JUDUL rencana pendek penulis di atas, bagaikan judul sebuah filem.Bukan mustahil. Pada era kebangkitan filem-filem lndonesia tahun-tahun 70-an judul yang bermula dengan frasa "Perkahwinan" sangat (bukan "cukup") banyak; antaranya filem "Perkahwinan Terlarang", "Perkahwinan Terpaksa", "Perkahwinan" dan berbagai-bagai lagi.
Namun penulis sengaja memilih judul "Perkahwinan Kedua" (termasuk kali kedua) kerana mahu mengalihkan isu-isu politik yang kian membara hari demi hari. Penulis sengaja memilih perkara-perkara/isu yang berkaitan disiplin psikologi, sosioekonomi, munakahat dan biologi anatomi.
Perkahwinan kedua dalam rencana ini bukanlah bermaksud perkahwinan poligami. Apa yang saya maksudkan ialah perkahwinan bagi kaum lelaki dan kaum wanita setelah kematian atau "kehilangan" atau penceraian dengan pasangan masing-masing.
Pada zaman ini bagi kaum wanita atau isteri yang telah kematian suami (lebih manis) disebut "balu". Tahukah anda daripada mana asalnya perkataan "balu"? (sila rujuk Kamus Dewan). Walhal pada zaman datuk nenek penulis; kata "janda" merangkumi gelaran yang diberikan bagi kaum wanita yang sudah berkahwin tetapi hidup bersendirian semula sama ada disebabkan kematian atau penceraian (talak).
Oleh kerana perkembangan pesat dalam kehidupan sekarang dan pertembungan budaya luar maka lahirlah gelaran "ibu tungggal". Bahkan untuk lebih spesifik ada pula gelaran "ibu tinggal" dan "ibu tunggul". Kepada pembaca sila carilah maksud apa yang dikatakan ibu tinggal dan ibu tunggul. Bagi ibu tunggal ialah mereka yang menjadi balu atau janda yang turut tinggal bersama dengan tanggungjawab dan amanah dengan anak-anak yang di bawah jagaannya.
Bagi ibu tunggal atau janda/balu berhias tanpa anak ini faktor usia, ketrampilan, pergaulan dan pendedahan sosial, psikologi dan kekukuhan atau kerapuhan kewangan boleh menjadi faktor menarik atau menolak bagi membina sebuah perkahwinan baharu atau perkahwinan kedua. Bagi mereka yang sudah ada anak; faktor bilangan anak, usia anak dan keperluan bio-psikologi anak memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Bagi wanita yang berstatus balu/janda/ibu tunggal muda faktor seksologi hanyalah sekadar pelengkap dan fitrah bagi sebuah kehidupan normal. lni bermakna bagi wanita, "kesunyian dan kesepian" seorang wanita tidak sama dengan kaum Adam. Kaum Adam banyak dipengaruhi dengan elemen livido yang mendorongkan segala perlakuan dan tingkah lakunya.
Justeru, pada kebiasaannya wanita yang kematian suami akan mengambil banyak perkiraan sebelum bersetuju dengan perkahwinan kedua. Oleh kerana mereka "kehilangan" suami secara mengejut pada usia yang belum "agak tua" maka mereka akan sering mengalami gangguan psikologi bahkan dihimpit stres dengan rasa serba salah, rasa bersalah, dilema, kurang yakin, rendah diri, hilang keyakinan dan tumpuan dan berbagai-bagai lagi gangguan mental.Mereka lebih gemar "merindui bayangan silam" yang mana lama kelamaan mereka akan hilang kejatidirian dan hilang keyakinan. Natijahnya akan memakan masa dua-tiga tahun atau lebih lama lagi tempoh masa bagi memberi ruang dalam hati mereka membuka pintu keinginan untuk perkahwinan kedua.
Bagi wanita yang menjadi balu atau janda disebabkan penyakit si suami yang sudah memakan masa lama hingga berpuluh-puluh tahun, terdapat kes mereka boleh menerima perkahwinan kedua dalam tempoh masa yang pendek selepas kematian si suami. ltupun bergantung kepada latar pasangan yang melamarnya dan sikon kesihatan dirinya.
Sebenarnya kajian belum banyak dibuat dari sudut perkahwinan kedua bagi wanita berstatus balu atau janda. Jikalau ada kajian ilmiah pun hanyalah berkisar kes atau isu beban kewangan dan beban psikologi dalam kalangan ibu tunggal dan kajian yang berhubungan stres atau kemurungan ataupun depresi dalam kalangan ibu tunggal setelah kematian suami atau penceraian. Semoga ada para pengkaji/penyelidik yang akan cuba membuat penyelidikan terperinci setelah sebuah hipotesis yang penulis telah dedahkan ini. (oleh: Dr Rajiee Hadi al-Latis)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan