Salam Perjuangan

24 Disember 2010

REUNION SISWAZAH B.Ed. UPM 1983-86

TANPA TB duga pertemuan dengan teman-teman sekuliah graduan B.Ed.UPM 1983-86 dari kumpulan PBMP yang seramai 35 orang (jumlah keseluruhan jika tidak silap TB hampir 150 orang) telah berlangsung di sebuah restoran sate di Bangunan Dato Nazir di Bandar Kajang Selangor Darul Ehsan pada petang jam 4.00 petang 22 Disember 2010 lalu .Pertemuan jam 4.00ptg-7.00 petang yang julung-julung kali diadakan setelah 25 tahun berpisah merupakan detik-detik yang sukar digambarkan dengan kata-kata.Dengan dakapan ukhuwah mesra dan genggaman erat tangan, masing-masing membawa seribu macam cerita; bak seperti tajuk kolum TB setiap bulan dalam majalah Pendidik, ‘Seribu Warna, Seribu Makna’
Di Antara Teman-Teman Yang Hadir

TB yang ketika itu berada di Johor menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada Haji Salihin berhubung pertemuan santai itu.Pada mulanya hati TB berbelah bahagi kerana TB yang ketika itu baru seminggu pulang dari Brunei kemudian  berkunjung ke Johor kerana menziarahi ibu TB yang TB kasihi,sayangi dan cintai.Pada petang itu TB dengan semangat berkobar-kobar bertolak dari Johor ke Kajang Selangor memandu kereta dalam cuaca tidak menentu; hujan lebat turun sepanjang perjalanan di Lebuh Raya Utara-Selatan PLUS. TB sampai ke destinasi sekitar jam 6.50 petang.TB tergamam terharu dan terkedu melihatkan beberapa susuk tubuh rakan-rakan lama yang ada di antaranya sudah 25 tahun tidak ditemui. Bayangkan…rasa ingin melihat rupa bentuk raut wajah mereka.TB hanya dapat membayangkan wajah-wajah mereka 25 tahun yang lalu.
Kami saling berdakapan walau sebak yang terkawal namun riuh rendah suara banyak mengingatkan kami suara itu ketika pensyarah lewat(lambat) masuk ke bilik kuliah. Ah,nostalgik!

TB hampir tidak mengenali beberapa perubahan susuk tubuh dan wajah; antaranya Mustafa (suami kepada Hadebah), Rafaee, Ahmad Razali, Omar Kareem,Murad Zakaria dan Razak. Yang tetap steady ialah sahabat yang kami gelar Md.Nor Sportrim.Dengan kecil molek,kelincahan beliau masih seperti dahulu. TB difahamkan ada di antara teman-teman ini telah bersara antara 1-10 tahun bersara.Namun ada yang masih berkhidmat di sektor kerajaan sebagai Pengetua, Pegawai Kanan di Kementerian, Pensyarah dan sebagainya.Apa yang nyata ada di antara kami telah bergelar Haji, Dato’, Dr, Prof Madya bahkan mungkin juga Profesor dan Yang Berhormat (YB).

Kepada teman-teman TB yang dapat TB sebutkan pada petang itu antaranya (maaf jika tidak/terlupa disebut)Md Jani, Sulaiman, Mansor,lsa,llham, Salleh, Ahmad Razali, Hussin, Salihin, Kamaruzzaman, Kamal, Zabeha,  Mustaffa,Omar,Razak,Nazir,Ramali,Shahrom, Murad, Che Murad, Khalil, Md Nor, Tun Seri Lanang, Rahman Rashid, Md Arop,Rafaee dan lain-lain berharap agar pertemuan demi pertemuan dapat diusahakan bagi menjalinkan ikatan,memupuk dan berkongsi pengalaman dalam melayari bahtera kehidupan.Bahkan ada di antara kami sedang mengemudi usia emas iaitu sebuah kehidupan yang diperbaharui kembali agar iltizam dan perjuangan dapat diteruskan selangi hayat dikandung badan. Kepada yang telah kembali ke rahmatullah antaranya Mohd.Jannes, Saeri Basri, Nordin Yatim, Mustaffa (Bob), Mariam(Kak Yam), Siti Fatimah ; sama-sama kita sedekahkan al-fatiha kepada semua roh Allahyarham semoga dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam golongan ahli-ahli syurga.TB yang dapat bersama sekitar 15 minit hanya mampu memberi ucapan bersama di akhir majlis dengan menitipkan sebuah pantun klasik:

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi,
Jikalau ada umur yang panjang,
Tahun hadapan bertemu lagi.

Tiada ulasan: