murni kerajaan bagi menyediakan pinjaman kepada para pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi harus disambut baik, namun, terdapat beberapa perkara yang seharusnya dinilai secara terperinci dalam usaha untuk menjadikan institusi ini benar-benar bersifat membantu, bukan membebankan.
Antara isu yang diutarakan berkenaan dengan PTPTN adalah isu pemberhentian pinjaman kepada pelajar yang tidak melepasi gred 2.0. Suatu perkara yang harus diperhatikan adalah para pelajar yang tidak mencapai gred yang sepatutnya, apabila pinjaman mereka diberhentikan, kesan yang akan diterima adalah, pemberhentian daripada melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi disebabkan masalah kewangan atau menerima tekanan untuk mencari dana sendiri sekiranya ingin terus melanjutkan pelajaran.
Secara dasarnya, peluang harus diberikan kepada pelajar ini untuk meningkatkan prestasi akademik mereka melalui penyaluran pinjaman PTPTN. Perkara ini seharusnya bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan konsep pendemokrasian pendidikan.
Begitu juga, seorang pelajar yang diisytihar muflis, secara automatik, pembiayaan yang diterima akan diberhentikan secara serta merta.
Logiknya, seorang pelajar meminjam kerana tidak berkemampuan dalam usaha untuk meningkatkan tahap kehidupan mereka dari peringkat mentaliti bawah kepada mentaliti yang lebih tinggi seiring dengan perkembangan kemahiran melalui pelajaran. Pelaburan dalam pendidikan inilah yang menjadi modal yang mahal untuk pelaburan masa hadapan.
Namun, apabila pelajar yang diisytiharkan muflis diberhentikan terus pinjaman, maka, potensi yang dimiliki oleh pelajar tersebut tidak mampu untuk dikembangkan.
Isu ini seharusnya dibezakan dengan pemberian pinjaman oleh institusi kewangan kepada peminjam muflis, atau peluang kedua kepada golongan yang telah disenaraihitamkan daripada institusi kewangan.
Penggunaan dana untuk pendidikan lebih bersifat membantu pelajar tersebut melaburkan dirinya sebagai modal, manakala pinjaman daripada institusi kewangan kepada peminjam muflis yang bertujuan untuk perbelanjaan kemewahan adalah bersifat pembaziran dan memerlukan kawalan kewangan. (sumber: Muhamad Iqbal Abdul Wahab, HM 27/9/11)

PEMAJU PERUMAHAN: SYARAT ELAK PROJEK TERBENGKALAI


KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah bersedia untuk membentangkan di Dewan Rakyat cadangan syarat-syarat baru yang lebih ketat bagi mengurangkan kes projek perumahan terbengkalai.

Menterinya, Datuk Chor Chee Heung berkata, ia sebagai usaha penambahbaikan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 yang akan turut merangkumi penyeliaan dan penguatkuasaan terhadap pemaju perumahan bagi menjamin dan melindungi kepentingan pembeli rumah.

Katanya, antara lain, pihaknya akan mencadangkan agar pemaju meletakkan wang deposit tiga peratus dari keseluruhan nilai projek yang akan dibangunkan.

“Ketika ini pemaju hanya perlu meletakkan wang deposit sebanyak RM200,000 dan mempunyai sebidang tanah sebelum lesen dikeluarkan.

“Dengan pindaan baru ini jika projek tersebut dilihat mempunyai masalah, wang deposit tersebut akan digunakan untuk menampung masalah itu,” katanya selepas majlis penyerahan kunci rumah projek perumahan terbengkalai di Taman Prima Hijau, di sini hari ini.Cadangan lain, katanya, mulai tahun 2015 pemaju mesti menyiapkan terlebih dahulu rumah sebelum boleh dijual.

Pihaknya juga sedia mempertimbangkan kaedah lain seperti pembeli membayar deposit 10 peratus dan baki 90 peratus lagi diselesaikan setelah rumah siap, selain memperkenalkan kaedah transaksi antara pemaju dan pihak insurans.

“Sebagai contoh syarikat insurans boleh menjadi penjamin kepada pembeli yang telah membuat bayaran perumahan, jika pembeli sudah membayar 40 peratus daripada keseluruhan nilai rumah dan pemaju tidak lagi mampu meneruskan projek berkenaan wang akan dikembalikan oleh syarikat insurans,” katanya.
Katanya lagi, kementeriannya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan kepada pemaju yang mengingkari perjanjian sehingga mengakibatkan pembeli menanggung kerugian dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) KPKT, Datuk Yeo Heng Har, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Abu Bakar Hassan serta Pengarah Urusan Trans Eco Development Sdn Bhd, yang dilantik sebagai pemaju penyelamat perumahan Taman Prima Hijau, Lee Mok Fong.

Beliau berkata, Taman Prima Hijau merupakan projek yang telah diisytiharkan terbengkalai sejak 31 Disember 2006 melibatkan 54 unit rumah dengan 47 pembeli.Bagaimanapun dengan usaha dan kerjasama semua pihak, projek ini dapat dipulih dan disiapkan dan mendapat Sijil Layak Menduduki (CFO) dalam tempoh 11 bulan.(sumber:UM,27/9/11)

27 September 2011

BALUTAN LUKA BUKAN PENGHALANG TIDAK SOLAT

WUDUK ialah syarat sah dalam solat. Namun, ada ketikanya manusia tidak dapat menyempurnakan wuduk disebabkan halangan tertentu antaranya sakit dan terpaksa memakai balutan yang menghalang air sampai ke anggota diwajibkan ketika berwuduk. 

Dalam fiqh Islam, balutan atau tampalan yang diletakkan di atas tulang yang patah supaya ia bersambung kembali dipanggil al-jabirah, manakala kain ataupun seumpamanya yang digunakan bagi membalut luka dan ditampal dengan kuat supaya luka boleh sembuh dinamakan al-ishabah.

Apabila berlaku keadaan pesakit terpaksa menggunakan al-jabirah dan al-ishabah terhadap anggota wuduk, maka tatacara bersuci sama ada wuduk dan mandi junub berubah kerana telah menghalang air dari terkena anggota wuduk.
Memandangkan membuka balutan memudaratkan pesakit, maka beberapa kaedah menyapu di atas jabirah dan ishabah sudah digariskan ulama. 

Pendapat pertama kalangan Muqabil al-Azhar dalam Mazhab Syafie, Hanafiyah, Malikiyah, dan Hambali berpendapat hukum menyapu air ke atas jabirah adalah wajib. Ia perlu membasuh anggota wuduk yang sihat dan hanya menyapu pada jabirahnya. 

Ibn Umar berkata, siapa yang mendapat luka dan dibalut, maka hendaklah dibasuh anggota di luar balutan dan diusap saja balutan itu. Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam al-Musanif. Namun, majoriti ulama mengambil panduan asas isu ini berdasarkan hadis Jabir. 

Jabir meriwayatkan: Kami telah keluar bermusafir. Tiba-tiba salah seorang lelaki yang bersama kami tertimpa batu lalu kepalanya luka. Kemudian dia bermimpi basah (ketika tidur). Lalu dia bertanya kawan-kawannya: Adakah kamu berpendapat terdapat rukhsah untuk aku bertayammum? Kawannya menjawab: Kami dapati tiada keringanan untuk kamu bertayamum disebabkan kamu mampu memperoleh air. Lalu lelaki itu mandi dan kemudian mati (akibat mandi). Ketika kami sampai kepada Rasulullah dan menceritakan hal itu, berkatalah Nabi: Mereka membunuhnya. Semoga Allah memerangi mereka. Mengapa mereka tidak bertanya apabila tidak mengetahui? Sesungguhnya ubat kebodohan itu adalah bertanya. Memadai untuknya bertayamum, membalut dengan kemas lukanya menggunakan kain dan menyapu ke atasnya serta mandi pada seluruh tubuhnya. (Hadis riwayat Abu Daud dan Baihaqi) 
Dapat difahami daripada hadis Jabir ini ialah, kita boleh menyapu pembalut kain semasa berwuduk dan mandi junub. Sapuan di atas pembalut itu dapat menyucikan kita daripada hadas kecil dan besar. 

Secara logiknya, bahagian anggota wuduk yang luka dan berbalut tidak mungkin dibasuh kerana kepentingan kesihatan yang perlu dijaga. Oleh sebab itu, kelonggaran menyapu di atas balutan adalah suatu keperluan. 

Pendapat kedua ialah pandangan Ibn Hazm al-Zahiri yang menolak penggunaan hadis ini kerana baginya semua hadis berkaitan isu ini adalah daif. Katanya dalam al-Muhalla, tiada dalil al-Quran atau sunnah menggantikan basuhan dengan sapuan atas balutan. 

Pandangan pertama majoriti ulama lebih kuat berdasarkan penjelasan Syeikh Ibn Taimiyyah dalam Majmuk Fatwa yang disokong ulama kontemporari seperti al-Qardhawi dan Abd Karim Zaidan. 

Ini bermaksud pesakit perlu membasuh anggota yang sihat dan hanya menyapu jabirah. Ada ulama mewajibkan tayamum selepas itu dan ada ulama tidak mewajibkannya. Namun, pendapat mewajibkan tayamum selepas itu lebih tepat berpandukan pandangan Syeikh Soleh al-Uthaimin. 

Kadar air yang wajib disapu atas balutan ditetapkan tidak perlu menyampaikan air pada kulit di bawah balutan. Dia juga tidak perlu membuka balutannya. Fuqaha mazhab Syafie, Maliki dan Hambali mewajibkan menyapu keseluruhan pembalut menggunakan air sekadar termampu. 

Perbuatan menyapu balutan ini dilihat lebih kuat berasaskan kemampuan sedia ada. Juga berdasarkan firman yang bermaksud: Oleh sebab itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu. (Surah at-Taghabun, ayat 16) 

Bangkit persoalan kepada kita sekarang, bagaimana jika ada pendapat mewajibkan bersuci terlebih dulu sebelum memakai balutan. Hujahnya, pandangan Imam an- Nawawi mengatakan tidak sah berasaskan qias hukum menyapu khuf. Malah solat dilakukan sepanjang tempoh itu perlu diganti. 

Ketetapan itu menyukarkan pesakit dalam persoalan ibadah dan dibimbangi akan berlaku pengabaian secara terus terhadap ibadah wajib seperti solat kepada pesakit. 

Ajaran Islam bukan boleh dipermudahkan sesuka hati namun, Islam juga tidak menyusahkan. Ini yang dinamakan rukhsah ataupun keringanan diberikan Allah SWT. Perlakuan yang dilakukan kerana rukhsah itu sah dilakukan selagi mana adanya darurat. 

Apabila hilang darurat, maka orang itu perlu kembali kepada hukum asal tanpa mengulangi ibadah dilakukan. Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kesusahan (kepayahan) tetapi Dia mahu membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu supaya kamu bersyukur. (Surah al-Maidah, ayat 6) (sumber: BH,27/9/11)

26 September 2011

IBRAHIM ALI & I.S.A: SILA BERI KOMEN ANDA

TB terima SMS daripada Datuk lbrahim Ali, Presiden Perkasa yang juga MP Bebas Pasir Mas, Kelantan yang mohon jasa baik TB menyebarkan kepada audien khususnya para pembaca budiman blog TBD agar memberi respons, pandangan dan maklum balas berhubung dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan sebagaimana yang diumumkan PM Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini.

lbrahim (Tok Him) memaklumkan bahawa wawancara akhbar SINAR HARIAN dengan beliau bertarikh 26 September 2011 (hari ini) di halaman 6-7 'lSA BUKAN URUSAN MAIN-MAIN' yang menyentuh pro-kontra lSA dan kaitan dengan aspek perundangan dan keselamatan rakyat dan negara.

Oleh itu para pembaca boleh memberi pandangan terus dengan SMS terus kepada Datuk lbrahim Ali ke talian: 0122118004 atau emel: rosezie2003@yahoo.com/

Kepada para pembaca ini peluang terbaik menyatakan pandangan kerana YB Datuk lbrahim akan membahaskannya di Dewan Rakyat.Mudah-mudahan pandangan para pembaca banyak membantu beliau menyampai hujah-hujah perbahasan di dewan tersebut kelak. (TB).

25 September 2011

ADNAN OSMAN : PESARA GURU YANG HEBAT



ADNAN ketika membuat latihan terakhir semalam  bakal mengayuh hampir 20,000 kilometer dari Kuala Lumpur ke London  berlepas dari  Taman Jaya, Petaling Jaya,  hari ini.
ADNAN ketika membuat latihan terakhir semalam bakal mengayuh hampir 20,000 kilometer dari Kuala Lumpur ke London berlepas dari Taman Jaya, Petaling Jaya, Selangor D.E Malaysia.
PESARA  guru, Adnan Osman, 69, yang bakal mencatat rekod sebagai warga Malaysia tertua berbasikal secara solo merentasi Kuala Lumpur ke London, teruja memulakan kayuhan sejauh 20,000 kilometer merentasi 15 negara selama 10 bulan, 24 September 2011 ini.

Adnan yang memulakan kembara dari Taman Jaya, Petaling Jaya, dengan seorang rakan pagi ini, mula berkayuh menuju utara Semenanjung Malaysia, sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand; Loas; China; India; Bangladesh; Pakistan; Iran; Turki dan beberapa negara Eropah.
Adnan dijangka tiba di London ketika berlangsungnya upacara pembukaan rasmi Sukan Olimpik 2012, Julai tahun depan.
Adnan ketika dihubungi Berita Minggu mengakui sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal untuk menyempurnakan misi mencabar itu.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyembunyikan kerisauan jika menghadapi masalah kesihatan, kerenah birokrasi atau risiko laluan merbahaya membabitkan negara bergolak seperti Iran, Afghanistan dan Pakistan.

Apa pun boleh berlaku, perkara ini tidak diduga walaupun kita sudah bersedia segala-galanya termasuk dari segi tekanan mental dan fizikal selain memiliki peralatan dan bekalan mencukupi. Dari aspek kesihatan, saya sihat, tidak ada masalah, malah rasa teruja, cuma bimbang keadaan cuaca menjejaskan kesihatan.

Saya juga diberi maklumat mengenai kawasan panas dan berbahaya. Ini dikhuatiri mengganggu perjalanan yang sudah dijadualkan. Jika jadual terganggu, khuatir visa tamat tempoh pula, katanya yang sibuk membuat persiapan terakhir sebelum memulakan misinya.

Kembara Adnan berbasikal secara solo ke London adalah bertujuan mengumpul dana untuk Yayasan AIDS Malaysia (MAF).

Adnan yang sebelum ini gagal dalam misi berbasikal dari Kuala Lumpur ke China pada 2008 berikutan masalah visa berkata, mengembara menggunakan basikal agak mencabar berbanding misi lain yang menggunakan kenderaan bermotor.

Kalau tidak ada tenaga, susah. Saya memperuntukkan perjalanan sejauh 100 hingga 120 kilometer sehari, tidak boleh berkayuh terus menerus, kena berehat sehari dalam seminggu, katanya.

Beliau yang tidak menghadapi masalah dengan persekitaran di Eropah kerana pernah melanjutkan pengajian di benua itu, berharap misinya kali ini berjaya.

Doakan saya berjaya, keluarga pun memahami niat saya dan menyokong penuh, katanya, Adnan akan memuatkan perkembangan pengembaraannya berbasikal secara solo merentasi 15 negara melalui laman blognya di http://oadnanxtreme.blogspot.com. (sumber: BH, 25/9/11)

23 September 2011

AYAH IBU JANGAN DILUPAI.....

Ziarah lbu: Gambar Hiasan Sebuah Keluarga

SINDROM ‘Empty Nest’ iaitu rasa kesunyian dan sedih di kalangan warga emas akibat tinggal bersendirian di kawasan luar bandar dan berjauhan daripada anak dengan Perak menjadi negeri paling banyak berdepan masalah itu seperti dilaporkan cukup menarik perhatian.

Penemuan itu berdasarkan hasil Kajian Penduduk Keluarga Malaysia (KPKM) ke-4 oleh LPPKN serta dipadankan dengan hasil Banci Penduduk dan Perumahan 2010. Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Anjli Doshi-Gandhi dilaporkan berkata kira-kira 23 peratus atau 538,000 daripada 2.4 juta warga emas di negara ini mengalami sindrom ‘Empty Nest’ dengan Perak mencatatkan 68,437 orang berdepan masalah itu, diikuti Johor 68,087 dan Sarawak 62,804.

Sindrom itu berlaku apabila anak berhijrah ke tempat yang lebih membangun sama ada untuk mencari pekerjaan selari dengan kepesatan ekonomi, melanjutkan pelajaran ataupun sudah berkahwin hingga ibu bapa rasa kekosongan dan seperti tidak diperlukan hingga mendorong mereka mengalami kesan sampingan seperti kemurungan dengan kajian menunjukkan 41.2 peratus daripada mereka mengalami gangguan kepada kesihatan fizikal dan mental.

Kesimpulan yang dapat dibuat melalui statistik itu adalah kecenderungan anak di Perak untuk tinggal berasingan daripada ibu bapa termasuk kerana berhijrah ke tempat lain untuk mencari pekerjaan atau membina hidup baru amat tinggi selain saiz negeri itu sendiri antara terbesar di negara ini sekali gus menyumbang kepada banyaknya masalah itu di negeri itu. Pendedahan itu turut menimbulkan persoalan adakah anak Perak jarang pulang menjenguk ibu bapa mereka di kampung hingga masalah itu paling serius di negeri itu?

Dalam kes di Perak, berdasarkan pemerhatian, memang benar kadar penghijrahan keluar khususnya golongan muda dari kawasan luar bandar ke kawasan pekan atau bandar lain termasuk ke negeri lain agak serius. Mengambil contoh kawasan utara Perak, kadar penghijrahan golongan muda dari kawasan berkenaan ke Pulau Pinang tinggi kerana mencari pekerjaan di Pulau Mutiara itu yang jauh lebih pesat aktiviti ekonominya hingga menjadi lubuk peluang pekerjaan khususnya di kawasan perindustrian dan perkilangan.

Mereka yang berhijrah terpaksa meninggalkan ibu bapa yang sudah berusia di kampung halaman. Ada juga kes di mana warga emas sendiri keberatan tinggal bersama anak kerana mungkin tidak mahu menyusahkan anak mereka atau sukar membiasakan diri dengan persekitaran hidup di bandar besar.
Penghijrahan seperti ini mungkin satu perkara yang sukar dielakkan, namun sikap segelintir anak yang jarang pulang menjenguk ibu bapa atau sekurang-kurangnya menghubungi mereka melalui telefon adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku ketika ibu bapa berasa sepi dan amat merindui anak-anak.
Bagi warga emas yang ditinggalkan, sindrom ‘Empty Nest’ mungkin terubat atau reda apabila anak, cucu dan cicit masing-masing pulang ketika cuti panjang seperti sambutan Aidilfitri lalu atau musim cuti sekolah namun sindrom bersedih, termenung, bermuram dan tertekan kembali mencengkam dan menebal apabila orang dirindui pulang ke rumah masing-masing.(sumber:BH, 23/9/11

21 September 2011

PENDATANG TANPA IZIN : KINI JADI TAUKEH


KEMENTERIAN  Dalam Negeri (KDN) mengesahkan terdapat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mendaftar dalam Program 6P baru-baru ini, bekerja sendiri malah sesetengahnya telah menjadi majikan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun senario tersebut telah dikesan lama berlaku, namun ia sukar ditangani disebabkan pelbagai faktor.
Antaranya, kata beliau, ia berpunca daripada isu salah guna pas dan permit kerja serta pemalsuan dokumen dan identiti warga asing.

“Hasil risikan dan pemantauan Jabatan Imigresen melalui Program 6P mendapati, terdapat PATI yang bekerja sendiri, malah sesetengahnya telah menjadi majikan.
“Agensi penguat kuasa sukar untuk mengambil tindakan terhadap mereka apabila mereka berselindung di sebalik permit kerja sama ada yang sah atau dipalsukan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sehubungan itu, kata Hishammuddin, melalui Program 6P, kerajaan akan mempunyai maklumat yang tepat termasuk data biometrik pekerja yang membolehkan status semasa sebenar mereka dikenal pasti.
Menurutnya, inilah kepentingan pelaksanaan 6P kerana selain menangani isu berkaitan PATI yang sedia ada dalam negara, program itu juga membolehkan kerajaan mendapat data yang tepat berhubung permasalahan sebenar berkaitan warga asing.

Dalam pada itu, beliau berkata, statistik diperoleh daripada laporan proses pendaftaran Program 6P menunjukkan seramai 327,991 PATI mengisytiharkan tidak bekerja dalam lima sektor dibenarkan dalam dasar semasa kerajaan iaitu perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan dan 15 jenis pekerjaan dalam sektor perkhidmatan.
“Sebahagian besar daripada jumlah tersebut didapati sedang bekerja dengan majikan tertentu atau dalam jenis dan sektor pekerjaan yang tidak dibenarkan seperti perlombongan, bengkel kereta, restoran makanan segera, gerai, nelayan, pengedar surat khabar dan pencucian kenderaan.

“KDN akan memanjangkan syor kepada beberapa persatuan majikan dan majikan secara individu yang merayu supaya kerajaan memberikan kebenaran khas agar pekerja-pekerja tidak sah mereka yang sedang bekerja dalam jenis pekerjaan di luar sektor untuk turut dilibatkan dalam proses pemutihan,” ujarnya.
Pada masa sama, Hishammuddin berkata, KDN yakin akan memperoleh data dan maklumat terperinci melalui proses pemutihan fasa kedua dalam Program 6P yang tarikh pelaksanaannya akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan PATI pada 4 Oktober ini.

Beliau berkata, data dan maklumat itu akan diserahkan kepada Kementerian Sumber Manusia dan agensi pusat seperti Unit Perancangan Ekonomi (EPU) serta Jabatan Perdana Menteri dalam melengkapkan kajian mereka tentang keperluan sebenar pekerja asing bagi memastikan ia bertepatan dengan keperluan semasa serta diimbangi faktor keselamatan.(sumber:UM,21/9/11)

20 September 2011

MUHAMMAD HAZIQ RAJIEE: TAHNIAH!

TB mengucapkan syabas dan tahniah serta syukur alhamdulillah kepada anakanda Muhammad Haziq Rajiee,22 tahun kerana memperoleh ijazah Sarjana Muda Usuluddin & Kaunseling dengan Kepujian di lstiadat Konvokesyen ke-3 Universiti Sultan Zainal Abdidin (Unisza), Kuala Terengganu, Ahad 18 September 2011 yang lalu.Seluruh ahli keluarga mengucapkan tahniah dan bersyukur ke hadirat llahi kerana beliau berjaya dalam pengajian ijazah pertamanya dalam usia yang masih muda.





Dan pada hari itu dengan takdir Allah SWT, TB dilanda kemalangan kecil di Jalan Sultan lsmail,Kuala Terengganu dan terpaksa dikejar ke wad kecemasan Hospital Besar Kuala Terengganu oleh seorang anggota polos beruniform. Akibat musibah itu, jari TB didapati patah dan menerima rawatan segera.

Kepada anggota polis tersebut yang TB tidak dapat mengesaninya dan para petugas hospital khususnya Dr Nik dari hospital tersebut, TB tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi jutaan terima kasih. Semoga Alllah jua membalas jasa baik anda kalian.

17 September 2011

HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA PERTAMA DALAM SEJARAH

SEGENAP  lapisan rakyat Malaysia berhimpun di pelbagai lokasi di seluruh negara meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia ke-48 yang buat julung kalinya disambut serentak hari ini. 

Persembahan penuh warna-warni dan gilang-gemilang sempena perayaan berganda itu bertemakan '1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera', berlangsung di lokasi utama di Dataran Merdeka di sini, dengan dihadiri kira-kira 100,000 orang.

Acara sambutan sempena hari istimewa negara itu turut diadakan di negeri-negeri lain bagi menyemarakkan semangat patriotisme rakyat.
IPOH: Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah bersama-sama Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyertai lebih 15,000 rakyat pelbagai kaum serta agama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia dalam suasana meriah.

Sebanyak 62 kontinjen terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan institusi pengajian tinggi seperti Felda Wilayah Trolak, Proton Tanjung Malim Sdn Bhd, Pejabat Tanah dan Galian daerah Kerian dan Telekom mengambil bahagian dalam perbarisan sempena sambutan itu yang diadakan di Jalan Panglima Bukit Gantang berhampiran Dewan Bandaran Ipoh.

Persembahan 'Gayung Perang' oleh Polis Diraja Malaysia, 'Tempur Tanpa Senjata' oleh Tentera Darat Malaysia serta tarian 'Sewang' oleh masyarakat Orang Asli dari Kampung Pos Raya, Simpang Pulai yang jarang dipertontonkan dilihat paling mendapat perhatian lapisan rakyat yang mula membanjiri lokasi sambutan sejak awal pagi.

BUTTERWORTH: Lebih 5,000 orang mengambil bahagian dalam perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat negeri Pulau Pinang yang diadakan di Padang Pemuda Merdeka, di sini.
Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan barisan Exco kerajaan negeri hadir menyaksikan persembahan yang dijayakan oleh 100 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan, swasta dan sekolah yang bermula pada jam 9 pagi itu.

MACHANG: Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat negeri Kelantan disertai lebih 1,000 peserta daripada 75 kontinjen dalam perbarisan yang diadakan di Padang Majlis Daerah Machang, di sini.

Kira-kira 2,000 pengunjung berbilang kaum hadir menyaksikan sambutan yang pertama kali diadakan di luar Kota Bharu.

MELAKA: Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia diraikan penuh meriah dengan perarakan dan perbarisan yang diadakan di depan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir, di sini.

Sebanyak 117 buah kontinjen yang melibatkan 6,852 peserta mengambil bahagian dalam perarakan itu sejauh tiga kilometer sehingga ke Hang Tuah Mall, di Jalan Hang Tuah.

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob turut menerima tabik hormat daripada peserta perarakan yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta, institusi pengajian tinggi (IPT), badan bukan kerajaan (NGO) dan murid sekolah.

Sambutan yang bermula jam 8 pagi itu, turut diwarnai dengan persembahan kebudayaan, deklamasi puisi serta nyanyian lagu-lagu patriotik termasuk lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia.

KUANTAN: Seramai 5,000 peserta menyertai perbarisan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini yang melibatkan 60 kontinjen pejalan kaki dan 40 kontinjen berkenderaan terdiri daripada agensi kerajaan, pasukan beruniform, agensi swasta serta pelajar sekolah.

Persembahan perbarisan dan beberapa acara pada sambutan kali ini menampilkan kelainan berbanding sambutan sebelum ini di mana ia disesuaikan dengan generasi pada masa kini dan menepati tema sambutan.

Antara persembahan tersebut adalah aktiviti berbasikal, tarian bertemakan 1Malaysia, persembahan kasut roda dan tarian 'shuffle' oleh pelajar sekolah.

Seramai 30,000 orang hadir menyaksikan sambutan tersebut yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan barisan exco kerajan negeri.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersama-sama anggota Kabinet negeri dan lebih 6,000 rakyat pelbagai kaum menyertai sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang diadakan di Dataran Bandaraya di sini.

Sebanyak 147 kontinjen terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah mengambil bahagian dalam perbarisan sempena sambutan itu.

Malam ini, acara 'Malam Merdeka' akan diadakan di Padang Merdeka yang dijangka dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

ALOR SETAR: Sambutan kemerdekaan yang diadakan di depan Kompleks Pekan Rabu, di sini, meriah dengan perarakan kira-kira 3,000 peserta mewakili lebih 80 kontinjen antaranya pelajar sekolah, jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, badan sukarela beruniform, NGO, polis dan tentera.

Perarakan bermula kira-kira 9.30 pagi sebaik saja Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun berangkat tiba.

Seramai 33 peserta Persatuan Gerek Tua (Getuas) serta anggota Persatuan Vespa Skuter Kedah dan Kedah Motor Sports Club turut menyertai perarakan sambil membawa Jalur Gemilang.

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menasihati rakyat supaya berwaspada dengan ancaman penjajahan bentuk baru yang boleh menjejaskan negara.

Baginda bertitah walaupun negara mencapai kemerdekaan sejak 54 tahun lalu namun penjajahan minda dan ekonomi yang dianggap sebagai ancaman penjajahan bentuk baru perlu ditangani secara bijaksana.

Bertitah pada sambutan hari kemerdekaan ke-54 peringkat negeri Perlis di Taman Merdeka, di sini, hari ini, Raja Perlis berharap setiap rakyat mempunyai jati diri yang kukuh terhadap negara akan tidak mudah terpengaruh dengan penjajahan bentuk baru itu.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu itu, lebih 3,000 peserta daripada 75 kontinjen yang mewakili jabatan dan agensi kerajaan, pasukan keselamatan, institusi pengajian tinggi dan NGO menyertai perarakan bermula dari Kompleks Warisan dan berakhir di Taman Merdeka sejauh kira-kira satu kilometer.

Pengunjung dan tetamu kemudiannya dihidangkan dengan persembahan pentomin mengenai sejarah kebangkitan negara pada zaman pendudukan Jepun dan darurat yang dijayakan oleh gabungan guru dan pelajar dari beberapa sekolah di Perlis.

SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan rakyat supaya tidak terlalu terburu-buru mencari perubahan kononnya dengan alasan untuk mencari kelainan sehingga lupa kepada keamanan dan kemerdekaan negara yang sudah wujud selama 54 tahun.

Berucap sempena perarakan Hari Kemerdekaan ke-54 di sini beliau berkata, ada sesetengah golongan yang sanggup memperjudikan keamanan yang sudah wujud ketika ini kerana asyik berangan bahawa pembaharuan yang bakal dibawa akan menjadikan negara ini lebih baik dari sekarang.

Katanya, rakyat jangan sesekali terikut-ikut rentak dan tarian pihak-pihak yang cuba mengganggu gugat keamanan negara dalam usaha untuk mengejar sesuatu yang belum pasti diperoleh.

Sambutan turut dihadiri oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Sebanyak 84 kontinjen dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, NGO dan swasta serta pelajar berarak di padang Kompleks Belia dan Sukan Paroi sejak jam 7 pagi sebelum berarak ke Sekolah Menengan Vokasional Ampangan.

Acara sambutan akan diteruskan malam ini di padang Majlis Perbandaran Seremban dengan persembahan bunga api serta konsert oleh artis terkenal tanah air. - (sumber:BH, 16/'9/11)