MERENUNG SEJENAK PERISTIWA "SEMALAM" SEMOGA MENJADI RENUNGAN BAIK MASA HADAPAN"
SEJAK beberapa hari lalu banyak blog menyiarkan komen Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mengenai seorang menteri dan seorang timbalan menteri Cina yang dilantik dalam barisan Kabinet terbaharu kerajaan.
SEJAK beberapa hari lalu banyak blog menyiarkan komen Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mengenai seorang menteri dan seorang timbalan menteri Cina yang dilantik dalam barisan Kabinet terbaharu kerajaan.
Kedua-dua mereka, Senator Paul Low Seng Kuan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Mary Yap Kain Ching sebagai Timbalan Menteri Pendidikan 1, disifatkan Dong Zong tidak mewakili kaum Cina kerana tidak fasih berbahasa Mandarin.
Kain Ching daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) adalah bekas guru dan pernah dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan pada 2012.
Seng Kuan pula adalah Presiden Transparency International Malaysia dan juga seorang tokoh korporat terkemuka dengan memegang pelbagai jawatan berprofil tinggi termasuk sebagai Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Menurut Dong Zong seperti yang disiarkan akhbar Nanyang Siang Pau baru-baru ini, kedua-dua mereka yang hanya menamatkan sekolah Cina separuh jalan tidak mungkin akan dapat mewakili kaum itu secara efektif sekali gus tidak layak digelar 'wakil kaum Cina'.
Kain Ching dalam reaksi segeranya menyifatkan isu beliau tidak fasih berbahasa Mandarin tidak harus timbul kerana kehadirannya dalam Kabinet tidak mewakili kaum Cina tetapi sebagai rakyat Malaysia.
"Saya bekerja di bawah Kementerian Pendidikan sudah lebih enam tahun dan berinteraksi dengan ramai pihak yang terdiri daripada pelbagai kaum.
"Saya tidak melihat diri saya sebagai mewakili kaum Cina tetapi rakyat Malaysia kerana itulah wujud konsep 1Malaysia.
"Sekiranya terdapat isu yang dibangkitkan berhubung sekolah Cina, saya akan tetap menjalankan tugas menanganinya.
"Malah, maklumat berkaitan sistem pendidikan Cina juga terdapat dalam bahasa Melayu dan Inggeris, jadi tidak ada masalah memandangkan saya fasih dalam kedua-dua bahasa itu," katanya.
Mengulas perkara itu, penganalisis politik, Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, Dong Zong tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana bahasa Mandarin bukanlah bahasa kebangsaan negara ini.
"Sepatutnya syarat yang harus dipatuhi adalah setiap anggota Kabinet harus fasih berbahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu kerana itulah bahasa yang wajib ditutur dan dikuasai oleh semua kaum di negara ini.
"Kaum Cina juga sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk menyuarakan pandangan mereka kepada menteri-menteri berkenaan kerana sebagai rakyat Malaysia mereka mesti fasih berbahasa kebangsaan," katanya.
Beliau berkata, isu tiada wakil kaum Cina yang memenuhi segala ciri-ciri yang ditetapkan kaum itu termasuk fasih berbahasa Mandarin tidak harus timbul kerana kaum itu sendiri telah diberi peluang memilih wakil mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
"Apabila diberi peluang ini, mereka memutuskan untuk menolak calon-calon yang kemukakan oleh MCA, Gerakan dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).
"Mereka sendiri memilih calon DAP yang mereka tahu tidak akan disenaraikan dalam Kabinet yang dibentuk kerajaan Barisan Nasional (BN), jadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak harus dipersalahkan apabila tiada anggota Kabinet yang fasih berbahasa Mandarin," katanya yang juga bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Tambah Mohd. Roslan, apa yang dibangkit Dong Zong boleh diibaratkan seperti pepatah 'Rumah siap pahat berbunyi' yang merujuk kepada perasaan tidak puas hati atau rungutan yang ditimbulkan setelah kerja siap dilakukan.
"Bagi saya komen seperti ini tidak harus dilayan oleh kerajaan BN kerana pihak terbabit telah diberi peluang untuk mengundi dan mereka telah mensia-siakan peluang yang diberikan," katanya.
Menurut beliau, tumpuan yang sepatutnya diberikan kerajaan sekarang adalah untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi membangunkan negara demi kesenangan rakyat tanpa mengira kaum.
"Ingatlah, semua anggota Kabinet yang dilantik adalah fasih berbahasa kebangsaan dan ini bermakna mereka layak untuk mewakili rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum.
"Jika Dong Zong masih tidak berpuas hati, tunggulah PRU-14 akan datang dan pilihlah calon yang dirasakan benar-benar memenuhi selera mereka," ujarnya.
Katanya, kerajaan juga tidak harus melayan lain-lain tuntutan Dong Zong termasuk supaya diiktiraf Peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Cina (UEC) untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
"Lulusan UEC tidak berada dalam sistem pendidikan kebangsaan dan tidak menghayati usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan negara dan integrasi nasional," katanya.
Kenapa Dong Zong masih membuat tuntutan sedangkan sudah jelas dan nyata kaum Cina tidak menyokong BN?
Sehubungan itu, kepada Dong Zong hentikanlah daripada membuat sebarang kenyataan dan tuntutan yang bertujuan memenuhi inspirasi satu kaum sahaja.
Kalau masih mahu membuat tuntutan, tunggu lain kalilah!, iaitu setelah masyarakat Cina kembali menyokong BN pada PRU-14.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130530/re_01/Lain-kalilah-Dong-Zong#ixzz2UmiJhXNp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan