Salam Perjuangan

27 Disember 2010

FACEBOOK, PANTAULAH!!!!

Perbincangan masalah rumah tangga secara terbuka di laman sosial Facebook semakin menjadi trend di kalangan pasangan suami isteri yang berdepan konflik perkahwinan.

Trend itu bukan sahaja mengeruhkan keadaan malah diibaratkan seperti membuka pekung di dada. Sedangkan masalah tersebut seharusnya dibincangkan secara tertutup bersama pasangan masing-masing.

Buktinya, penyelidikan Utusan Malaysia mendapati, salah satu kumpulan dalam Facebook iaitu Kisah Rumah Tangga amat popular di kalangan pasangan suami isteri teraniaya.


Ia menjadi medan perbincangan dan luahan perasaan dalam mendapatkan khidmat nasihat berhubung konflik rumah tangga mereka. Amat mengejutkan, ruangan mengandungi hampir 200 kisah dan konflik rumah tangga itu turut mendapat ratusan maklum balas serta pandangan daripada ahli kumpulan tersebut yang terdiri daripada 65,945 orang. Antara topik yang hangat dibincangkan adalah:


·  Suami/isteri lebih gemar bermain permainan video Playstation 3 (PS3) dan menonton kartun Naruto daripada melayan isteri
·  Suami/isteri  curang dan ada akaun kedua Facebook
·  Suami kuat merokok dan mengabaikan nafkah keluarga(baca penuh UM 27/12/10)

TERIMALAH hakikat bahawa ranking masyarakat kita membuka akaun,melayani dan apa jua istilah laman sosial dalam alam maya seperti facebook,twitter,my space, finder dan sebagainya antara yang tertinggi di dunia. Seperti juga tv,video, telefon bimbit dan segala kemudahan ict yang pada mulanya untuk kemudahan meningkatkan ilmu dan kemudahan memperoleh ilmu atau maklumat.

Tetapi begitulah manusia yang fitrahnya bersifat ingin mencuba,meneroka dan inginkan yang menentang arus.Sepatutnya pada zaman ini yang serba penuh kemudahan masyarakat kita lebih berilmu dan bermaklumat.Maksudnya ilmu yang bermanfaat dan berguna ke jalan Allah SWT.Bayangkan dengan sekali klik melalui internet kita boleh memperoleh tajuk-tajuk tesis yang kita inginkan sama ada di peringkat ijazah pertama atau ijazah lanjutan.Tidak seperti zaman TB yang terpaksa berkurung dalam perpustakaan sehari suntuk bagi mencari maklumat mengenai tesis apa jua tahap termasuk Ph.D.

Tetapi apa yang terjadi sekarang? Bukalah laman web internet klik facebook nama si polan bin/binti si polan dengan mudah kita dapat membelek foto manis,foto tampan,foto samaran atau apa jua kemungkinan yang boleh dieksploitasikan untuk tatapan awam bagai papan tanda di Bursa Saham!Tidak kira isteri orang, jejaka perasan, don juan, kasanova, pemimpin politik yang berkarisma dan apa jua jenis manusia yang mana yang membezakanmereka hanyalah nawaitu masing-masing.

Justeru, natijahnya berlakulah seperti laporan  berlakunya pergolakan rumah tangga dek keberanian dan keberahian yang tidak dapat dikawal di sebalik tabir menerusi laman sosial seperti ini apabila hubungan dilayani kian bertambah intim.Si wanita meraih simpati, si lelaki pendengar/pelayan/pelayar yang empati maka hanya tembok malu sebagai benteng terakhir sama ada bertahan atau kecundang jua akhirnya.

Yang mendukacitakan lagi, jengok-jengok pejabat kerajaan kini baik di Putrajaya atau di mana jua dalam Malaysia tercinta ini, staf  yang senior mahupun yang junior khususnya anak-anak muda begitu tekun dan asyik menghadapi papan monitor; seolah-olah menumpukan tugasan kerja rasmi.Aduh-aduh,asyik tekungnya!


Ketua-ketua jabatan dari peringkat KSN,KSU,KP. TKSU,TKP dan seterusnya ke bawah akar umbi rajin-rajinlah cuba jengok.Jangan mentang-mentang anda generasi lama boleh dikelentong dengan silap mata ICT.Bukan mustahil asyik masyuk mereka melayani dan chatting  menyebabkan sepatutnya surat rasmi yang disiapkan dalam masa satu jam bertukar menjadi satu bulan.Bahkan ada yang ditunda tarikh ke belakang hampir sebulan.TB ada pengalaman dan bukti!!!!

Kepada mereka yang leka gila dengan pembaziran masa cuba hitung masa yang anda bazirkan dalam sehari seminggu atau sebulan semata-mata untuk bersembang-sembang kosong. Lihatlah mereka yang maju seperti anak-anak muda keturunan Cina mereka terus berniaga secara terus menghargai masa ketika lapang pada usia muda.

Tanyalah diri anda sendiri berapa buah bukukah  yang anda berjaya habis baca dalam minggu atau bulan ini? Sudahkah anda membelai suami/isteri/anak-anak anda dengan bisikan kata-kata romantis pada hari ini;pagi,petang atau malam ini?  Kunci ada di tangan anda maka andalah yang sendiri mahu membuka atau mengunci minda anda.Terserah.

Tiada ulasan: