SEMPENA hari ulang tahun kelahiran TB pada hari ini 23 Disember, TB mendedahkan sebuah kisah benar apa yang pernah berlaku dalam kehidupan TB masa lalu.Pendedahan ini kali pertama,selagi ada hayat dikandung badan. Justeru TB terkenang-kenang sebuah puisi karya TB yang memenangi tempat pertama (Hadiah Wang Tunai RM3000) pada tahun 1994 dalam Sayembara Puisi Bosnia anjuran Persatuan Penulis Nasional(PENA) dengan kerjasama Barisan Bertindak Bosnia (BBB).Yang lucu dan menjadi rahsia lebih 10 tahun berlalu ialah TB menggunakan nama samaran seorang wanita.Tujuan TB bagi menguji kekuatan puisi TB.Dalam erti kata lain bukan kerana nama atau kedudukan TB ketika itu. Hasilnya, puisi TB SIMFONI ANAK BOSNIA memenangi tempat pertama peringkat kebangsaan mengatasi carta pemuisi-pemuisi tersohor tanah air. Begitulah sebuah kehidupan yang tetap menjadi kenangan dan ada sebab musababnya. Berpaksikan sebuah perjuangan kasih sayang,sebuah hak dan kemanusiaan maka mengalirlah tinta pena puisi berikut:
SIMFONI ANAK BOSNIA
Masih kusemat panggilan mesramu, ibu
Sambil mengatur huruf namaku Ismet Razanica
Aku berlari riang ke arahmu girang
Menggenggam kapur menghafal baris aksara
Di luar udara Goradze nyaman di timur Bosnia
Setenang sungai Drina di kejauhan Adriatika
Kini tiga minggu aku kehilanganmu, ibu
Tanah kelahiran indah bertukar wajah neraka
Di wad tiga aku terbaring hilang upaya
Putus kaki kiriku angkara periuk api Serbia
Aku kebingungan menyoal diri kerdil ini
Mengapa hospital ini juga bedilan mortar dihujani
Ahh, kemanusiaan dan kedamaian di manakah kini?
Malam yang kegelapan siang yang curang, ibu
Aku terus diburu mimipi-mimpi kekejaman
Kakakku Elmira Zlatic yang rupawan
Tidak kupandang lagi senyum lenggok menawan
Yang pernah mendodoiku menyanyikan lagu keamanan
Dalam usiaku lapan tahun ini, ibu
Aku hanya menanti kehadiran bulan dan mentari
Di sana sini gendang perang gila berkumandang
Merobek rakus menghiris kepedihan
Pada garis kenangan yang memisahkan
Dan aku di kamar ini berdiri merenung wawasan
Yang hanya menanti gelora ombak di hadapan !
Seri Kembangan,SDE 1994.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan