SETIAP akhir tahun atau awal tahun baru menjelang persekolahan anak-anak, TB dapati dan perhatikan di kedai-kedai, toko-toko atau di pasar-pasar raya dikunjungi ibu bapa/penjaga yang sibuk bagai menyambut hari raya kerana membeli-belah sakan untuk anak-anak dengan serba baru; kasut baru, uniform sekolah baru, uniform kokurikulum baru,stokin baru, dan beraneka macam yang baru-baru belaka.Situasinya ini seolah-olah anak-anak didedahkan bahawa budaya ini bagaikan suatu kemestian.Di kedai-kedai buku sekolah ibu bapa mengendong berbakul-bakul buku-buku kerja,buku-buku latihan,buku-buku teks tambahan dan peralatan tulis untuk perbekalan sepanjang tahun.Hari pembayaran yuran ibu bapa ke meja guru-guru kelas bagi melunasi segala jenis yuran termasuk derma PIBG yang sepatutnya ikhlas sukarela tetapi entah siapa yang memeterai menjadikan bagai yuran wajib tahunan atau bulanan. Masya-Allah, bayangkan segala-galanya di pundak ibu bapa yang terpaksa dipikul sekarang agar anak-anak mereka pada masa akan datang tidak merempit, tidak melepak dan menjadi manusia berguna pada suatu hari nanti.
Sebenarnya ibu bapa tidak usah kalut. Bertenang dan bersabar adalah nilai-nilai murni hasil pembelajaran sepanjang hayat.Mendidik anak-anak bersyukur, reda dan bersederhana adalah juga hasil pembelajaran sepanjang hayat juga.Mengapa menjelang akhir atau awal tahun ibu bapa berpusu-pusu ke kedai menggantikan pakaian /peralatan persekolahan anak-anak serba baru? lnilah anjakan paradigma yang perlu kita ubah.Agar tidak terkejut atau tersepit dengan perbelanjaan hujung tahun yang mendadak ibu bapa boleh melakukan pada pertengahan tahun. Sekiranya pakaian anak-anak telah ditukar baru pada bulan Jun atau Julai tahun ini maka tidaklah perlu ditukar hujung tahun tetapi diganti pada pertengahan tahun depan.Namun sekiranya pakaian mereka masih boleh dipakai; apakah perlu ditukar? lnilah masanya kita melatih agar anak-anak kita bersederhana,bersyukur dan tahu menilai erti jerih payah ibu bapa mereka.
Begitu juga buku-buku latihan dan peralatan tulis yang kadang-kala dibeli tetapi tidak digunakan sepenuhnya sehingga akhir sesi persekolahan.Apakah ini tidak dikatakan membazir? Belilah atas nama keperluan semasa sahaja.Elakkan berlebihan bagi mengelak anak-anak tidak ada nilai rasa menghargai.Buku-buku tambahan termasuk buku-buku kerja pastikan bukan dibeli semborono. Fikirkan siapakah yang bakal mengaut keuntungan di penghujungnya? Sebenarnya jika anak-anak kita menumpukan sepenuhnya pembelajaran di bilikdarjah dan guru-guru komited melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah; tiusyen di luar sekolah tidak diperlukan! Apakah guru-guru kini sudah hilang kebolehpercayaan dan kesahannya yang mana menyebabkan ibu bapa terpaksa beralih arah kepada pusat tiusyen di luar. Bahkan kebanyakan guru-guru tiusyen di luar tidak terlatih sebagai seorang guru bertauliah.Sedarkah ibu bapa banyak pusat tiusyen di luar tidak memperoleh permit dan kelulusan daripada Kem.Pelajaran Malaysia? Fikir-fikirkanlah.
Berhubung derma sukarela PIBG sepatutnya tidak memaksa atau menekan ibu bapa atas alasan keputusan mesyuarat agung tahunan. Dalam konteks ini; sila rujuk tulisan TB dalam majalah PENDIDIK bulan ini,disember 2010 berhubung yuran PIBG ini dalam kolum 'Seribu Warna,Seribu Makna'. Selamat tahun baru masehi 2011, bersabar dan bertenang, jangan kalut!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan